Cabaran Utama Hidupkan Suasana

4 Nov

Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

MAJLIS sidang media dan pelancaran Anugerah Skrin 2008. Adlin Aman Ramlee bersama Nur Syuhada yang akan bertindak sebagai pengacara pada Majlis Anugerah Skrin 2008 itu.

Kelly terajui 50 tenaga produksi pastikan Anugerah Skrin 2008 di PWTC pada 7 November lancar

MELEWATI 13 tahun usia penganjuran sejak diperkenalkan bermula 1995, Anugerah Skrin (ASK) melalui pelbagai proses evolusi sekali gus memperlihatkan kematangan produksi TV3 dalam penganjuran acara anugerah hiburan berprestij.

Mencapai tempoh matang juga memberikan cabaran kepada pihak produksi untuk tampil dengan idea baru, mencerna minda krew dalam melahirkan atur cara anugerah berwibawa dan tersendiri tetapi pada masa sama, menarik penonton untuk terus terpaku di kaca televisyen.

Peranan penting itu dimainkan Penerbit Eksekutif Primeworks Studios Sdn Bhd, Khalijah Mohamed atau Kelly apabila dipertanggungjawabkan menerajui 50 tenaga produksi bagi memastikan kelancaran perjalanan ASK 2008.

Bakal berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, 7 November ini, Kelly mengakui, antara cabaran terbesar adalah untuk menghidupkan suasana di dewan supaya aura kemeriahan dan kegemilangan acara dirasai penonton yang menyaksikannya di kaca televisyen.

Berpengalaman menerbitkan pelbagai acara besar, Kelly akur, mengendalikan acara hiburan sangat menguji kerana khalayak sudah terbiasa dengan perjalanan majlis malah sudah mampu meneka bentuk format yang dipersembahkan.

“Disebabkan itu untuk ASK 2008 ini kami merangka strategi tertentu bagi memastikan tetamu di dewan memberi reaksi hangat supaya kemeriahan acara dirasai, sekali gus menyalurkan kehangatan itu menerusi kaca televisyen untuk dirasai penonton di rumah,” katanya.

Sejajar industri hiburan tempatan yang berkembang, ASK 2008 mengangkat tema Berlian sebagai simbolik kepada sumbangan artis dan karyawan yang diibaratkan seperti permata tidak ternilai harganya.

Kelly berkata, berlian mewakili karyawan yang mempunyai keistimewaan tersendiri malah kehadiran mereka umpama cahaya yang menerangi hati insan lain.

“Ini adalah penghargaan TV3 terhadap mereka yang banyak berjasa kepada pembangunan industri hiburan tempatan, sama ada dalam filem atau pun drama.

“Barangkali ada yang beranggapan berlian melambangkan kemewahan tetapi TV3 melihat sumbangan serta kreativiti penggiat seni umpama permata yang tidak mungkin ditukar ganti dan ia terlalu berharga jika mahu dibandingkan dengan pengiktirafan diberikan,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai perjalanan ASK 2008, Kelly yang mengetuai tenaga produksi mula membangkitkan Dewan Merdeka menjadi sebuah dewan berprestij Isnin lalu berkata, tidak lengkap acara itu jika tidak disajikan dengan selingan nyanyian.

Penonton bakal dihiburkan dengan nyanyian artis ternama seperti Datuk Siti Nurhaliza, Faizal Tahir, Jaclyn Victor, Adibah Noor, Noryn Aziz, Lah dan Nikki.

“Antara yang istimewa pada malam itu adalah gandingan nama yang sedang menyinar dalam bidang lakonan menjayakan satu segmen hiburan.

“Gabungan Farahdhiya, Ery Putra, Emelda Rosmila dan Ady Putra yang membawakan lagu Seiring Sejalan di bawah bimbingan koreografer, Sazlan Mat Adnan dan Pat Ibrahim menjanjikan pembaharuan.

“Kecuali Farahdhiya yang pernah merakamkan dua album, nama lain lebih dikenali dalam bidang lakonan. Lagipun ini malam untuk pelakon, jadi mengapa tidak kami raikan mereka yang juga berbakat dalam bidang lain,” katanya.

Gandingan Adlin Aman Ramlie dan Nurul Syuhada

IDEA asal daripada pihak pengurusan Media Prima Berhad untuk menyatukan dua nama yang melakar kredibiliti dalam bidang berbeza, Adlin Aman Ramlie dan Nurul Syuhada juga bakal memberi tarikan pada malam ASK 2008.

Bercakap mengenainya, Kelly berkata, keserasian antara mereka ketika sesi uji bakat serta kesungguhan Nurul Syuhada untuk mencuba aliran baru dalam dunia pengacaraan meyakinkan mereka untuk membawanya ke ASK 2008.

“Awalnya Nurul sendiri agak keberatan kerana ASK 2008 satu acara besar dan bukan sebarangan pengacara mampu membawa program seperti ini supaya menarik dan mengikat penonton di tempat duduk.

“Namun kami melihat potensi yang ada dalam diri Nurul dan selepas meyakinkan dia, kami percaya dia mampu menyesuaikan diri dengan perjalanan ASK 2008 yang sedikit longgar berbanding program biasa kendaliannya,” katanya.

Sementara itu, Nurul yang popular dengan Majalah 3 berkata, kehadirannya dalam ASK 2008 akan memberikan suntikan segar malah mencabar kemampuannya untuk mencuba aliran berbeza.

Sifat Nurul yang peramah pula kata Adlin, memudahkan lagi kerjasama mereka tetapi dia yakin akan ada titik keseimbangan antara mereka berdua untuk memastikan graf persembahan ASK 2008 bergerak mengikut momentum sasaran.

“Apa yang penting kami perlu sentiasa bersedia dan peka dengan arahan supaya momentum serta graf perjalanan acara tidak menurun. Asas acara anugerah tidak banyak beza cuma kehadiran kami menambahkan lagi keindahan ASK 2008.

“Saya sendiri teruja menanti detik itu kerana ia memberikan pengalaman baru, malah saya turut berkongsi debaran dan suspens kerana ASK 2008 menyediakan semua jawapan kepada pertanyaan dalam minda penonton,” kata Adlin.

Nurul menambah, keterbukaan Adlin serta sikap timbang rasa pelakon berkaliber itu membuatkan dia berasa selesa walaupun ini kali pertama mereka digandingkan untuk acara besar.

“Mula bertemu saya ingat dia serius tetapi Adlin banyak memberi semangat serta kata perangsang yang akhirnya membangkitkan keyakinan untuk saya mencuba seterusnya memenuhi harapan pengurusan,” kata Nurul yang melakar nama dalam bidang pengacaraan menerusi program wanita, Nona.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: