Magis Cinta

18 Nov

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

Rusdi Ramli dan Sharon Paul.

Babak biasa, debaran berbeza: Hanya dengan sekali lafaz, Rusdi sah jadi suami Sharon Paul atau nama penuhnya, Sharon Anne Paul Abdullah

MAGIS sebuah cinta bisa mengubah seseorang, mencipta suasana muram bertukar ceria, malah menyimbah segenap rasa bahagia atas titik persamaan kurniaan Ilahi yang menjadi fitrah kehidupan insan.

Malam kelmarin, di lokasi eksklusif banglo Galeri Creative Elements, Seksyen 2, Shah Alam mencatat satu lagi detik bersejarah yang menyatukan dua insan dalam melayari cinta mereka untuk mencari keredaan Ilahi.

Setahun menjalin cinta, detik 9.25 malam tanggal 16 November 2008 akan tercatat sebagai tarikh bersejarah buat pasangan aktor, Rusdi Ramli dan komposer serta penggubah lagu,ῠSharon Paul apabila mereka selamat bergelar suami isteri.

Hanya dengan sekali lafaz, Rusdi, 38 yang dinikahkan Pendaftar Kanan Nikah, Cerai dan Rujuk, Pejabat Agama Islam Daerah Petaling, Muhd Sujak Mohd Dasuki sah menjadi milik Sharon atau nama penuhnya, Sharon Anne Paul Abdullah, 31.

Berjabat tangan buat kali kedua untuk melaksanakan tanggungjawabnya sebagai suami, selepas mahligai cinta pertama yang dibina pada usia 19 tahun runtuh sesudah tiga tahun bersama memberikan pengalaman yang suspen buat pemenang Pelakon Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-20 itu dan Pelakon Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007.


DETIK mendebarkan Rusdi saat diijabkabulkan.

Biarpun babak itu sudah biasa dimainkan Rusdi dalam drama lakonannya, namun itu semua belum cukup untuk meredakan ketegangan dalam diri pelakon Waris Jari Hantu itu saat tangannya dijabat erat untuk upacara pernikahan.

“Suasananya sangat berbeza namun alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan saya selamat bergelar suami kepada Sharon yang mula akrab setahun lalu,” katanya.

Laluan cinta mereka berjalan sempurna dan seperti direstui, tanpa perlu menanti lama pasangan itu sepakat untuk disatukan sebagai suami isteri.

“Bermula hanya sebagai kawan, sering berbual dalam telefon namun perasaan itu akhirnya berubah menjadi cinta. Saya senang setiap kali bersama Sharon. Dia tidak pernah membuat keadaan menjadi sukar. Sharon berjaya membuat saya rasa bahagia dan apa yang penting, dia menerima saya seadanya.


PENGANTIN baru bersama ibu Sharon, Lucia Paul dan ibu bapa Rusdi, Ramli Ismail dan Norlia Ghani.

“Dia mengenali saya bukan sebagai lelaki bujang, sebaliknya sudah mempunyai seorang anak lelaki berusia 18 tahun. Alhamdulillah, dia dapat menerima keadaan diri saya dan seronoknya Sharon begitu memahami kerjaya saya yang tidak menentu masa,” katanya, sesekali merenung wajah isteri di sisi.

Sharon yang pada mulanya membiarkan Rusdi menjawab segala soalan wartawan, cuma sesekali bersuara perlahan jelas masih belum dapat menghapus debaran yang terlukis di wajahnya ketika menanti saat diijabkabulkan.

Keserasian antara mereka kata Sharon, tercipta apabila dia dan Rusdi saling mengagumi kerjaya masing-masing.

Bagi Sharon, Rusdi ialah seorang lelaki matang dan bersamanya dia berasa tenang membuatkan dia tidak menolak takdir yang menentukan jodohnya dengan lelaki itu.

Barangkali di mata umum, Rusdi kelihatan agak pendiam dan pemalu namun kata Sharon, di sebalik sifat itu suaminya sebenarnya seorang yang suka berceloteh.

“Telefon banyak mengeratkan hubungan kami berdua. Biasanya kami sering berkomunikasi di telefon kerana masing-masing sibuk.

“Mungkin orang menganggap dia pendiam melihatkan keadaan dirinya yang tenang tetapi Rusdi sebenarnya berbual dan banyak bercerita. Selalunya kami berbual antara tiga hingga 4 jam sehari, malah ada kala membawa sehingga jam 5 pagi,” kata Sharon membuka rahsia.

Masih belum menetapkan destinasi bulan madu, cuma impian Sharon ingin menghabiskan masa bersama suami tercinta di lokasi tepi pantai di luar negara apabila masa mengizinkan.

Mendambakan sepasang cahaya mata, Rusdi berharap keserasian yang tercipta antara mereka akan berpanjangan dan berkekalan hingga ke akhir hayat.

“Saya berlakon, dia pula menghasilkan muzik dan yang menyatukan kami adalah rasa kagum terhadap hasil kerja masing-masing. Kebetulan Sharon memang gemar menonton filem, manakala saya pula suka dengan apa yang Sharon lakukan hari ini.

“Malah menjadi komposer serta penggubah muzik adalah cita-cita saya ketika kecil dan itu sebenarnya yang mengeratkan hubungan kami berdua,” katanya.

Pada majlis yang berlangsung ringkas dihadiri 300 tetamu, Sharon menerima wang tunai RM800 sebagai mas kahwin bersama iringan lain iaitu sebentuk cincin emas putih bertatah berlian, senaskhah Al-Quran dan sirih junjung.

Hadiah untuk Mama Norlia

SENYUMAN yang sentiasa terukir di wajah ibu pengantin lelaki yang juga pelakon veteran, Norlia Ghani menterjemahkan rasa bahagia yang menghuni sudut hatinya.

Selama 15 tahun anak lelakinya itu hidup menduda, cuma ditemani seorang anak lelaki, Efizal Rizal, 18, besar keinginan Norlia melihat anak kesayangannya itu mendirikan rumah tangga.

Memanggil anak lelaki kesayangannya dengan panggilan manja, Boy, Norlia berkata, dia menyedari Rusdi mula dilamun cinta apabila membawa Sharon bersama ketika meraikan hari jadi cucunya, Erisha, tahun lalu.

“Selepas putus cinta dulu dengan seorang pelakon dulu, Boy agak perahsia dan jarang lagi mahu berkongsi soal perasaan dengan sesiapa. Tapi, apabila melihat dia membawa Sharon bersama pada majlis hari jadi Erisha, mama yakin ada sesuatu yang istimewa antara mereka.

“Boy hanya berterus terang dan menyatakan niatnya untuk berkahwin menjelang hari raya lalu. Pada awalnya kami merancang untuk mengadakan majlis pada 29 Disember ini, tetapi disebabkan adik mama, Norizan Abdul Ghani yang menetap di Amerika Syarikat mahu pulang jadi perkahwinan mereka dipercepatkan.

“Seronoknya perkahwinan mereka menjadi hadiah ulang tahun paling berharga buat mama yang akan meraikan sambutan hari jadi ke- 58 pada 19 Disember ini,” katanya yang membahasakan diri sebagai mama.

Ditanya mengenai Sharon, Norlia berkata, dia melihat pencipta lagu Cinta Terhalang nyanyian Bob AF2 dan Hati alunan Datuk Siti Nurhaliza itu sebagai seorang yang prihatin dan sentiasa mengambil berat perasaan orang lain.

“Dia pandai mengatur hidup dan mama berharap sangat, mereka akan hidup bahagia hingga ke akhir hayat,” katanya.

Majlis pernikahan disusuli persandingan yang berlangsung secara ringkas itu turut diserikan dengan kehadiran artis terkenal seperti Datuk Siti Nurhaliza dan suami, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa; Maya Karin; Kavita Kaur; Shuhaimi Baba; Datuk Aziz Sattar; Hans Isaac; Datin Nina Juren; Zaibo dan Sharifah Shahira.

“Mama meminta maaf kepada mereka yang tidak menerima jemputan. Ini majlis kecil serta dirancang pada saat akhir dan mama tidak dapat mengundang semua,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: