Hias Studio Fotografi Gaya Manhattan

9 Nov

Oleh Bennie Zie Fauzi
bennie@bharian.com.my

Ikram ambil masa pilih perabot bagi memenuhi konsep minimalis, kontemporari

POPULARITI gaya studio di Manhattan, New York menjadi sumber inspirasi Ikram Ismail menata hias pejabat merangkap studio fotografinya. Menyifatkan gaya itu ringkas, clean cut (bersih), moden dan sedap dipandang, Ikram mencubanya pada perabot, warna dan kemasan.

“Naluri saya menyukai minimalis dan kontemporari yang saya fikir sangat secocok untuk ruang sempit. Kebetulan, gaya studio menawarkan kedua ciri ini. Sebaik menetapkan gaya, saya merujuk banyak buku dan majalah hiasan dalaman bagi mendapatkan gambaran jelas. Menerusi pembacaan, saya didedahkan dengan gaya loft (loteng) pula. Saya jatuh hati pula dengan elemen tenang, rekaan perabot kurang berbucu serta berbentuk empat segi yang diutarakan lalu saya selitkan juga di pejabat,” kata Ikram yang mengambil masa berbulan-bulan mendapatkan perabot dihajati.

Tempoh lama diambil bukan kerana dia cerewet tetapi Ikram mahu mematuhi ciri yang ditetapkan konsep studio. Usahanya nyata berbaloi apabila dia banyak menerima komen positif daripada pelanggannya malah kata Ikram, adakalanya jenuh dia bersoal-jawab dengan pelanggan yang berminat.

“Macam-macam yang ditanya termasuk tempat saya membeli perabot, harga bahkan ada yang tidak segan silu, memberitahu ingin membeli perabot sama,” katanya.

Apapun, Ikram tidak pentingkan jenama dan harga tetapi yang lebih difikirkan perabot berkenaan harus menepati cita rasa dan konsep penataan. Baik murah atau mahal, pasti dibeli jika berkenan di hati. Selain itu, Ikram tidak bergantung harap kepada sebuah kedai perabot saja tetapi gemar berkunjung dari satu kedai ke satu kedai bagi membuat perbandingan harga.


IKRAM banyak merujuk kepada buku untuk menghias studionya.

Mengenai susun atur pejabatnya, Ikram berkata, majoriti ruang menampilkan tema hitam-putih yang digandingkan bersama perabot krom.

Tema ini selain mengutarakan gaya rasmi, sebab utama hitam dipilih adalah berdasarkan karektor itu sendiri yang bersifat eksklusif, berupaya menyembunyi kotoran dan cela selain aliran gaya tidak ketinggalan zaman.

Pengubahsuaian pertama dilakukan adalah menggantikan lantai konkrit dengan jubin hitam berlicau. Lantai berkenaan dijadikan kayu pengukur bagi memilih cat dinding, perabot selanjutnya perhiasan.

“Meja kerja saya beli selepas lantai jubin siap dipasang. Syukur saya memilih jubin hitam kerana keupayaan menyamar debu. Kesannya, saya tidak perlu membersihkannya selalu tetapi dimop sekali-sekala. Kelemahannya hanya satu iaitu menyebabkan ruang tambah terhimpit. Kekurangan ini saya atasi dengan memasang cermin di dinding tumpu,” katanya yang melakarkan sendiri pelan lantai untuk rujukan membeli perabot dan menetapkan susun atur.

Sebagai jurufoto profesional, Ikram amat menghargai setiap foto yang dirakamkan. Apatah lagi, lensa kameranya pernah mengabadikan potret wajah beberapa selebriti terkemuka tanah air termasuk Siti Nurhaliza, Erra Fazira, Aleeza Kassim dan sebagainya.

Sesuai bidang kreatif yang diceburi, Ikram berasa terpanggil menghidangkan sesuatu yang berbeza mengenai koleksi fotonya. Jadi, berbanding dibingkaikan kemudian digantung di dinding, Ikram mencuba penataan galeri yang menempatkan lukisan di atas lantai.

Kaedah ini, menurut Ikram, bukan saja menyelamatkan dinding daripada kerosakan akibat dipaku, tetapi menganjurkan kelainan menerusi pantulan refleksi dari kilau jubin.

Bagai cermin yang membalikkan semula imej, foto hitam-putih berbingkai krom Ikram lebih menarik kerana menerbitkan pesona vintage apabila ia bersatu dengan corak pekat jubin.

Selain itu, bagi memecah dominasi hitam, putih dan krom, kabinet saga merah ditempatkan di dinding tengah. Percubaan Ikram menjadi kerana kabinet itu kini kerap mencuri tumpuan pelanggan.

Tip Gaya Studio

Paola Fanutti menerusi laman web Home & Garden mengesyorkan cara berkesan menonjolkan gaya studio dengan mencuba:

Cat warna semulajadi seperti tona tanah, putih dan krim yang dipercayai mewujudkan kesan luas secara ilusi dan suasana ruang bermaya. Fikirkan juga cat warna daun segar untuk dipadankan dengan perabot tona cerah. Bagi yang selesa dengan dinding polos, selitkan lukisan dan gambar berbingkai logam, hitam dan corak kayu.

Pasang banyak lampu terutama lampu sorot. Pilihan tepat pencahayaan berpotensi mengalih perhatian terhadap ruang yang sempit dan perabot besar. Lampu juga cara paling mudah menata ruang tanpa mengambil banyak ruang.

Bina bar kaunter di ruang dapur menggantikan kerusi dan meja makan. Selain menawarkan suasana kontemporari, anda berpeluang melayan tetamu dalam suasana lebih santai.

Pasang rak dan para hiasan serba guna. Ini antara ciri utama gaya studio yang membantu ruang dimanfaat sebaiknya. Selain itu, pemasangan rak diyakini menghindari suasana berkecah, sesuai menempatkan lampu sorot dan perhiasan seperti pasu, piring, gambar dan lukisan.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: