Gelagat Adlin, Nurul Hidupkan Suasana

10 Nov

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
serima@bharian.com.my

KARAKTER bersahaja Adlin membantu Nurul Syuhada menangani perjalanan ASK 2008.

Persembahan, atur acara tidak meleret jadikan acara tahunan TV3 kemas, lancar

CABARAN utama dalam apa juga penerbitan majlis penganugerahan adalah menyajikan perjalanan acara yang padat dan ringkas, namun pada masa sama mengangkat nilai komersial untuk mengikat khalayak setia di tempat duduk.

Bukan tugasan mudah, apatah lagi jika dibebani pelbagai bentuk penganjuran acara yang hampir sama lantas memerlukan kekuatan tenaga produksi untuk mencambahkan idea kreatif serta segar di mata khalayak. Cabaran yang digalas penerbit Anugerah Skrin (ASK) 2008, Saifullizam Mohd Lizah dan Khalijah Mohamad sebagai penerbit eksekutif berjaya dilunaskan dengan berkesan, malah menjadikan detik gemilang malam bertemakan Berlian itu sesuatu yang diingati khalayak.

Menyatukan aktor dan pengarah berkaliber, Adlin Aman Ramlie serta pengacara Majalah 3, Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zain pada mulanya menerbitkan perasaan skeptikal atau was-was mengenai kemampuan mereka, namun pujian wajar diberikan kerana tanggungjawab itu dilunaskan dengan berkesan.

Penghargaan layak diberikan kepada Adlin yang menyalurkan tenaga kepada keseluruhan perjalanan ASK 2008 lantas menjadikannya tidak bosan dan statik, bersama suntikan idea spontan yang mengundang tawa khalayak. Mungkin kerana ia pengalaman pertama Nurul Syuhada mengendalikan acara hiburan berprestij, kejanggalan gandingannya bersama Adlin dapat dikesan terutama pada permulaan acara.

Kelihatan agak gugup pada peringkat awal, tetapi Nurul Syuhada bijak mengimbangi perasaan debarnya, malah dia juga tahu bagaimana melindunginya lalu berjaya menzahirkan perjalanan sebuah acara yang lancar tanpa banyak melakukan kesilapan.


PERSEMBAHAN Siti Nurhaliza menutup tirai ASK 2008.

Mungkin juga kerana sudah terbiasa terikat dengan penyampaian berbentuk formal, imej sebegitu masih melekat kukuh dalam diri Nurul Syuhada walaupun Adlin banyak membantu untuk dia membebaskan sedikit dirinya daripada identiti itu. Cara kendalian Adlin yang spontan, bersama jenaka yang tidak terlalu meleret namun mencuit hati memberi kekuatan kepada ASK 2008.

Cuma pada permulaan, perjalanan ASK 2008 agak perlahan apabila dua pengacara itu terlalu banyak berceloteh, mungkin untuk memanaskan suasana tetapi selepas laluan iklan pertama, momentum acara itu sudah mula terasa.

Dari segi persembahan, ASK 2008 berjaya membawakan elemen yang menghiburkan meskipun tidak ada kejutan besar untuk menjadikan acara itu sebagai topik bualan berpanjangan.

Gandingan persembahan pembukaan yang dijayakan penyanyi bersuara hebat, Noryn Aziz dan Nikki menerusi Diamonds Are A Girl’s Best Friend menterjemahkan suasana gemilang ASK 2008 yang mengangkat Berlian sebagai tema.


NYANYIAN Lah yang berlebihan mengaburi keindahan lagu Ketulusan Hati yang disampaikannya bersama Adibah Noor.

Diteruskan dengan persembahan mantap, Faizal Tahir yang beraksi sendirian namun menyalur tenaga yang mengesankan dalam dewan menerusi lagu terbarunya, Coba.

Barangkali ada yang melihat gandingan barisan pelakon yang sedang mencipta nama dalam industri hiburan seperti Farahdhiya, Ady Putra, Emelda Rosmila dan Erry Putra mengulangi apa yang pernah dipersembahkan pada malam Anugerah Bintang Popular Berita Harian lalu.

Namun tiada salahnya menyatukan mereka yang membawakan lagu Seiring Sejalan itu kerana malam ASK 2008 adalah malam penggiat industri drama dan perfileman.

Ia juga adalah pengiktirafan TV3 terhadap mereka yang mempunyai bakat selain lakonan, malah harus diakui kecuali Farahdhiya yang terlebih dulu membina nama sebagai penyanyi, ketiga-tiga pelakon lain juga berbakat untuk menceburi bidang seni suara.

Cuma mungkin mereka memerlukan sedikit masa untuk menggilap bakat supaya kemampuan sebenar mereka dapat diserlahkan jika ingin serius dikenali sebagai penyanyi.

Persembahan Adibah Noor dan Lah Ahmad menerusi lagu popular Anuar Zain, Ketulusan Hati seharusnya menjadi gandingan yang menarik kerana kedua-dua mereka mempunyai suara luar biasa.

Malangnya, persembahan Lah yang berlebih-lebih menghilangkan keindahan lagu itu malah sesekali membuat khalayak rimas dengan cara penyampaiannya itu.

Mungkin Lah patut mencontohi Adibah yang bersederhana dalam penyampaian namun tetap mencuri perhatian apabila memberikan persembahan membanggakan dengan kelunakan suaranya yang mengalir penuh tenaga.

Agak janggal apabila penyanyi bersuara lantang, Jaclyn Victor memilih untuk membawakan lagu Krisdayanti, Pilihlah Aku untuk acara itu. Mengapa tidak kerancakan Pilihlah Aku digantikan saja dengan irama segar Satu Harapan yang pernah menjadi lagu latar untuk sebuah penerbitan drama tempatan? Mungkin itu lebih bersesuaian kerana ASK 2008 mengangkat karya tempatan menerusi drama dan filem yang dihasilkan penggiat seni di sini.

ASK 2008 ditutup penuh gaya oleh penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza yang mengalunkan lagu Wanita.

CORAT-CORET ASK 2008:

RAMAI terhibur dengan lawak spontan Adlin terutama ketika kekasihnya, Emelda untuk membuat persembahan. Adlin selamba memberikan ucapan selamat kepada bakal isterinya itu namun ia tidak pula menimbulkan jelek di mata khalayak. Ramai memuji kelebihan Adlin yang memberi nadi kepada perjalanan ASK 2008.

LAMA tidak muncul di mana-mana majlis hiburan, pelakon Nora Danish yang hamil lapan bulan turut hadir memeriahkan malam ASK 2008. Walaupun sarat, Nora tetap bergaya cantik malah sentiasa melontarkan senyuman manis kepada mereka yang menyapanya.

KETIKA hangat dilanda dugaan apabila kisah rumah tangganya bergolak hangat diperbualkan, Abby Abadi tidak pula menyembunyikan diri. Dia tetap hadir memberikan sokongan kepada ASK 2008, malah tidak takut berdepan dengan media yang pastinya mahu mencungkil kisah pergolakan rumah tangganya dengan Norman Hakim.

KE mana perginya kebanyakan pemenang ASK 2008? Itulah persoalan yang dibangkitkan apabila trofi yang dimenangi beberapa pemenang kategori utama diterima oleh wakil mereka. Masakan tidak mendapat kelonggaran daripada pihak produksi kerana malam ASK 2008 adalah untuk mereka.

SUASANA dalam dewan setengah jam sebelum acara bermula agak kelam kabut apabila tetamu yang datang melebihi tempat duduk yang disediakan. Sesetengah tetamu, malah ada finalis yang terpaksa bersesak di kerusi media apabila tempat duduk untuk mereka diambil orang lain. Hairan bagaimana itu boleh terjadi?

PELAKON Rosyam Nor walaupun terikat dengan program secara langsung, Fenomena Seni di RTM1 tetap hadir memeriahkan ASK 2008 selepas selesai menjalankan tanggungjawabnya. Berbaloi kerana Rosyam mengulangi kejayaan apabila diumumkan Pelakon Lelaki Terbaik Filem. Itulah yang dinamakan komitmen.

SELALU sangat tampil dalam acara hiburan tanpa sepatu, penyanyi dan pelakon, Elyana yang turut menerima pencalonan kategori Pelakon Wanita Terbaik Filem memilih sepatu bersesuaian untuk digayakan dengan gaun malam rekaan Zery Zamry.

GAUN singkat yang digayakan pengacara, Daphne Iking turut mencuri perhatian. Pada mulanya, dia sendiri agak gusar untuk menggayakannya. Faham dengan sensitiviti masyarakat, Daphne bimbang ia mencetuskan kontroversi. Namun disebabkan tidak mahu menghampakan perekanya, Daphne gagahkan diri untuk menggayakan rekaan itu.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: