Wayang Wakil Negara

21 Nov

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap
FILEM Wayang arahan Profesor Hatta Azad Khan yang mengangkat seni wayang kulit dalam kehidupan masyarakat Melayu menjadi satu-satunya wakil filem tempatan yang bertanding untuk kategori Asia pada Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur (Kliff) tahun ini.

Untuk kategori yang sama, filem Wayang di saingi Captain Abu Raed dari Jordan, Uri Saengae Choego-ui Sungan (Korea Selatan), Hai Jiao Qi Hao (Taiwan) dan Hamoon Va Darya (Iran).

Pengarah Kliff, Wafa Abdul Kadir berkata pemilihan Wayang untuk mewakili negara dilihat bersesuaian dengan tema acara ini iaitu Meraikan Kepelbagaian Budaya. Filem itu yang dibintangi pelakon utama, Eman Manan dan Zul Huzaimy masih ditayangkan di pawagam sejak 13 November lalu.

“Filem itu mempunyai naluri yang sesuai mengikut tema Kliff pada tahun ini. Malah pemilihan filem cereka yang bertanding untuk kategori Asia adalah sukar. Pada tahun ini, sambutan yang diterima daripada filem bertanding cukup menggalakkan.

“Namun, fokus pada budaya tidak hanya tertumpu pada paparan satu budaya saja. Filem Amal umpamanya menampilkan pelakon Kanada tetapi bercerita budaya India.

“Bagaimanapun, filem tempatan lain yang tidak dipilih mewakili negara masih berpeluang untuk menang. Tidak mustahil filem yang hanya untuk tayangan percuma mampu dipilih juri sebagai pemenang.

“Ini disebabkan juri menonton kesemua filem yang bertanding dan ditayangkan pada Kliff kali ini. Sebanyak 16 kategori dipertandingkan termasuk tiga anugerah juri.

“Hingga kini proses penjurian masih berlangsung sejak sebelum Ramadan lalu dan berakhir pada Malam Anugerah yang akan diadakan pada 29 November nanti. Seramai 21 juri profesional dari pelbagai negara yang bertanding terbabit mengadili kategori filem cereka dan pengarah U-Wei Shaari dilantik selaku Ketua Juri untuk peringkat akhir nanti,” katanya.

Bersama Wayang, 10 filem tempatan lain yang tersenarai untuk tayangan percuma adalah Kala Malam Bulan Mengambang, Evolusi KL Drift, Susuk, Congkak, Pensil, Anak Halal, Sepi, Cuci, Duyung dan Apa Kata Hati. Tayangan filem percuma ini bermula 26 hingga 30 November ini dan ia diadakan di dua lokasi iaitu GSC Mid Valley dan GSC Pavilion, Kuala Lumpur.

Tentunya menerusi kategori filem cereka yang dipertandingkan, penonton tertarik untuk mengetahui senarai filem antarabangsa yang bertanding kategori benua Eropah, Afrika, Amerika Utara dan Amerika Selatan. Kategori benua Eropah menyaksikan hanya tiga filem layak bertanding iaitu Darling dari Perancis, La Maison Jaune (Perancis/ Algeria) dan Chrysalis (Perancis).

Benua Afrika pula mempertandingkan lima filem iaitu Hassan We Morcos dari Egypt, Tissee De Mains Et D’Etoff (Morocco), Divizionz (Afrika Selatan/ Uganda), Lilet II Baby Doll (Egypt) dan Al Koloub Al Mouhtariqua (Morocco). Di samping itu, filem dari benua Amerika Utara disertai tiga filem Amerika Syarikat iaitu The Last Lullaby, Year Of The Fish dan American East serta dua filem Kanada, Amal dan Fugitive Pieces manakala kategori Amerika Selatan, filem bertanding adalah Cuando Me Toque A Mi (Ecuador), A Casa De Alice (Brazil), Mare, Nossa Historia De Amor (Brazil/ Perancis/ Uruguay) dan Esas No Son Penas (Ecuador).

Bagi tayangan perdana bermula 27 dan 28 November di GSC Pavilion jam 6 petang, penganjur memilih dua filem iaitu Kinta dan Amal. Filem Kinta yang diarahkan Hor Chee Leong mengisahkan persaingan dendam dua beradik ditayangkan pada 27 November diikuti Amal pada keesokan harinya. Menariknya, tayangan filem ini disertai acara permaidani merah dan dihadiri artis tempatan dan antarabangsa.

Kelainan Kliff kali ini, penganjur memberikan hadiah wang tunai sebanyak RM3,000 berserta trofi dan sijil untuk setiap pemenang kategori Animasi Terbaik, Dokumentari, Filem Pendek Terbaik, Pengarah Terbaik, Aktor Terbaik, Aktres Terbaik, Sinematografi Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Bunyi Terbaik, Skor Muzik Terbaik, Suntingan Terbaik dan tiga anugerah juri. Lima anugerah perdana untuk setiap kategori yang mewakili benua akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM5,000.

Bagi anugerah keseluruhan iaitu Mercu Perdana Terbaik bakal membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM20,000. Wafa turut berkata pemberian wang tunai adalah satu galakan pada pemenang. Pada malam anugerah yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 29 November jam 9 malam dan disiarkan secara langsung menerusi Astro Kirana, akan membawakan enam persembahan iaitu Datuk Siti Nurhaliza, Yusry berduet Melly Goslow, kumpulan Ladylike dari Sweden, Ning Baizura, Point Blank, medley Zahid, Suki dan Dafi serta kumpulan teater Impak Maksima.

Penganjur juga memaklumkan antara artis antarabangsa yang mengesahkan kehadiran adalah Mallika Sherawat dari India, Tanaka Chie (Jepun), Van Fan (Taiwan), Rano Shodiyeva (Uzbekistan) manakala artis tempatan antaranya Maya Karin, Farid Kamil dan Carmen Soo.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: