Siti Nurhaliza Masih Terkilan

24 Nov

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

TARIKH 22 November pastinya akan kekal terpahat dalam ingatan suami kepada penyanyi tersohor negara Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Seri Khalid Muhammad Jiwa atau Datuk K, kerana pada tarikh itulah, bapa kesayangannya, Muhammad Jiwa Abdullah pergi buat selama-lamanya menyahut panggilan Ilahi.

Hilang sudah seorang lelaki yang sebelum ini banyak memberi sokongan dan dorongan sehingga beliau mampu bergelar usahawan berjaya ketika ini. Sebagai anak yang rapat dengan bapa, pemergiannya itu cukup merentap perasaan kerana Allahyarham adalah antara insan penting di sebalik rahsia kejayaannya sebelum ini.

“Saya amat bersedih dengan pemergiannya kerana arwah banyak memberi sokongan sehingga saya menjadi ahli perniagaan berjaya ketika ini.

“Begitupun, mujurlah saya, emak, Siti dan kakak saya sempat mengadap arwah di saat-saat akhir pemergiannya,” kata Khalid saat dihubungi Hip, petang kelmarin.

Muhammad Jiwa yang berusia 75 tahun meninggal dunia di kediaman ahli perniagaan terkenal itu di Bukit Antarabangsa, di sini pagi semalam akibat sakit tua.

Tambah Khalid lagi, jenazah bapanya dibawa pulang ke kampungnya di Kota Kuala Muda di Sungai Petani, Kedah kira-kira jam 2.30 petang, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Permatang Pasir selepas solat Maghrib.

“Sebagai anak, saya bersyukur kerana Allahyarham pergi dalam keadaan yang tenang dan hajat saya juga dimakbulkan tuhan kerana kalau boleh, biarlah bapa meninggal dunia di kediaman saya serta sempat mengadap ahli keluarga yang lain.

“Paling penting, amanat arwah supaya jenazahnya dikebumikan bersebelahan ibu dan bapanya di Tanah Perkuburan Islam Permatang Pasir turut dimakbulkan tuhan. Sebagai anak saya berusaha menunaikan amanat arwah itu, ”ujar Khalid dalam nada sebak.

Mengulas keadaan Allahyarham sebelum meninggal dunia, Khalid berkata bapanya itu memang sudah beberapa tahun terlantar di atas katil gara-gara penyakitnya itu.

“Arwah memang sudah lama mengidap angin ahmar. Dek penyakitnya itu dia juga tidak boleh berkata-kata melainkan terlantar di atas katil saja. Walaupun tak boleh bercakap tapi dia masih kenal, anak, menantu serta cucu-cucunya.

“Memandangkan keadaan kesihatannya itu maka saya membawanya tinggal bersama saya supaya memudahkan urusan rawatan. Tapi, ternyata, Allah lebih menyayanginya dan saya reda dengan pemergiannya itu. Moga rohnya itu nanti ditempatkan di sisi orang yang beriman,” kata Khalid yang bersyukur kerana berpeluang menjaga dan berbakti kepada arwah di penghujung usianya.

Sementara itu, Siti yang turut mengadap Allahyarham di saat akhirnya turut melahirkan rasa sedih di atas pemergian bapa mentuanya itu.

“Walaupun Siti tidak sempat hendak berkenal mesra dengan arwah bapa mentua kerana sewaktu kami berkahwin, Allahyarham memang sudah sakit tapi Siti tahu dia memang seorang bapa mentua yang baik. Siti berdoa semoga roh arwah bapa dicucuri rahmat dan ditempatkan di sisi mereka yang beriman,” kata Siti.

Selain rakan orang kenamaan yang menziarahi jenama Muhammad Jiwa termasuk Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Hussien dan Ahli Parlimen Gombak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa, Azmin Ali selain rakan artis penyanyi ini.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: