Dugaan Sheila

1 Dec

Oleh Norhadiani Baharom

Rap

BARU setahun bergelar artis rakaman, pendatang baru di persada seni tanah air, Nursheila Abdullah (Sheila Abdull) sudahpun berhadapan dengan dugaan sebagai anak seni.

Semuanya gara-gara syarikat rakamannya itu ditutup beberapa bulan lalu kerana sudah tidak mampu berhadapan dengan kemelut industri hiburan yang sekian lama dibelenggu masalah cetak rompak selain kemerosotan penjualan album.

Penutupan syarikat rakamannya itu yang juga syarikat rakaman gergasi tidak asing lagi, EMI (M) Sdn Bhd beberapa bulan lalu secara tidak langsung memberi kesan kepada artis naungan syarikat berkenaan termasuk Sheila sendiri yang seakan hilang tempat berteduh.

Sebagai orang baru, dugaan itu ternyata begitu berat untuk ditanggung gadis muda sepertinya yang baru ingin mencari tapak dalam industri seni tanah air.

Sheila juga antara artis yang bernaung di bawah syarikat rakaman EMI yang merasai bebannya kerana kini harus berdiri di atas kaki sendiri jika mahu melihat kerjaya nyanyiannya terus bersinar pada masa depan.

Sheila mengakui berasa sedih mendengar berita penutupan syarikat rakamannya itu.

“Tapi saya bersyukur kerana sebelum syarikat rakaman itu ditutup, album pertama saya Mungkinkah sempat dipromosi dan dilancarkan EMI. Jikalau tidak, pasti saya sangat kecewa.

“Mujurlah, ketika terkontang-kanting tanpa syarikat rakaman, saya masih mempunyai pihak pengurusan yang sentiasa mengambil berat dan mencari peluang untuk saya membina nama.

“Selain peranan dimainkan pihak pengurusan, sebagai artis saya turut berusaha sendiri memperkenalkan bakat dan mengukuhkan lagi kedudukan di persada seni suara,” katanya.

Difahamkan, Sheila kini giat mempromosikan single ketiganya berjudul Cinta Luar Biasa.

Selepas memilih Mungkinkah yang berkonsep moderate sebagai single pertama dan Lepaskanlah (balada), Sheila nampaknya kembali memilih konsep moderate kerana irama itu lebih mendekatkan dirinya dengan peminat.

“Pemilihan lagu ini sebagai single ketiga juga atas permintaan peminat yang lebih suka saya menyanyi lagu-lagu berkonsep seperti itu.

“Namun, saya tidak nafikan, memang single kedua saya kurang mendapat sambutan berbanding Mungkinkah. Saya harap Cinta Luar Biasa kembali melonjakkan nama saya di persada seni tanah air nanti ,” katanya.

Selain Lepaskanlah, Cinta Luar Biasa dan Mungkinkah, album pertamanya yang memuatkan lapan lagu turut menampilkan Nafas Terhenti, Selautan Asmara, Asmara Di Hati, Cinta Putih Atau Kelabu dan Bahang Asmara iaitu sebuah lagu istimewa gabungan bahasa Malaysia dan Inggeris.

Ketika cerita ini ditulis, Sheila berada di China kerana memenuhi undangan menjayakan persembahan anjuran Malaysian Chambers Of Commerce and Industry.

Sebagai penyanyi yang baru setahun jagung berkecimpung dalam arena hiburan, berpeluang membuat persembahan di negara orang, pastinya satu pengalaman yang cukup berharga. Apatah lagi, dia satu-satunya artis tempatan yang diundang menjayakan persembahan itu.

Mengapa Sheila yang menjadi pilihan sedangkan ramai lagi penyanyi wanita lebih popular daripadanya? Yang jelas kelebihannya bukan pada nama, tetapi suaranya yang mampu mengalunkan lagu pelbagai jenis rentak dan cukup lunak jika menyanyikan lagu asli.

Bagainapun, protege kepada komposer terkenal Adnan Abu Hassan yang turut bertindak sebagai penerbit album pertamanya, masih ramai belum mengenalinya.

Namun, Sheila juga bersyukur kerana populariti lagu Mungkinkah, sedikit sebanyak ia dapat memperkenalkan namanya.

“Abang Adnan melahirkan ramai artis popular dan berbakat besar antara yang saya kagumi Datuk Siti Nurhaliza, Fauziah Latiff dan Dayang Nurfaizah.

“Semestinya saya berbangga dan rasa bertuah menjadi seorang daripada anak didiknya, namun harus diakui nasib setiap orang tidak sama. Saya sedar kurang popular dan menyinar, namun ia tidak melemahkan semangat saya untuk berjuang.

“Tuhan sudah menentukan nasib individu berbeza-beza. Dalam keadaan saya, misalnya, mungkin memerlukan usaha yang lebih bahkan sejak mula menceburi bidang ini saya sudah bersedia menghadapi apa jua rintangan.

“Dengan harapan, segala kepayahan dan kepahitan itu akan bertukar menjadi sesuatu yang manis serta menggembirakan,” katanya.

>Perofil

NAMA PENUH: Nursheila Abdullah

ASAL: Johor bahru, Johor USIA: 20 tahun

KERJAYA: Penyanyi

KELUARGA: Anak bongsu daripada tiga beradik.

PENCAPAIAN: Juara Pertandingan nyanyian Suara Bintang Adnan Abu Hassan bagi zon

selatan penghujung 2006

ALBUM: Mungkinkah

SINGLE: Mungkinkah dan Cintaku Itu Luar Biasa

IDOLA: Datuk Siti Nurhaliza, Whitney Houston dan Beyonce Knowles.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: