Dafi Popular Di Bali

28 Nov

Oleh Norhadiani Baharom

Rap

“DAFI! Dafi! Kalau jeritan nama itu didengar di tanah air, mungkin tidak menghairankan kerana penyanyi yang dicungkil bakatnya daripada program Akademi Fantasia musim kelima (AF5) ini punya ramai peminat terutama kalangan remaja.

Tapi, apabila ramai menjeritkan nama Dafi di pulau Bali, Indonesia tentunya sesuatu yang cukup membanggakan. Selama ini peminat di Indonesia meminati dan mengagumi penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza, tidak sangka pula penyanyi remaja ini turut dikenali di sana.

Dafi mengakui bangga dengan perhatian diterima sepanjang kunjungannya ke Bali bersama rombongan Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 (ABPBH2007). Dafi yang menang Artis Baru Lelaki Popular, diberi peluang bercuti bersama pemenang peraduan Gemilang Bersama Bintang (GGB) yang diadakan sempena ABPBH2007.

Turut bersama, Saiful Apek (Artis Komedi Lelaki Popular) dan Fara Fauzana (Pengacara TV Wanita Popular dan Penyampai Radio Wanita Popular).

“Saya pernah ke Jakarta sebelum ini dan sambutan yang diberikan sewaktu menjayakan promosi jelajah Walls tidak lama dulu cukup menggalakkan.

“Di sana saya pernah ditemubual akhbar dan program TV termasuk membuat persembahan bersama artis remaja popular Gita Gutawa menerusi lagu duet Dua Hati Jadi Satu yang turut menjadi lagu tema iklan Walls.

“Tetapi di Bali, saya langsung tidak menyangka ada orang mengenali saya. Namun syukur, saya menganggap ia satu petanda baik dan akan memanfaatkan peluang ini untuk meluaskan skop kerjaya saya serta berazam mencipta nama di negara itu,” katanya.

Bagi Dafi, peluang bercuti ke Bali selama empat hari pada 20 November lalu paling menyeronokkan kerana tiba tepat pada masanya. Katanya, ia peluang terbaik untuk melepaskan tekanan kerana baru saja selesai menduduki ujian semester ketiga. Dafi mengambil jurusan Diploma Sound and Music Design.

Katanya, ini kali kedua berpeluang bercuti bersama peminat, tetapi sebelum ini hanya dalam negara iaitu di Pulau Pangkor, Perak. Sepanjang percutian, Dafi gembira melayan peminat yang turut sama menyertai rombongan itu.

“Peluang sebegini takkan datang selalu apatah lagi percutian ini ditanggung sepenuhnya pihak penganjur,” katanya.

Bagi Saiful Apek pula, percutian itu paling menyeronokkan dalam hidupnya kerana sejak lima tahun lalu tidak berkesempatan membawa anak dan isteri bercuti.

Justeru, tempoh empat hari di Bali dia memanfaatkan sepenuh masa bersama anak, Mohd Riyadh Aslam, 13, Mohd Radzin Aiman, 10, dan isterinya, Roslina Abu Hassan, 39.

“Pilihan waktunya tepat, saya tidak begitu sibuk selain sekarang ini musim cuti sekolah. Jadi, bolehlah bawa anak, bini berjalan-jalan.

“Lagipun sudah lima tahun saya tidak membawa mereka bercuti kerana tuntutan kerja yang tinggi menghalang saya berbuat sedemikian. Sampaikan anak saya merungut kenapa keluarga kami tidak macam keluarga lain selalu ada masa bersama.

“Kalau adapun, ia hanya berlaku dalam negara misalnya kami makan angin di Port Dickson. Namun, bercuti luar negara lain sikit ‘feel’nya. Di sini tiada siapa mengganggu saya dan keluarga, malah kami boleh ke mana-mana mengikut rasa hati.

“Di Malaysia, orang mengenali saya dan ke manapun pergi menjadi tumpuan. Saya mungkin sudah biasa dan tidak kisah dengan keadaan itu kerana peminat juga saya berada di tahap ini hari ini, tetapi anak-anak dan isteri mereka rasa rimas,” katanya.

Jika selama ini ramai menyangka Apek sudah berpisah dengan isterinya, nyata kehadiran Roslina bersama dua anaknya menepis semua itu.

Sementara itu, kerinduan Fara Fauzana terhadap ibunya bagaikan terubat kerana ramai mak cik-mak cik menyertai rombongan sudi memanjakan dirinya.

“Saya mulanya mahu mengajak ibu dan bapa sekali ke sini, tapi mujurlah mereka tidak jadi. Bukannya apa saya ini lembut hati dengan orang tua, bimbang kalau orang tua saya terkecil hati kalau saya tidak sempat memberi perhatian kepada mereka kerana sibuk melayan kerenah mak cik-mak cik ini.

“Apapun saya gembira kerana dapat menikmati percutian ini dengan tenang dan menyeronokkan walaupun mulanya saya agak bimbang apabila diberitahu percutian ini membabitkan peminat.

“Saya takut kalau saya tidak dapat melayan mereka sebaik mungkin akan membuatkan segelintir berasa marah,” katanya.

Memeriahkan lagi percutian dipulau yang turut dikenali sebagai Pulau Dewata itu ialah Pengarang Hiburan Berita Harian, Hanizam Abdullah; Pengarang Bintang Popular, Akmal Abdullah serta Ketua Pegawai Eksekutif Poto Travel, Abd Rahman Mohd Ali.

Manakala dua pemenang GGB, Farah Wahida Mohd Zain (Farah), 30, dan Nor Khalilah Mohamad (Khalilah), 25, selama ini mereka hanya mendengar cerita dari teman-teman mengenai keindahan Bali serta keunikan budaya masyarakatnya hingga menanam impian menjejakkan kaki ke sana suatu hari nanti.

Nyata semua itu menjadi kenyataan pada 20 November lalu apabila impian mereka direalisasikan Berita Harian selepas menang GGB dan menerima hadiah percutian empat hari tiga malam ditaja secara ekslusif oleh Poto Travel & Tours Sdn Bhd.

Tambah menyeronokkan, pemenang turut dibenarkan membawa pasangan mereka lalu Farah dan Khalilah memilih untuk menikmati percutian bersama adik masing-masing.

Farah yang bertugas sebagai guru berkata, pertama kali menyertai peraduan GBB, namun tidak menyangka terpilih sebagai pemenang. Apatah lagi, Bali memang salah satu destinasi impiannya.

“Seronok dan saya berpuas hati kerana jadual aktiviti padat. Pelbagai tempat menarik dapat dikunjungi di Bali dan sebagai orang yang pertama kali menjejakkan kaki ke pulau ini saya berasa sangat teruja dengan pemandangan yang cantik, cara kehidupan serta budaya mereka.

“Bahkan saya amat tertarik dengan kesenian Bali yang cukup unik,” katanya ditemani adiknya, Azizah Mohd Zain, 23.

Bagi Nor Khalilah dan adiknya, Nursyahida, 22, cukup bertuah kerana dengan slogan yang cukup ringkas iaitu ‘ingin merasai bahang kehangatan majlis dan detik gemilang bersama bintang’ menjadikan ia pilihan juri sekali gus dipilih sebagai pemenang.

“Kalau ikutkan slogan itu memang ringkas dan saya sendiri tidak menyangka dipilih sebagai pemenang. Mungkin juga ini hadiah buat kami kerana tahun lalu adik saya, Nursyahida pernah mencuba dan menang tempat ketiga. Bagaimanapun, atas sebab-sebab tertentu kami menghadiahkan tiket ke Bandung itu kepada ibu bapa kami.

“Alhamdulillah, tahun ini giliran saya pula menang. Kalau ikutkan, saya sebenarnya mengharapkan Mawi turut serta dalam percutian ini sebagaimana dimaklumkan sebelum ini.

“Tapi walaupun Mawi tidak bersama kali ini, saya tetap bangga kerana impian untuk bertemu Fara Fauzana tercapai,” katanya.

Khalilah menambah, satu pengalaman menarik mengenai percutian itu kerana berpeluang menyelami budaya masyarakat Bali. Baginya, sesuatu yang pelik kerana penduduk di Bali orang Indonesia tetapi 80 daripada mereka beragama hindu.

Mereka yang juga pertama kali ke Bali, nampak begitu teruja membeli belah lebih-lebih lagi Nursyahdi yang mengambil kesempatan itu membeli barangan cenderahati buat tetamu yang menghadiri majlis perkahwinannya pada Mac depan.

>Coretan aktiviti

HARI PERTAMA: Sebaik rombongan disertai 100 peserta terdiri daripada peminat, pemenang GBB dan ABPBH termasuk rakan media menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai, mereka dibawa ke Jimbaran Beach untuk menikmati makan makan.

Biarpun kepenatan sepanjang hari, ramai mengambil kesempatan ke pusat spa dan refleksologi berdekatan kawasan hotel yang hampir dengan segala kemudahan.

HARI KEDUA: Rombongan sebanyak empat bas dibawa menonton persembahan Barongan, salah satu tarian tradisional yang popular di kalangan masyarakat Bali. Tamat sudah satu jam, peserta dibawa pula ke kawasan gunung berapi di kawasan Kintamani. Sempat meninjau kawasan gerai kecil yang menjual cenderahati, perjalanan diteruskan.

Bagaimanapun Bas C yang menempatkan artis, pemenang, Pengarang Hiburan Berita Harian, Hanizam Abdullah; Pengarang Bintang Popular, Akmal Abdullah dan wartawan mengalami kerosakan sebelum enjin dapat dihidupkan semula kira-kira 15 minit kemudian. Perjalanan pulang ke Denpasar, rombongan singgah sebentar di kawasan ladang kopi dan Teh Bali.

HARI KETIGA: Lokasi peranginan pada hari ketiga adalah Danau Beratan yang menempatkan Pura Ulun Danu. Bagaimanapun, kabus tebal mencacatkan panorama kawasan bukit sekitar Danau Beratan yang indah.

Dari Danau Beratan, singgah sebentar di kawasan bukit tinggi di daerah Bedugul sebelum dibawa ke destinasi terakhir, Tanah Lot yang cukup terkenal dengan kuil yang terletak di atas laut.

Sebelah malam pula, sedang menikmati makan malam di sebuah restoran makanan laut, Kak Cham dikejutkan dengan ‘suprise birthday party’. Ulang tahun yang ke berapa….? biarlah rahsia.

HARI KEEMPAT: Dimanfaatkan peserta rombongan untuk membeli-belah saat-saat akhir sebelum pulang.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: