Tak Peduli Suara Nakal

1 Dec

Oleh Farihad Shalla Mahmud dan Zaidi Mohamad
farihad@bharian.com.my, zaidim@bharian.com.my

Curi tumpuan: Hans Isaac dengan tuksedo diapit aktres Kavita Sindhu dan bintang Bollywood, Mallika Sherawat turut memeriahkan malam anugerah Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFF), kelmarin.

Wafa gembira KLIFF 2008 lancar, dapat sambutan delegasi luar negara

SUDAH dua tahun Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFF) dianjurkan di negara ini. Namun setiap kali acara tahunan yang mengiktiraf hasil kerja karyawan filem dari serata dunia ini tamat, pastinya suara nakal akan kedengaran, mempertikaikan perjalanan acara ini.

KLIFF 2008, yang baru saja melabuhkan tirainya malam kelmarin, turut terkena tempiasnya. Bukan kerana tidak puas hati dengan keputusan yang diumumkan tetapi khabarnya banyak persatuan kesal dengan organisasi yang menganjurkan acara ini iaitu KLIFF Sdn Bhd.

Mereka mendakwa kononnya KLIFF Sdn Bhd tidak membabitkan mereka untuk turut bersama memberi sumbangan untuk memantapkan lagi festival filem ini. Malah, perkara sama yang turut dibangkitkan saban tahun adalah soal kekurangan promosi yang menampakkan lagi penganjuran KLIFF kali ini hambar, tidak bersesuaian dengan taraf antarabangsa yang diuar-uarkan.

Pun begitu, walau ada yang mengkritik KLIFF Sdn Bhd atas sebab kekurangan yang disebutkan tadi, namun menurut pengarahnya, KLIFF 08 berjalan lancar dan lebih baik dari tahun sebelumnya.

“Tahun ini lebih bagus dan bagi saya, dari segi isi kandungnya, perjalanan acaranya berlangsung seperti yang dirancang. Malah, majlis ilmu seperti simposium, apresiasi filem serta business matching yang kami anjurkan bagi menggantikan ekspo juga mendapat pujian delegasi luar yang menyertainya.


Siti NURHALIZA memukau penonton dengan vokal dan persembahan mantap menerusi lagu Kurik Kundi.

“Mungkin mereka yang tak puas hati ini tak nampak apa yang kami lakukan. Tapi itu saya tak kisah kerana bagi saya, saya tidak mencari komersial dalam KLIFF tetapi pengisiannya serta faedah yang kita peroleh dari pertemuan dengan ramai karyawan filem dari luar ini yang menjadi keutamaan kami.

“Benda-benda seperti inilah yang menjadikan KLIFF itu sebagai satu jenama terkemuka serta legenda kepada semua penggiat filem tempatan dan antarabangsa,” tegas Wafa positif ketika ditemui sejurus selepas Malam Kemuncak KLIFF 08 yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) tamat.

Menyentuh soal promosi yang dikatakan masih kurang sehingga acara festival filem ini menjadi kurang meriah, Wafa menafikan masalah itu menjadi punca utamanya.

“Kalau kita lihat tahun lalu, promosi mengenai KLIFF sudah kita perhebatkan sejak awal lagi, namun hasilnya masih sama. Tapi, saya tak rasa tahun ini KLIFF masih mempunyai masalah promosi. Kalau delegasi dari luar boleh tahu mengenai acara ini, mengapa tidak orang kita?


YUSRY dan Melly berganding membawakan lagu Dibius Cinta, manakala Ning (kanan) memilih melodi yang dipetik daripada filem James Bond.

“Dan apa yang saya kesalkan, tidak ramai penggiat seni tanah air menyokong acara yang kami anjurkan sebelum malam kemuncak berlangsung. Yang memenuhkan acara simposium, majlis apresiasi kebanyakannya adalah delegasi luar.

“Penggiat seni tempatan sepatutnya memanfaatkan peluang ini kerana semua karyawan filem asing yang diiktiraf hasil kerja mereka berkumpul di sini. Tak perlu nak ke luar negara untuk mendapatkan ilmu daripada mereka. Tapi itulah, peluang depan mata terlepas begitu saja,” katanya dalam nada kesal.

Mengulas kononnya ada cadangan yang ingin mewujudkan Jawatankuasa Penganjur Kebangsaan sebagai badan baru untuk mengendalikan KLIFF terutama dari segi penyertaan dan delegasi luar manakala KLIFF Sdn Bhd, hanya bertindak sebagai pengurus acara, Wafa mempersoalkan usul itu.

“Kenapa baru sekarang? Kenapa selepas kami bertungkus-lumus selama dua tahun ini menguruskan KLIFF baru ada orang yang mencadangkan sedemikian. Selama ini, kalau dilihat kami masih mampu mengendalikan acara ini.

“Sebelum ini siapa yang cari juri, siapa yang cari peserta, siapa yang cari filem untuk dipertandingkan. Saya memang tak setuju dengan cadangan itu. Adalah lebih baik jika kita perkuatkan lagi tenaga kerja yang sedia ada daripada kita pecah-pecahkan mereka,” tegas wanita berjiwa kental ini.

Dijolok pertanyaan kononnya masih ada delegasi yang tidak mahu menghadirkan diri walaupun tiket penerbangan dan penginapan ditaja, Wafa menafikan kesahihan perkara itu.

“Bukan mereka sengaja tetapi ada di antara mereka yang tidak dapat hadir atas alasan tertentu. Contohnya, penggiat filem, Hassan Benrahim yang tidak dapat hadir kerana terperangkap di Bangkok dan tidak dapat memasuki lapangan terbang Suvarnabhumi gara-gara rusuhan. Namun, seorang penceramah, Jim Pasternak hanya dapat hadir pada hari ini.

“Itu pun apabila dia sanggup memandu ke Phuket untuk naik kapal terbang semata-mata kerana tidak mahu ketinggalan menghadiri acara ini. Lebih terharu apabila Jim mengatakan dia melakukan perkara ini hanya kerana menghargai usaha KLIFF,” cerita Wafa lagi.

Persembahan menepati tema

APABILA Wafa menyifatkan penganjuran KLIFF 08 sebagai lebih baik dari yang terdahulu, ternyata apa yang dikatakannya bukanlah sekadar omong kosong. Buktinya, penambahan penyertaan daripada 122 menjadi 191 tahun ini sudah cukup menunjukkan betapa penggiat seni asing sudah menunjukkan keyakinan terhadap KLIFF.

Mereka percaya akan kredibiliti KLIFF yang sudah dua tahun menjalankan tanggungjawabnya menjadi platform untuk karyawan filem dari luar dan tempatan, bertukar pandangan dan teknologi serta mempromosikan Malaysia sebagai lokasi yang sesuai untuk melakukan penggambaran filem mereka.

Mungkin ada kekurangan di sana sini tetapi sedikitpun tidak menjejaskan atur cara yang sememangnya berlangsung dalam keadaan teratur serta tidak meleret-leret. Menggunakan khidmat Sarimah Ibrahim sebagai pengacara tanpa digandingkan dengan sesiapa boleh dianggap bijak kerana bukan saja menjimatkan masa tetapi pengacara keletah ini tahu bagaimana hendak mendapatkan perhatian penonton dengan jenaka spontannya.

Menepati tema malam itu iaitu Meraikan Kepelbagaian Budaya, KLIFF 08 menyingkap tirai persembahan dengan lagu Kurik Kundi nyanyian Datuk Siti Nurhaliza. Lagu ciptaan Pak Ngah ini memang sesuai untuk acara pembukaan kerana ia mengandungi rangkaian lagu yang muziknya diinspirasikan daripada lagu rakyat yang cukup popular di negara ini.

Irama muzik tradisional berselang seli dengan lagu moden. Selain persembahan Siti, yang berjaya menarik perhatian penonton adalah persembahan nyanyian teater muzikal Impak Maksima, Mamma Mia, persembahan solo Ning Baizura serta tarian ala Citrawarna yang menggunakan lagu Joget Pahang itu menjadikan malam kemuncak KLIFF 08 tetap akan dikenang delegasi jemputan sampai bila-bila.

KLIFF 2008 mempertaruhkan 22 filem terbaik daripada lima benua bertanding merebut 17 kategori anugerah yang dipertandingkan dalam sebuah majlis yang dipancarkan secara langsung menerusi Astro Kirana.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: