Diari Cinta Mawi, Ekin

29 Nov

Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my

Rap
BAGAIKAN satu ‘kemestian’ apabila seseorang artis popular akan menamatkan zaman bujang, pasti ada beberapa produk susulan diterbitkan. Bukan hanya laman web khas dibuat, tetapi buku biografi, memori kisah cinta dan diari turut dihasilkan.

Segalanya dimaklumkan untuk berkongsi dengan peminat. Malah, bukanlah percuma tetapi dijual di pasaran. Justeru, selepas Datuk Siti Nurhaliza, Erra Fazira dan Ning Baizura, kini tentunya giliran Mawi dan Ekin pula.

Namun, pasangan sejiwa yang mahu sehidup semati ini tampil dengan Diari Cinta 2009 yang ditulis Syed Hassan Al Attas, 42. Diari setebal kira-kira 500 halaman ini dikatakan sesuai bagi pasangan mencatat suka duka mereka dalam rumah tangga.

Secara tidak langsung, ia mengingatkan sesama pasangan mengenai perasaan masing-masing. Justeru, lebih membuat pasangan mengenali apa yang disukai dan sebaliknya antara satu sama lain. Ia juga dilengkapi 12 kalimah cinta.

Menurut Mawi, memandangkan ia (penulisan diari) satu benda yang baru kepadanya, dia sedia bekerjasama dengan Bina Minda Resources yang menerbitkan diari itu. Akuinya, dia sesekali tidak berasa diri cuba dieksploitasi.

“Sebelum ini, orang banyak sangat bercerita mengenai gosip cinta saya tetapi tidak pula pernah mereka membicarakan erti cinta yang sebenar. Jadi, saya dan Ekin sepakat biarlah kami abadikan erti cinta itu dengan cara begini.

“Kami juga tidak berasakan cuba dieksploitasi tetapi mengambilnya sebagai urusan perniagaan. Bahkan, kami melihat pada sudut yang positif ,” katanya pada sesi sidang media selepas pelancaran diari itu di Oakleaf Park, Bukit Antarabangsa, kelmarin.

Bagi Ekin atau Nora’ashikin Rahmat, 29, pula inilah rezeki bakal pengantin. Ketika berdebar menunggu ketibaan tarikh dia dan Asmawi Ani, 27, disatukan sebagai suami isteri, banyak perkara dipermudahkan. Akuinya, ia tidak pernah dirancang.

“Kami berdua tidak pernah bercadang untuk muncul dengan diari ini tetapi apabila ada pihak datang berbincang untuk menghasilkan diari untuk kami, itu rezeki. Benda baik, buat apa hendak menolak dan ia juga sesuatu yang boleh dikongsi bersama peminat.

“Tolonglah, jangan anggap yang bukan-bukan. Kami tidak pernah terfikir perkahwinan ini akan menjadi semeriah ini. Ikutkan saya, memang mahu buat sederhana saja kerana itu yang sebaiknya. Namun, maklum sajalah Mawi dikenali ramai,” katanya.

Pelakon dan model jelita ini berkata mereka sekadar mahu meraikan peminat. Seperti selalu dijelaskan Ekin, kalau buat kecil nanti orang kata kedekut. Bila buat besar, orang kata mahu menunjuk pula. Tetapi, biar dengan apa orang hendak kata asalkan niat baik.

Sementara itu, Syed Hassan tidak menafikan dia sanggup menulis diari cinta berkenaan untuk Mawi kerana juara Akademi Fantasia 3 (AF3) popular. Katanya selain tiada orang buat diari, Mawi dipilih kerana dia memang memiliki ramai peminat.

“Sekurang-kurangnya, orang mesti hendak beli dan baca juga. Saya pun tidak kisah apa tanggapan orang yang mengatakan saya ‘menggunakan’ Mawi. Ia adalah lumrah hidup kerana setiap hari kita kena gunakan orang dalam perniagaan.

“Media juga tidak terkecuali kerana artis membantu melariskan akhbar. Saya dapati, jika ada cerita artis secara tidak langsung menarik orang membaca. Justeru, sebagai ahli perniagaan saya sudah tentu mahu orang membeli dan baca diari saya.

“Cuma, kelainannya Diari Cinta 2009 ini bukan sekadar untuk mengisi catatan harian pasangan tetapi turut memuatkan kalimah cinta yang boleh dijadikan panduan. Kalimah ini saya ambil daripada sasterawan Parsi dan Arab pada zaman dulu,” katanya.

Menurut Syed Hassan, rata-rata penulisnya sudah meninggal dunia dan ia diadaptasi ke dalam Diari Cinta 2009 kerana bahasa yang cukup indah. Katanya, diari itu akan berada di pasaran bermula 1 Disember ini.

“Harganya pula RM20 senaskhah. Bagi keluaran pertama ini sebanyak 5,000 unit dicetak. Permintaan sudah ada dan agak menggalakkan. Selain jualan di negara ini, Diari Cinta 2009 akan dipasarkan ke negara luar seperti Singapura, Brunei dan Indonesia.

“Setakat ini, Singapura dan Brunei sudah memberi persetujuan manakala Indonesia pula akan membuat perbincangan pada masa terdekat ini. Oleh itu, saya mensasarkan jualan diari ini mencatat sehingga 30,000 unit,” katanya yakin.

Berpengalaman dalam bidang motivasi selama lapan tahun, Syed Hassan berkata dia sudah memikirkan idea menulis diari berkenaan sejak tiga tahun lalu. Katanya dia gembira dapat menghasilkannya, lebih-lebih lagi dengan kerjasama Maestro Talent & Management Sdn Bhd (Maestro).

Harian Metro

One Response to “Diari Cinta Mawi, Ekin”

  1. selebriti December 1, 2008 at 8:47 am #

    Diari ni dah ada di kedai buku ke?
    ingat nak juga sambar satu buat koleksi.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: