Episod Baru Alyah

20 Nov

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Alyah dan Ajai

Lancar album sulung secara besar-besaran di Hotel Avillion hasil usaha abang kandungnya, Bob, yang pernah disangka ‘sugar daddy’

MEMORI tercipta di Hotel Avillion, Port Dickson selama tiga hari majlis pelancaran album penyanyi Alyah pada 15 hingga 17 November lalu.

Sebagaimana berbunga-bunga harapan Alyah untuk kembali menyinar dan kembali dikenali di persada seni, kenangan indah dan penganjuran majlis ini cukup menyeronokkan buat rakan media yang bertugas.

Tiada cacat celanya kerana majlis ini berjalan dengan jaya dan syabas buat mereka yang terbabit merealisasikan majlis ini.

Album terbitan label Wake The Baby dan Complete Version ini bakal diedarkan Maestro Records bulan ini. Bukan calang-calang artis yang mampu menganjurkan pelancaran besar-besaran ini dan Alyah mencipta sejarah tersendiri. Pelaburan dan jasa yang dilakukan abang kandung Alyah, Muhammad Fazdil Abu Hasan yang dikenali sebagai Bob untuk terus melihat adiknya terus ‘bernafas’ sangat terpuji sekali gus doa semua yang datang berharap supaya tuah terus mendakap erat percubaannya kali ini.

Hampir berputus asa dan buntu dengan pelbagai masalah yang melanda dirinya bagaikan tiada pengakhiran. Mujur terbit sinar, rezeki dan bantuan abang tersayang untuk Alyah terus menggapai impian. Abangnya yang juga seorang ahli perniagaan sudah menjalankan tanggungjawab yang patut dilakukan kepada adiknya.


KOMPOSER Ajai sedang
memberi arahan kepada peserta sukaneka.

Sekadar menyingkap pembabitan Alyah yang dulu namanya hanya dieja dengan sebutan Alya, dia mula melakar nama sejak menjuarai pertandingan Bintang HMI pada 2000. Namun laluan dan pacuan seninya tidak sekalipun menyebelahinya. Begitu juga dengan kisah kahwinnya dengan jejaka Indonesia bernama Irfan yang tidak menjadi. Bangkit dari episod silam yang hitam, Alyah positif dan memohon ruang untuk meneruskan perjuangan seni.

“Alyah memang betul-betul tidak sangka ramai rakan media yang datang ke majlis ini biarpun nama Alyah bukanlah satu nama besar. Setidak-tidaknya kehadiran anda semua memberi isyarat dan semangat baru untuk Alyah kembali. Terima kasih kepada semua yang hadir dan kenangan di sini pasti tersemat di dalam diari hidup Alyah.

“Alyah sendiri pun tidak tahu kenapa dia (abang Bob) begitu bersungguh-sungguh membantu Alyah membikin album ini. Inilah yang dinamakan rezeki. Tak jadi kahwin tapi Alyah dapat buat album. Lucunya, dia pernah disangka sugar daddy Alyah. Perbincangan membikin album ini bermula ketika dia memanggil Ajai membuat persembahan di Pulau Pangkor dan ketika itu Alyah pun terbabit,” kata Alyah yang bakal meledak dengan lagu Tak Mungkin Kerana Sayang ciptaan Ajai dan lirik nukilan Habsah Hassan.

Ajai yakin bakat Alyah


BAHAGIA sedang melewati kehidupan Liza dan Ajai.

ALBUM yang berpaksikan genre pop indo ini menggunakan khidmat Ajai dan Omar sebagai komposer dan membariskan deretan nama penulis di kalangan wartawan seperti Roslen Fadzil dan Abie Abdullah. Lapan lagu menjadi pertaruhan untuk album ini dan sebagai bonus dua buah klip video lagu Tak Mungkin Kerana Sayang dan Ku Pinjam Satu Bintang (duet Alyah dan Riz AF6) turut dimuatkan termasuk dua lagu minus one.

Menurut Ajai, kos pembikinan album ini secara keseluruhannya RM100,000 dan percaya kepada kualiti album mampu menjadi umpan yang berbaloi untuk menarik perhatian pendengar dan peminat Alyah. Percayakan kepada bakat Alyah, Ajai yakin dengan kesungguhan Alyah mampu memberi azimat dan tuah bermakna kepada dirinya.

“Bakat memang penting kepada mana-mana artis yang ingin menyertai dunia seni ini. Apabila ada bakat, kita didik mereka dengan ilmu muzik. Insya-Allah dengan kualiti yang ada pada dia (Alyah) dan kesungguhannya untuk terus mencuba, semoga tuah mendakapnya kelak.

“Melihat sejarah pembabitan seni dia sebelum ini yang tak pernah menjadi itulah sebenarnya yang saya suka. Apabila sesuatu perkara itu tak jadi, maka dia akan terus mencuba dan mencuba. Album kumpulan Ukays yang pertama hingga ketiga pun tak mendapat sambutan, namun mereka menyerlah dengan album keempat.

“Harapan saya kehadirannya mendendangkan lagu mampu menjadi malar segar. Di sinilah pentingnya peranan komposer umpama jurulatih yang melatih pemainnya dan melihat apa saja kelebihan yang ada untuk dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Artis pada kebiasaannya dikenali dengan kekuatan lagu yang didendangkan. Lagu memang memainkan peranan dan daripada situ tercetuslah fenomena. Lihat saja contoh terbaik penyanyi seperti Datuk Siti Nurhaliza,” kata Ajai ketika sidang media selepas majlis itu.

Mengenai pemilihan Riz sebagai rakan duet Alyah, Ajai melihat jejaka yang mula dikenali menerusi program Akademi Fantasia musim keenam ini sebagai pilihan tepat.

“Dia memiliki suara garau dan berkarisma sebagai seorang penyanyi lelaki. Kebetulan tahap suara dia dan Alyah serasi dan sesuai. Pitching dan penghayatan dia memang bagus apabila menyanyikan lagu,” kata Ajai.

Majlis meriah, santai

HARI pertama selepas mendaftar masuk ke chalet mewah Avillion, bermulalah sukaneka polo air yang cukup memenatkan namun mengenangkan hadiah wang tunai yang ditawarkan, wartawan dan rakan artis tetap tegar untuk berjuang bermain habis-habisan di dalam air laut.

Dibahagikan kepada empat kumpulan iaitu Bond, Aloha, Young & Dangerous dan Vogue, ternyata rezeki kemenangan menjadi milik Vogue sekali gus layak mendapat wang tunai berjumlah RM6,000.

Belum pun habis penat, pada sebelah malam pula diadakan pertandingan karaoke media dan majlis makan malam di tepi pantai. Inilah masanya rakan wartawan begitu sporting menunjukkan aksi dan bakat terpendam menyanyikan lagu pilihan. Dengan suasana santai dan angin pantai bertiup sepoi-sepoi bahasa, ia cukup menenangkan jiwa.

Keesokannya (16 November) adalah hari pelancaran album Alyah yang diadakan di Dewan Pelita. Seterusnya, malam kemuncak yang dinanti-nantikan adalah malam gala bersama Alyah berkonsepkan ala aloha. Editor Media Hiburan, Aniff Ghani diumumkan sebagai juara pertandingan karaoke media dan editor murai.com, Roslen Fadzil pula mendapat tempat kedua.

Pakaian tercantik kategori lelaki dimenangi Rosli Manah daripada Mangga Online manakala Noreen Tajuddin daripada majalah Remix bagi kategori wanita. Turut diadakan ialah acara cabutan bertuah dengan hadiah yang cukup lumayan. Paling bertuah ialah Nor Joha Ahmad editor majalah Saji mendapat TV plasma sempena hari lahirnya pada 17 November lalu dan diraikan dengan upacara memotong kek sebagai kejutan daripada penganjur. Mengakhiri persembahan pada malam itu diadakan permainan kerusi muzikal dan tarian poco-poco.

Ibarat sebuah keluarga besar yang menikmati momen keriangan, acara ini mampu mengeratkan silaturahim dan pasti dikenang selama-lamanya.

Corat-coret:

Selebriti yang turut diundang ialah Riz dan kawan Alyah iaitu Rissa Susmex yang juga pelakon, model dan hos di Indonesia. Rissa juga kawan kepada bekas tunang Alyah, Irfan.

Alyah dan Riz juga begitu sporting menyertai polo air begitu juga dengan Ajai.

Alyah turut mengakui hubungannya dengan abang Bob bukanlah rapat sangat, cuma kebelakangan ini sejak mula terbabit dengan album Alyah, mereka mula menjadi rapat. Kata Alyah, dulu memang dia jarang bercakap dengan abangnya.

Sewaktu sidang media pelancaran albumnya diadakan, Alyah menitiskan air mata di hadapan wartawan kerana terlalu sebak mengenangkan arwah bapanya yang tidak dapat melihat perjalanan seninya kini. Arwah ayahnya memang tak suka Alyah menyanyi.

Ajai turut ditemani anaknya, Ayu Nazira yang petah berbicara dan cepat mesra dengan orang yang baru dikenalinya.

Paling penting, Ajai dan kekasihnya, Liza Ilias yang juga pegawai kanan Maestro Talent juga seperti merpati dua sejoli sewaktu di sana. Hubungan mereka bukan lagi rahsia dan kini hanya berita penyatuan (berkahwin) mereka saja dinantikan rakan wartawan. Bila lagi nak makan nasi minyak?

Ajai menafikan lagu Tak Mungkin Kerana Sayang nyanyian Alyah mempunyai kaitan dengan kisah dirinya.

Riz dan Alyah menjadi perhatian lensa kamera untuk mengabadikan wajah mereka di dalam surat khabar dan majalah.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: