Sulam Cinta 4 Jam Sehari

17 Nov

Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

CIUM...Rusdi mencium Sharon selepas akad nikah, <br>malam tadi.
CIUM…Rusdi mencium Sharon selepas akad nikah,
malam tadi.

SHAH ALAM: “Bagi saya, Rusdi seorang lelaki yang mudah membuatkan perasaan saya tenang,” kata komposer Sharon Anne Paul Abdullah, 31, yang menjadi isteri pelakon popular, Rusdi Ramli, 38, selepas majlis pernikahan dan persandingan di Banglo Galeri Creative Elements, Seksyen 2 di sini, malam tadi.

Menurutnya, mungkin antara dia dan Rusdi saling memahami kerjaya masing-masing membuatkan mereka selesa bersama.

“Di kalangan rakan media mungkin menganggap Rusdi seorang yang pendiam, tetapi apabila kami selalu berbual menerusi telefon, dia banyak bercakap.

“Kami sering berhubung menerusi telefon pada awal pagi selepas pulang bekerja hingga berbual hampir empat jam sehari,” katanya.

Sharon berkata, dia dan Rusdi memilih majlis pernikahan dan persandingan diadakan serentak dan ringkas.

“Kalau boleh saya mahukan dua anak bersamanya,” katanya yang turut menganggap Rusdi sebagai lelaki yang disenangi.

Status duda sejak 15 tahun bukan halangan untuk Rusdi bertemu jodoh semula dengan wanita pilihannya.

Menariknya, dia dan Sharon tidak seperti kebanyakan pasangan bercinta lain yang menghabiskan masa berjumpa, sebaliknya berbual menerusi telefon.

Rusdi yang pernah memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-20 tahun lalu kelihatan tenang sebaik dinikahkan Pendaftar Kanan Nikah, Cerai dan Rujuk Daerah Petaling, Muhd Sujak Dasuki, jam 9.25 malam.

Hanya sekali lafaz, Sharon sah bergelar isteri kepada Rusdi.

Rusdi memberikan mas kahwin RM800 di samping sebentuk cincin, al-Quran dan sirih junjung.

Kedua-dua mempelai bersetuju tidak memberikan barang hantaran untuk perkahwinan mereka.

Selepas majlis pernikahan berakhir, Rusdi yang segak berbaju Melayu putih tajaan Semendarasa manakala Sharon anggun bersama baju kurung putih tajaan Calvin Thoo menghadiri majlis persandingan.

Bagi Rusdi, dia tidak menyangka perkahwinan keduanya itu menjadi kenyataan selepas mereka berkenalan selama setahun.

Katanya, dia tertarik dengan peribadi Sharon yang memahami dan menyayangi dia walaupun dia duda.

“Kami mula berkenalan atas dasar kerja dan selepas setahun kami rapat, kami mengambil keputusan untuk berkahwin. Saya bersyukur kerana majlis itu berlangsung sempurna.

“Antara kami saling mengagumi kerjaya masing-masing. Sharon gemar menonton filem manakala saya sejak kecil meminati muzik. Atas sebab itu, kami minat dan jatuh cinta,” katanya.

Mengenai perancangan berbulan madu, pasangan itu belum membuat sebarang keputusan, tetapi Sharon menyatakan mahu bercuti di destinasi yang mempunyai pantai di luar negara.

Membuktikan cinta masing-masing, mereka menubuhkan syarikat bersama iaitu Filmworks yang beroperasi sejak empat bulan lalu untuk menerbit program televisyen dan filem.

Hampir 300 tetamu hadir pada majlis itu, termasuk ibu bapa Rusdi iaitu pelakon Norlia Ghani dan Ramli Ismail, ibu Sharon, Lucia Paul dan rakan artis, antaranya pasangan Datuk Siti Nurhaliza dan Datuk Khalid Mohd Jiwa, Datuk Aziz Sattar, Shuhaimi Baba, Kavita Kaur, Adibah Nor, Hans Isaac, Zaibo dan Syarifah Sahirah.

Rusdi sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga pada usia 19 tahun, tetapi hanya bertahan selama tiga tahun sebelum menduda 15 tahun lalu.

Bapa tunggal kepada Efiezal Ridza, 18, mula berkenalan bersama Sharon ketika mereka terbabit dalam pembikinan album runut bunyi untuk filem Pontianak Harum Sundal Malam II, tiga tahun lalu. Mereka juga bekerjasama menerusi filem 1957: Hati Malaya dan Waris Jari Hantu.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: