Umpama Majlis Kahwin

4 Nov

Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap
MELIHATKAN wajah selebriti dan golongan VIP yang hadir jelas membuktikan Raja Rosly Raja Mazlan yang juga Pengarah Urusan Kuzie Catering & Wedding begitu disenangi ramai.

Jika tidak, masakan Rumah Terbuka Aidilfitri Kuzie Catering yang berlokasikan aras 4, Wisma PKPS, Shah Alam, diserbu lebih 1,000 tetamu. Kemeriahannya umpama majlis perkahwinan.

Raja Rosly berkata, dia tidak menyangka kehadiran tetamu sebegitu ramai apatah lagi, masih banyak acara rumah terbuka dijalankan.

“Melihatkan kehadiran tetamu yang ramai membuatkan saya terharu, bimbang pun ada takut-takut makanan yang disediakan tidak mencukupi. Sebagai tuan rumah saya menyusun 10 jari sekiranya ada sebarang kekurangan.

“Alhamdulillah, tahun ini kami dapat mengadakan rumah terbuka yang lebih besar berbanding tahun lalu sekali gus menghimpun rakan artis serta pelanggan Kuzie Catering dalam satu majlis.

“Syukur juga saya panjatkan ke hadrat Ilahi kerana perniagaan mendapat sambutan cukup hangat sepanjang Ramadan yang lalu hinggakan ada antara pelanggan memberi cadangan supaya saya membuka beberapa lagi cawangan Kuzie Catering berdekatan kawasan mereka.

“InsyaAllah, semua ini ada dalam perancangan kami. Malah, kami juga merancang untuk mengeluarkan produk makanan yang terdiri daripada pelbagai rencah merangkumi mee rebus, sambal tumis, kari, sup tulang dan banyak lagi.

“Jika tiada halangan produk Kuzie Catering akan menembusi pasaran tidak lama lagi dan sekiranya sambutannya baik di negara ini saya juga mahu memasarkannya di luar negara,” katanya.

Menguruskan perniagaan makanan sejak 20 tahun lalu, Pak Engku mampu berbangga dengan pencapaiannya dalam bidang masakan.

Digelar chef selebriti, Pak Engku pernah terbabit dalam majlis perkahwinan ‘Wedding Of The Year’ Datuk Siti Nurhaliza bersama Datuk Khalid Mohd Jiwa selain turut menganjurkan Konsert Seroja Bersama Mawi yang diadakan dua tahun lalu.

Namun, pengalaman yang paling dikenang kebanyakan tetamu tentunya ketika majlis perkahwinan penyanyi popular Ning Baizura bersama Omar Sharif Christopher Layton Dalton pada 2 Februari lalu, dengan Pak Engku bertanggungjawab menyediakan masakan kampung.

Selain Siti dan Ning, pelakon dan pengacara popular Raja Azura serta Nadia Mustaphar pernah mendapatkan khidmat Pak Engku di majlis perkahwinan mereka.

Berbalik pada acara Rumah Terbuka Aidilfitri Kuzie Catering itu, majlis dikelolakan tiga artis terkenal, Jaafar Onn, Haiza dan Maya.

Acara yang dimulakan jam 8 malam sebelum berakhir jam 12 tengah malam itu dimeriahkan dengan persembahan nyanyian artis baru dan berpengalaman.

Antaranya yang tampil di pentas berkonsepkan rumah kampung itu, Datin Suzila Salam, Mimi Loma, Haiza, Haziq AF4, Farhan AF4 termasuk Rohana Jalil dan Jaafar Onn yang menyampaikan lagu duet.

Paling mendapat perhatian Raja Pop Malaysia, Jamal Abdillah. Dengan tubuh sedikit berisi, Jamal yang kelihatan segak menyampaikan dua lagu, satu daripadanya Ghazal Untuk Rabiah.

Saat penyanyi popular dengan lagu Kekasih Awal dan Akhir ini ingin meninggalkan majlis peminat berpusu-pusu mendekatinya untuk bergambar.

Bagaimanapun, suasana malam itu dihangatkan lagi dengan persembahan ‘Paper Doll’ yang cukup menghiburkan dengan aksi tiru gaya selebriti popular.

Raja Rosly selaku tuan rumah turut berpadu suara dengan jelmaan Datuk Sharifah Aini itu menerusi lagu Seiring Sejalan.

Sebelum majlis berlabuh, penganjur mengadakan tarian poco poco yang disertai artis veteran seperti Datuk Aziz Satar, Mimi Loma, Nash, Pak Engku, Rohana Jalil, Bob, Maya, Haiza, Datin Suliza Salam dan Datuk Faridah Hashim.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: