Alice House Filem Terbaik

2 Dec

Rap
FILEM A Casa De Alice atau Alice House dari Brazil yang mengisahkan kegigihan wanita, Alice menguruskan rumah tangga bersama ibu, suami dan tiga anaknya dipilih sebagai filem terbaik pada Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur 2008 (Kliff 2008) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Filem ini mengangkat watak utama, Alice yang bekerja di salun kecantikan berhadapan konflik rumah tangga apabila suaminya, Lindomar yang memandu teksi bersikap curang hingga bekas kekasih Alice, Nilson hadir semula dalam hidup wanita itu.

Filem bergenre drama arahan Chico Teixeira itu membawa pulang tiga anugerah termasuk menerusi pelakon utamanya, Carla Ribas yang memenangi Aktres Terbaik dan Filem Amerika Selatan Terbaik. Bagi Pengarah Terbaik pula, diberikan kepada filem Divizionz dari Afrika Selatan dan Uganda yang turut menerima anugerah untuk Filem Afrika Terbaik dan Skor Muzik Terbaik.

Namun, kategori filem Asia yang menyaksikan wakil tunggal negara iaitu Wayang arahan Prof Hatta Azad Khan tercalon untuk Top 5 tewas pada filem Jordan, Captain Abu Raed. Filem berkenaan yang diarahkan Amin Matalga mengisahkan impian Abu Raed menjadi juruterbang dan melancong ke seluruh dunia. Atas kemenangan anugerah itu, filem berkenan juga menjulang nama pelakon utama, Nadim Sawalha yang memenangi anugerah Aktor Terbaik.

Walaupun Wayang tewas, filem itu masih mampu dibanggakan selepas menerima Anugerah Khas Juri. Hanya Wayang yang dipilih juri untuk menerima satu-satunya anugerah berkenaan. Ketua juri, U-Wei Saari berkata, keputusan juri profesional memberikan anugerah berkenaan bukan atas alasan ia sepatutnya diberikan pada negara tuan rumah atau dilabel anugerah simpati.

Katanya, juri menilai keseluruhan aspek filem mengikut tema Raikan Kepelbagaian Budaya yang terdapat menerusi Wayang. Selain tercalon untuk Top 5 kategori Filem Asia Terbaik, pelakon utamanya, Eman Manan dipilih calon Top 5 untuk kategori Aktor Terbaik.

“Sepatutnya juri berhak memberikan tiga Anugerah Khas Juri, tetapi kali ini hanya satu anugerah berkenaan diberikan. Anugerah yang diterima Wayang bukanlah anugerah simpati, tetapi ia atas penilaian juri yang menilai filem berkenaan.

“Juri bertanggungjawab dalam menilai pelbagai aspek pembikinan sesebuah filem seperti plot penceritaan, teknikal hingga kesudahan cerita. Jika juri memberi anugerah simpati, ia tidak memberi makna pada festival ini.

“Aspek ini penting dan perlu dijaga untuk mengekal prestij festival ini pada masa akan datang. Melihat pada penganjuran Kliff 2008 yang memasuki tahun kedua, kita seharusnya merangsang penyertaan filem yang bertanding.

“Kliff 2008 seharusnya menjadi lebih besar daripada festival filem lain di seluruh dunia kerana hanya festival ini menyaksikan semua juri dari Asia. Tugas juri bukan kerja main-main.

“Sangat senang untuk kita menyalahkan sesiapa sama ada filem, juri atau tanggapan masyarakat terhadap festival selepas majlis anugerah berakhir. Pada saya, kejayaan sesebuah festival tidak boleh diukur pada dua kali penganjuran, tetapi sekurang-kurangnya lima kali. Dari situ, kita dapat melihat falsafah festival secara jelas.

“Kliff 2008 mencapai standard antarabangsa kerana ia menarik filem dari pelbagai benua untuk bertanding. Jika boleh, biar filem yang bertanding mempunyai nilai luar biasa yang menarik perhatian juri dan penonton,” katanya.

Bagi Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Datuk Razali Ibrahim, beliau berpuas hati dengan penganjuran Kliff 2008 pada tahun ini, tetapi melihat majlis anugerah ini masih mempunyai ruang untuk diperbaiki. Katanya, Kliff 2008 mewujudkan platform yang menarik filem luar negara untuk turut serta dan ia dijangka bertambah meriah dengan penyertaan lebih banyak filem.

“Penganjuran Kliff 2008 ini satu pelaburan dan pulangannya bukan untuk jangka pendek. Sama ada festival ini mencapai standard antarabangsa, itu terpulang pada produser, artis dan masyarakat untuk menilai.

“Apa yang penting, aktiviti Kliff 2008 seperti ‘Business Matching’ yang menemukan syarikat penerbitan filem antarabangsa memberikan respons positif dan memberi galakan kepada produser tempatan. Sebelum ini, penonton kita banyak didedahkan dengan filem blockbuster Hollywood hingga tidak menyedari ada filem lain yang mempunyai kualiti.

“Produser tempatan harus mengubah suai filem mereka yang dapat menembusi pasaran antarabangsa. Di pasaran tempatan, filem kita boleh jual apabila mempunyai pelakon popular, tetapi untuk pasaran antarabangsa, kita harus menumpukan pada aspek filem seperti plot dan budaya yang ingin diketengahkan.

“Produser tempatan seharusnya mengambil kesempatan menerusi Kliff 2008 untuk menarik minat penonton antarabangsa terhadap filem tempatan. Untuk masa akan datang, lebih banyak penajaan, festival ini akan bertambah menarik.

“Mengenai Wayang, ia mempunyai kekuatan dan kelainan, tetapi hasilnya tidak sampai ke tahap maksimum untuk menarik minat penonton antarabangsa. Namun, saya berharap anugerah berkenaan menyuntik semangat mereka untuk pergi jauh,” katanya.

Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-20, Vanidah Imran pula berkata, Kliff 2008 membawa pelbagai aktiviti menarik dalam mengenali filem luar negara. Kebanyakan filem yang bertanding belum pernah ditonton dan setiap produser mahu memberikan terbaik untuk filem mereka.

“Berbanding tahun lalu, Kliff 2008 menunjukkan peningkatan dari aspek penganjuran dan aktiviti yang diadakan. Menerusi festival ini, kita berpeluang memperkenalkan perfileman Asia yang mempunyai filem terbaik. Harapan saya agar festival ini bertambah menarik pada masa akan datang,” katanya.

Pelakon popular dari Indonesia, Alex Komang yang berkesempatan hadir sebagai juri, turut memuji Kliff 2008 mempunyai kelebihan dalam menarik banyak filem antarabangsa untuk bertanding. Katanya, pada tahun ini bilangan penyertaan bertambah dan ini mencipta kemeriahan pada festival secara tidak langsung.

“Kali ini, pilihan filem yang bertanding lebih banyak dan kualiti juga meningkat. Ini satu kejayaan pada Kliff 2008 yang berusaha menarik banyak filem antarabangsa menyertai festival ini.

“Soal festival ini mencapai standard antarabangsa, ia mungkin membawa semangat berbeza kerana menampilkan pelbagai negara bertanding. Setiap negara mempunyai cara tersendiri dalam penganjurannya.

“Malah, persaingan antara filem yang bertanding juga hebat dan apa yang lebih penting, juri melakukan tugas dengan tulus dan jujur. Mungkin cadangan saya pada masa akan datang, festival ini diadakan di Melaka,” katanya.

Penganjuran Kliff 2008 dimeriahkan dengan pelbagai acara persembahan nyanyian antaranya Datuk Siti Nurhaliza yang membuka persembahan dengan lagu Kurik Kundi selain duet Yusry dan Melly Goslow, kumpulan Ladylike dari Sweeden, Point Blank, gandingan Suki, Dafi, Zahid dan Nita, tarian teater Impak Maksima Musical dan Ning Baizura yang menyanyikan medley lagu filem James Bond.

Senarai Pemenang:

1. Filem Terbaik – A Casa De Alice (Brazil)

2. Pengarah Terbaik – Yes! That’s Us (Divizionz – Afrika Selatan/Uganda)

3. Aktor Terbaik – Nadim Sawalha (Captain Abu Raed – Jordan)

4. Aktres Terbaik – Carla Ribas (A Casa De Alice – Brazil)

5. Filem Asia Terbaik – Captain Abu Raed (Jordan)

6. Filem Eropah Terbaik – Darling (Perancis)

7. Filem Amerika Utara Terbaik – Fugitive Pieces (Kanada)

8. Filem Amerika Selatan Terbaik – A Casa De Alice (Brazil)

9. Filem Afrika Terbaik – Divizionz (Afrika Selatan/ Uganda)

10. Lakon Layar Terbaik – Hassan We Morcos (Egypt)

11. Suntingan Terbaik – Darling (Perancis)

12. Bunyi Terbaik – Hamoon Va Darya (Iran)

13. Skor Muzik Terbaik – Divizionz (Afrika Selatan/Uganda)

14. Sinematografi Terbaik – Hai Jiao Qi Hao (Taiwan)

15. Anugerah Khas Juri – Wayang (Malaysia)

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: