Rafidah Tak Mahu Tumpang Nama Siti

4 Nov

Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my

Rap
DISEBABKAN wajahnya yang dikatakan ‘seiras’ Datin Seri Siti Nurhaliza Taruddin, pengacara program kanak-kanak Riwayat Kamil di Astro Oasis (saluran 106), Rafidah Ibrahim sering diajukan soalan apakah wujud ikatan persaudaraan antara mereka.

Namun, Rafidah atau mesra dengan panggilan Fida lebih senang mengelak. Justeru, natijahnya gadis manis ini dilabel sebagai ‘sombong’. Apapun, anak kelahiran Kuala Lumpur ini tidak cepat melatah dan nyata ada jawapannya sendiri mengenai perkara itu.

Menurut Fida, dia bukanlah orang yang sombong. Akuinya, jika ada orang menyapa, dia tidak pernah enggan menjawab. Cuma, mungkin dia tidak perasan dengan sapaan diberikan itu. Jadi, janganlah menganggap dia individu sebegitu (sombong).

“Mana ada saya sombong dengan orang. Setakat ini, kalau ada yang menegur saya pasti membalas. Tetapi, persoalan mengenai ikatan persaudaraan dengan kak Siti (panggilan Siti Nurhaliza) agak berat untuk saya memberi sebarang komen.

“Saya masih terlalu baru dalam bidang ini (seni). Oleh itu, biarlah saya bangkit dan mantapkan karier ini atas nama sendiri.

“Saya tidak mahu bersandar atau menumpang nama orang lain, lebih-lebih lagi penyanyi wanita terkenal negara seperti kak Siti.

“Apapun, seandainya tindakan itu mengundang rasa kurang senang, saya memohon maaf. Saya tidak bermaksud cuba menyembunyikan apa-apa cuma sampai masa sesuai, tiada lagi rahsia. Berilah saya peluang membina karier dengan cara sendiri,” katanya.

Terus diasak dengan pertanyaan ikatan persaudaraan, Fida berkata buat masa ini dia mengakui antaranya dan Siti saudara sesama Islam.

Katanya, dalam dunia ini ada tujuh manusia yang rupanya seiras. Jadi, dia menganggap Siti satu daripada yang serupa dengannya.

Sejak bergelar juara program Siti Nurhaliza Mencari Bintang Pentene tahun lalu, gosip persaudaraan antara Fida dan Siti mula diperkatakan. Namun, kedua-duanya tidak pernah mengesahkan apa-apa. Namun, persoalan berkenaan tidak pernah berakhir.

Menyentuh perkembangan terbarunya, gadis berusia 22 tahun ini mengakui dia sudah mengikat kontrak sebagai artis syarikat rakaman Universal Music selama dua tahun.

“Kini, saya dalam proses menghasilkan album sulung berkonsepkan pop. Setakat ini, saya sudah ada beberapa lagu dan masih memilih serta berbincang untuk mendapatkan lagu lain. Saya juga bercadang bekerjasama dengan komposer seperti Aidit Alfian dan Hafiz Hamidon.

“Bagaimanapun, minggu depan kemungkinan saya akan masuk studio untuk merakamkan single pertama, Matahariku ciptaan komposer baru, Shahzemir Shahzulkarib atau Mitho, 24. Sekalipun, judul itu sama dengan lagu penyanyi Indonesia, Agnes Monika tetapi lagunya berbeza.

“Saya menyimpan harapan supaya single ini berkumandang di radio lebih awal berbanding perancangan album yang akan berada di pasaran tahun depan. Apapun, semuanya masih dalam perbincangan saya dengan pihak syarikat rakaman,” katanya.

Turut menggalas tanggungjawab mengendalikan Carta Nasyid di TV9 menggantikan Wardina Saffiyah yang kini cuti bersalin, Fida berkata dia juga mendapat tawaran berlakon drama untuk mengetengahkan lagi namanya. Namun, buat masa ini belum ada kata putus.

Sehubungan itu, bagi program TV baru diacarakan, Fida mengakui belum mendapat sebarang tawaran. Bahkan, dia juga pernah bertanya kepada Astro Oasis sama ada program Riwayat Kamil akan disambung musim kedua. Tetapi, tiada jawapan diterima.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: