Imuda Dan 40 Perempuan

11 Nov

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

IMUDA bergaya di hadapan sebahagian lukisan potret yang sedang dipamerkan di Galeri NSTP.

Mereka diabadikan dalam lukisan potret yang kini dipamerkan di Galeri NSTP

PELAKON yang juga pelawak dan pelukis terkenal, Imuda, kembali ke Balai Berita bermula 3 November lalu. Buat kali kedua, artis yang cukup dikenali dengan watak lelaki lembut bernama Sam dalam siri komedi 2 + 1 kira-kira dua dekad lalu itu diberikan ruang untuk mempamerkan sebahagian lagi lukisan potret hasil tangannya selama hampir sebulan di galeri NSTP.

Jika tiga tahun lalu dia tampil bersama lukisan barisan bintang popular yang pernah menghiasi pentas Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH), kali ini Imuda ‘ditemani’ pula oleh ramai wanita anggun dalam pameran yang diberi nama Imuda Dan 40 Perempuan.

Bukan saja artis jelita daripada dunia hiburan tempatan dan antarabangsa yang menjadi pilihan Imuda untuk dilakarkan wajah mereka di kanvas, malah wanita ternama seperti isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan pemain skuasy nombor satu dunia, Datuk Nicol Ann David turut dilakar cantik oleh pelukis ini.

Wajah lain yang turut menghiasi galeri NSTP kali ini ialah nama masyhur negara seperti Datuk Siti Nurhaliza, Maya Karin, Camelia, Allahyarham Puan Sri Saloma, Datin Seri Tiara Jacquelina, Erra Fazira, Ella, Datuk Sarimah Ahmad, Dayang Nurfaizah, Azizah Ariffin, Deanna Yusoff, Nasha Aziz, Amber Chia, Yasmin Hani, Nora Danish, Diana Danielle dan Rozita Che Wan.

Imuda juga tidak ketinggalan mempamerkan beberapa lukisan potret artis dan selebriti terkemuka antarabangsa seperti mendiang Lady Diana, Elizabeth Taylor, Marilyn Monroe, Audrey Hepburn, Rekha, Rani Mukherjee, Gong Li, Dian Sastrowardoyo, Britney Spears dan Joss Stone.

“Mereka yang saya pamerkan di sini terdiri daripada wanita yang saya nampak cukup jelita. Semuanya diangkat ke kanvas mengikut perspektif saya,” kata Imuda yang turut mempamerkan lukisan terbaru yang disiapkan pada 2008 untuk pameran berkenaan.

Menurutnya lagi, dia memilih untuk mengadakan pameran khas bagi selebriti wanita kerana berasakan, golongan itulah yang memiliki kecantikan, keanggunan dan keayuan sebenar.

“Namun tidak bermakna saya langsung tidak melukis potret lelaki. Buat ketika ini, sebuah lagi pameran yang diadakan di Strudels, Bangsar, mempamerkan lukisan saya dengan subjek ikon muzik terdahulu termasuk The Beatles,”ῠkatanya.

Kebanyakan lukisan yang dipamerkan pada kali ini ialah hasil ilhamnya menggunakan cat akrilik dan cat minyak. Sebahagiannya pula turut menggabungkan penggunaan pensil.

Lukisan yang dipamerkan dijual dengan harga yang pelbagai, manakala lukisan paling mahal pada pamerannya di Balai Berita ialah lukisan potret pemain skuasy terunggul, Nicol David. Potret yang dilukis menggunakan warna hitam dan putih itu dijual pada harga RM10,000.

“Apabila bercerita mengenai lukisan hitam putih, ia sebenarnya lebih sukar untuk dihasilkan kerana kita perlu berhati-hati untuk menonjolkan bayangan dan teksturnya,” ujar Imuda yang mengambil masa sehingga tiga atau empat hari untuk menyudahkan sesebuah lukisan.

Bercerita mengenai pengalamannya melukis, Imuda berkata, pernah satu ketika dia cuba menghasilkan lukisan potret seorang wanita. Namun setelah lima kali mencuba, dia tetap gagal menghasilkan lukisan yang mirip dengan subjeknya.

“Entahlah, ada kala, sesuatu wajah memainkan peranan sama ada kita boleh menghasilkannya dengan baik atau sebaliknya. Tetapi, kejadian seperti itu tidak selalu berlaku,” katanya yang lebih menggemari cat akrilik dalam menghasilkan lukisan potret.

Artis berusia 47 tahun ini juga mendedahkan betapa minatnya dalam lukisan banyak dipengaruhi oleh kekagumannya pada poster wayang.

INFO: Imuda 7 40 Perempuan
Tarikh: 3 – 30 November 2008
Waktu: 10 Pagi – 6 Petang
Tempat: Lobi Utama Balai Berita, Jalan Riong, Bangsar.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: