Irama Etnik Kreatif Semakin Terpinggir

28 Nov

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Lagu baru genre ini paling kurang dicalon dalam program Muzik Muzik

SUATU ketika dulu, irama Malaysia atau kini digelar etnik kreatif pernah berada di dalam fasa kegemilangannya yang tersendiri. Kategori Irama Malaysia mula diperkenalkan TV3 pada tahun 1992 termasuklah kategori Pop Rock dan Rock.

Sehingga kini, kategorinya dipecahkan kepada Etnik Kreatif (asalnya kategori Irama Malaysia), Balada dan Pop Rock.

Selama 11 tahun Anugerah Juara Lagu (AJL) dipertandingkan berturut-turut antara 1986 hingga 1996, juaranya adalah menerusi lagu bergenre balada. Namun pada 1997, lagu Ghazal Untuk Rabiah memecahkan monopoli lagu balada ini.

Sebelum itu, ND Lala pernah memenangi kategori Irama Malaysia untuk dua tahun berturut-turut dalam AJL 1995 menerusi lagu Diari YB serta Syair Cak Pong pada AJL 1996.

Bermula dari situ, lagu etnik kreatif mula bersinar seperti lagu nyanyian Siti Nurhaliza pada 1998, Hati Kama (Siti & Noraniza Idris) pada 1999, Balqis (Siti Nurhaliza) pada 2000 dan Mimpi Laila (Yassin) 2001.

Ia sebagai bukti bahawa irama warisan tradisi juga mampu mendapat tempat dan perhatian pendengar muzik tempatan. Kali terakhir pada tahun lalu menerusi AJL 22, Nora juga meneruskan kegemilangan lagu nyanyiannya berjudul Samudera di bawah kategori Etnik Kreatif.

Cuma paling ketara pada tahun ini, lagu baru untuk genre ini semakin pudar dan berkurangan. Ia paling kurang dicalonkan di dalam program Muzik Muzik berbanding kategori Balada dan Pop Rock. Hal ini diakui sendiri oleh Pengurus Penerbitan Hiburan Primeworks Studio, Sdn Bhd, Fadzliniza Zakaria.

Menurutnya, kekurangan penyertaan kali ini mungkin bertitik tolak kepada keadaan industri hiburan semasa yang suram dan ada syarikat rakaman yang sudah tutup atau bergabung dengan syarikat lain. Selain itu, penerbitan album juga lebih terarah kepada menghasilkan lagu single.

Selain faktor kelembapan pasaran muzik, penutupan dan penggabungan syarikat rakaman serta kecenderungan menerbitkan single berbanding album penuh turut menyumbang kepada kemerosotan lagu ciptaan terbaru irama ini.

Barangkali turut memberi kesan ialah langkah stesen radio popular yang terlalu memilih dan enggan menyiarkan lagu bercorak Etnik Kreatif dan dipercayai menjadi penyumbang sampingan kepada kekurangan lagu ciptaan baru genre itu.

Pendapat ini turut dipersetujui penyanyi Syura yang pernah menyemarakkan trek profil seninya dengan lagu irama tradisional.

Kata Syura, bayangkan album Nazam Berkasih miliknya mengambil masa tujuh bulan untuk diputarkan di radio. Situasi ini ada kala membuatkan isteri kepada Fadhly Md Yasin ini menjadi tawar hati untuk tegar memperjuangkan irama warisan nenek moyang kita.

“Dalam hal ini kita tak boleh salah kami sebagai penyanyi saja. Kalau hampir semua stesen radio memboikot lagu etnik kreatif, apa yang boleh dilakukan? Macam saya tidak berdepan dengan masalah media cetak tetapi masalah utama ialah apabila pihak stesen radio enggan memutarkan lagu.

“Gambaran ini sedikit sebanyak membuatkan apa yang kami usahakan seperti sia-sia kerana tidak mendapat kerjasama stesen radio. Ini sekali gus membantutkan niat murni komposer dan menyebabkan mereka tidak mahu lagi membikin lagu irama ini. Saya sendiri menjadi kurang yakin untuk terus menyanyi lagu irama tradisional.

“Hakikatnya peminat irama ini masih ada, cuma kalau tiada publisiti lagu dimainkan di radio, mungkin irama ini akan hanya tinggal sejarah saja. Lagu yang kerap dimainkan di radio, lama-lama akan jadi sedap juga,” katanya dalam nada kecewa. Syura juga tersenarai sebagai finalis Separuh Akhir Muzik Muzik kategori Etnik Kreatif yang akan berlangsung hari ini mempertaruhkan lagu ciptaan Radeen Sri dan Hairul Anuar Harun berjudul Pujangga Merindu.

Persoalan di sini, apakah irama ini kian terhakis daripada ingatan kita terutama orang Melayu? Atau ia terus larut dek perkembangan muzik lain yang yang semakin memuncak? Turut merasai getar rasa yang sama ialah komposer yang juga tokoh muzik tradisional Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah.

Bagi Pak Ngah, disebabkan tuntutan semasa lebih ramai penggiat seni yang lebih cenderung menghasilkan karya terkini mengikut tren demi menerjah arus perdana. Rentetan itu, katanya, lebih banyak syarikat rakaman yang tidak yakin potensi irama ini untuk terus diketengahkan.

Kata Pak Ngah lagi, dia berharap akan ada lebih ramai lagi lulusan akademik sebagai contohnya daripada Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) patut diberi dan merebut peluang untuk mencuba membikin lagu tradisional.

“Memang tidak ramai penyanyi yang berminat untuk membabitkan diri dalam irama sebegini kerana faktor kemampuan dan dipengaruhi kurang keyakinan syarikat rakaman menghasilkan album bercorak etnik kreatif. Bukan semua penyanyi mampu menyanyikan lagu tradisional dengan baik. Lalu, apabila terjadinya situasi ini, maka komposer sendiri pun tak akan komited serta serius memartabatkan irama ini.

“Ada juga pendapat yang mengatakan irama ini bukan lagi satu tuntutan sebaliknya sudah menjadi pilihan. Macam saya sendiri, komitmen saya untuk menghasilkan album irama ini juga sudah berkurangan disebabkan penguncupan permintaan yang tidak memberangsangkan. Sekarang ini pun tidak ramai penyanyi yang berminat menghasilkan album sebegini dan ia boleh dibilang dengan jari.

“Saya berharap akan lahir lagi ramai komposer baru yang boleh memberi idea dan anjakan baru dalam penghasilan album irama Malaysia. Kehadiran muka baru dalam penciptaan lagu sentiasa dialu-alukan kerana ia umpama penyambung kepada generasi mendatang,” katanya yang kini sedang sibuk membikin album irama Malaysia kontemporari Datuk Siti Nurhaliza.

Menurut Pak Ngah, ada kelainan serta kejutan tersendiri daripada nyanyian Siti menerusi album ini.

Turut sama memberi pendapatmengenai permasalahan ini ialah penyanyi yang cukup sinonim dengan irama tradisional, Noraniza Idris atau mesra dengan panggilan Kak Ani.

Bagi Kak Ani, dia melihat situasi ini bermusim dan ada pasang surutnya. Jalan mudah untuk terus tegar berada di dalam industri ialah dengan menghasilkan single berbanding album penuh.

Satu permintaan Kak Ani ialah supaya TV3 khususnya penerbitan Muzik Muzik untuk menjelaskan secara terperinci mengenai syarat mencalonkan lagu single di dalam Muzik Muzik.

Bagi Kak Ani, ia masih kabur dan perlu dihebahkan supaya lebih ramai penggiat seni menerbitkan lagu single seterusnya meramaikan lagi pencalonan.

“Akibat kos yang tinggi untuk menghasilkan album dan kurangnya penerbitan album, maka alternatif terbaik ialah menghasilkan lagu single. Ia berbalik kepada soal serius atau tidak seseorang itu untuk terus bernafas di dalam arena seni dengan menerbitkan album mahupun lagu single.

“Nak kata kecewa, memang Kak Ani sudah lama kecewa dengan senario irama tradisional yang dilihat kian terpinggir. Cuma Kak Ani perlu sentiasa kena ada inisiatif ke jalan positif untuk terus menarik lebih banyak minat pencinta muzik etnik.

“Sedar atau tidak sedar, stesen radio Hot FM dan Era sebagai contohnya memutarkan lagu negara seberang tapi masih mempunyai sentuhan etnik biarpun berirama pop. “Sebagai contoh, ada lagu dangdut Indonesia yang diadunkan dalam irama pop komersial. Kita lebih suka menilai dan memberi komen tetapi tidak pernah ada usaha untuk melakukan perkara yang sama dilakukan pengkarya seni dari Indonesia. Justeru, kita kena membuka mata untuk memperkasakan irama tradisional dengan cara bereksperimentasi antara kreativiti, tuntutan semasa dan menyerapkan sendiri elemen etnik yang sedia ada,” kata Noraniza yang kini sedang menghasilkan lagu single terbarunya.

Hakikatnya, irama etnik kreatif, irama Malaysia, tradisional atau apa juga gelaran yang diberi kepada irama ini cukup luas gambarannya. Sebelum ini kita pernah ada irama world music yang diperjuangkan Waheeda dan Yasin. Ia satu jalur muzik yang berbeza tetapi masih dengan pendekatan irama etnik kreatif secara kontemporari. Banyak lagi yang belum diterokai demi menunjukkan sisi keberanian bereksperimentasi menggabungkan etnik dan muzik kontemporari.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: