Jarum Emas: Perlu Cerdik Alam

30 Nov

Oleh Adam Salleh

Rap
SELAMA terbabit di booth Harian Metro sempena Jom Heboh sejak di Kuantan tahun lalu, tidak pernah Melodi mencari saya. Kalaupun berjumpa orang penting program sensasi itu, lazimnya pada sebelah malam. Namun bukan atas dasar kerja, cuma berbual-bual kosong, bertukar idea dalam mencari rumusan apa dan apa dalam industri hiburan tempatan.

Berlainan di Batu Kawan, Pulau Pinang baru-baru ini, Nas Ahmad selaku penerbit baru Melodi, bertanya apakah akhbar yang saya wakili memboikot artis?

Soalan ini jika tersilap jawab boleh terpercik ke muka sendiri, tetapi melalui jawapan yang rasional tanpa dipengaruhi emosi, ia boleh dijadikan panduan buat rakan artis kita, sama ada penyanyi atau pelakon, terutama buat penyanyi yang ‘suam-suam kuku’, cara memancing publisiti di media tempatan.

Harus diingat, dunia hiburan sekarang agak kompleks. Artis yang muncul, dimeriahkan lagi dengan bintang realiti TV, membuak-buak. Itu belum lagi dengan kebanjiran lagu artis Indonesia di radio, selain kemasukan pelbagai sinetron seberang yang boleh dikatakan setiap stesen TV kita berlumba-lumba menyiarkannya, membuatkan produser tempatan kian tenat.

Nasib penyanyi, pelakon bahkan produser semakin tidak menentu dengan pelbagai birokrasi sedia ada.

Dalam suasana kacau bilau dengan pelbagai pihak mahukan perhatian media, artis perlu cerdik alam serta lebih panjang akal dalam merangka strategi promosi untuk mempertahan populariti mereka supaya tidak terus ditelan zaman.

Publisiti di akhbar tidak tertakluk pada artis semata-mata, kerana setiap stesen TV, sama ada kerajaan dan swasta, mempunyai Unit Perhubungan Awam yang berlumba-lumba untuk promosi program masing-masing.

Sebenarnya di RAP (sisipan hiburan Harian Metro) kita memberi ruang publisiti yang luas pada artis tempatan. Tidak kira artis lama atau baru, masing-masing ada tempat, malah banyak cerita artis uzur lebih kerap disiarkan di RAP berbanding akhbar lain.

Cuma bagi artis yang ‘suam-suam kuku’ yang mahu membuat ‘comeback’, kemunculan secara mendadak tanpa strategi bersistematik kelak hanya sekadar hadir kembali untuk suka-suka menempel di persada seni, tetapi tidak mungkin berupaya memahatkan populariti di celah bintang realiti yang mempunyai pengaruhnya serta peminat fanatik tersendiri.

Dalam hal ini, re-branding atau dalam bahasa bisnes ‘penjenamaan semula’ penting. Contoh paling mudah ialah penyanyi Cina, Winnie Kok. Kali pertama dia menemui saya, kita menyebutnya Winnie Kok, tetapi melalui album terbaru dibuang Kok tinggal K, lalu jadilah ‘amoi’ itu Winnie K.

Melihat pasaran album tempatannya kurang memberangsangkan, Winnie menukar strategi menambat selera peminat Indonesia, lalu jangan terkejut media sana menggelarkan dia Siti Nurhaliza versi ‘amoi’.

Peminat lazimnya tidak setia pada seseorang artis, lainlah jika sampai tahap fanatik seperti peminat Mawi umpamanya. Lalu artis yang ‘suam-suam kuku’ jika mahu membuat comeback, apakah ada jaminan peminat mereka 10 tahun lalu masih mendambakan artis itu? Satu hal yang saya kira ramai artis ‘terlepas pandang’ adalah pembabitan dalam badan tertentu, terutama NGO atau pertubuhan tertentu yang secara tidak langsung boleh memancing publisiti media di situ.

Ini bagi artis yang ada kecenderungan untuk aktif satu hari nanti, menyepi seketika kerana memberi tumpuan pada keluarga. Berinteraksi dengan rakan wartawan juga penting buat artis, kerana fitrah alam wartawan juga mengikut aliran dalam erti kata tiba masa wartawan sedia ada akan digantikan dengan pelapis baru yang pastinya asing pada artis yang lama.

Beberapa rakan artis lama saya mengakui hakikat ini, bila muncul kembali berasa kekok untuk berutusan dengan wartawan generasi baru. Ia masalah kecil bagi saya, jika artis itu mengikut perkembangan semasa siapa dan siapa di media.

Tidak salah untuk artis lebih senior, jika tahu cara berhemah melayang kad tanda ingatan setahun sekali, terutama di Aidilfitri, atau menghantar SMS bertanya khabar berita bagi mengelak namanya tidak terus ‘mati’ di hati pihak media.

Bukan mudah untuk menjaga kepentingan publisiti artis tempatan, kerana pada waktu sama kita diasak dengan kemasukan artis luar, terutama dari seberang yang ‘manis mulutnya’ untuk menambat wartawan dan peminat tempatan.

ADAM: Tepuk dada, tanya selera.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: