Tak 'Hilang Seri'

3 Nov

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

MAWI dan Ekin sibuk membuat persiapan kahwin.

Mawi, Ekin guna peluang muncul bersama di majlis untuk membiasakan diri dengan status yang mereka pegang 20 Disember

SEBAIK saja penyanyi popular Mawi mengumumkan tarikh pernikahan dan persandingannya bersama buah hati, Nora’asikin Rahmat atau Ekin baru-baru ini, ramai kenalan dan peminat yang menghulurkan tangan mengucapkan tahniah buat pasangan dari Johor ini.

Situasi bukanlah sesuatu yang asing kerana Mawi bukan insan biasa. Dia artis paling popular negara dan perkahwinannya sudah semestinya acara yang amat dinanti-nanti seluruh rakyat Malaysia.

Mawi sendiri meluahkan syukur, apabila kesemua ucapan yang diterimanya berbentuk positif.

“Paling tidak, mereka yang datang kepada saya semuanya mengucapkan tahniah. Di depan saya semuanya okey, tetapi saya tidak tahulah apa yang terjadi di belakang,” katanya ketika ditemui sebaik saja selesai majlis Kemuncak Aidilfitri Bersama Bintang Akademi Fantasia di Yayasan Tun Abdul Razak, Kuala Lumpur.

Sejak pengumuman itu juga Mawi sering kali dilihat menghadiri pelbagai acara bersama bakal isteri. Lalu timbul cerita kononnya kekerapan mereka muncul di majlis akan menghilangkan seri pengantin. Apakah Mawi sendiri mengambil kira semua ‘teguran’ berkenaan?


PUTERI AF menyampaikan lagu raya.

Mawi tidak berasakan kemunculannya bersama Ekin di beberapa majlis menimbulkan tanggapan yang bukan-bukan di kalangan peminat.

“Selalunya, jika dia tidak mempunyai apa-apa perkara hendak dilakukan ketika itu, saya mengajaknya menemani saya. Namun, terpulanglah kepadanya sama ada dia hendak ikut atau sebaliknya. Apa-apa pun, memang saya yang mengajaknya,” jelas Mawi sambil memberitahu, pernah juga Ekin memberitahu dia segan untuk mengikutnya.

Kata penyanyi Aduh Saliha itu lagi, dia juga menggunakan peluang untuk muncul bersama Ekin di beberapa majlis sejak akhir-akhir ini bagi membiasakan diri dengan status yang mereka akan pegang sedikit masa nanti.

Ekin pula berkata, kerap kali berlaku penganjur mengundang mereka berdua ke majlis yang sama.


MARSHA dan Ajai berduet menyampaikan lagu Sayang.

“Jadi, apabila kedua-duanya dijemput ke tempat yang sama, buat apa kita hendak pergi asing-asing? Baiklah terus saja pergi bersama-sama.

“Mengenai pesanan orang yang risaukan fasal ‘hilang seri’, memang saya percaya pada benda itu semua. Tetapi, saya rasa, apa yang kami lakukan setakat ini tidaklah sampai ke tahap berlebih-lebihan.

“Lagipun, kalau ada yang berpesan untuk menjaga ‘darah manis’ dan sebagainya, kami anggap semua itu sebagai keprihatinan masyarakat terhadap saya dan Mawi,” ujar Ekin.

Mula jalani kursus kahwin esok

BEGITUPUN pasangan ini ‘terpaksa’ juga berpisah apabila kedua-duanya selesai mengikuti kurus perkahwinan, esok. Kursus sehari itu diadakan khas untuk pasangan yang akan bernikah pada 20 Disember nanti.

“Berpisah itu pun bukanlah secara sepenuhnya kerana kami masih lagi perlu berhubung untuk membincangkan soal persiapan perkahwinan,” celah Mawi yang kelihatan lebih terbuka ketika berbicara, berbanding saat awal kemunculannya dalam dunia hiburan beberapa tahun lalu.

Menyentuh soal kursus kahwin yang akan dihadiri mereka, Mawi berkata, dia tidak mempunyai sebarang masalah apabila kursus seharinya itu akan turut mendapat liputan pihak media.

“Saya tidak kisah jika kursus itu dirakam. Saya tetap akan bertanya apa-apa soalan yang dirasakan perlu. Mungkin jika ada soalan yang dilihat agak sensitif, pihak media akan menyuntingnya nanti,” kata Mawi yang sudah mula membaca buku mengenai alam rumah tangga sebagai persiapan melangkah ke alam perkahwinan.

Dia dan Ikin juga rajin bertanya pada rakan yang sudah pun mempunyai keluarga, bagi mendapatkan sedikit sebanyak petua melayari kehidupan berumah tangga.

Sementara itu, Mawi ialah antara bintang AF yang muncul menghiburkan tetamu pada majlis anjuran Al Najwa Productions Sdn Bhd dan Maestro Talent. Acara yang diadakan di Dewan Toh Puan Rahah itu turut diceriakan dengan persembahan Mila, Zahid, Stacy, Faizal, Marsha, Farah, Dafi, Shawal, Zila, Noni, Nadia, Toi, Riz, Nubhan, Saida, Heliza dan Alif. Diundang sama memeriahkan acara ialah penyanyi yang juga komposer terkenal, Ajai.

INFO: Mawi dan Ekin

KINI, pasangan ini sibuk menyediakan senarai tetamu yang akan diundang ke kedua-dua majlis perkahwinan mereka di Johor dan Kuala Lumpur. Difahamkan, kira-kira 6,000 tetamu akan diundang ke majlis perkahwinan di selatan tanah air, Disember nanti, manakala lebih 1,000 tetamu disenaraikan untuk majlis resepsi di Palace of the Golden Horses, Seri Kembangan, Januari depan.

KATA Mawi dan Ekin, persiapan paling sukar tentu sekali untuk menyenaraikan semua tetamu yang dirasakan perlu untuk majlis itu. Sedaya upaya mereka tidak mahu ada nama yang tercicir, terutama saudara mara. Kata Mawi, kerja kahwin amat sensitif, justeru dia tidak mahu ada nanti yang berkecil hati jika mereka terlepas pandang untuk menghantar kad undangan.

KAD undangan pasangan ini akan diedarkan mulai November ini dan ia ditempah khas oleh Ekin di Jakarta, Indonesia. Kata Ekin, Mawi tidak dapat menemaninya ketika dia, Aen dan seorang lagi adik mereka memilih kad jemputan di sana. Namun Mawi sempat berpesan mengenai warna yang harus dipilih mereka.

DATUK Siti Nurhaliza dan Rossa ialah antara selebriti yang ingin diundang Mawi ke majlis perkahwinannya di ibu kota. Dia juga teringin melihat kedua-dua bintang popular itu menghiburkan tetamu pada hari bersejarah berkenaan.

MAWI juga berhasrat mengundang beberapa tokoh politik utama negara seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi; bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat ke majlis resepsi di Palace of the Golden Horses.

SEBELUM bercuti selepas mendirikan rumah tangga, Mawi ingin menyudahkan album Qasidah 2. Ketika artikel ini ditulis, empat lagu sudah pun siap dirakam. Dia akan memasukkan vokal bagi empat lagi lagu sebelum album itu dipasarkan sebelum tirai 2008 dilabuhkan.

SINGLE pertama daripada album itu, Allah Habibi ciptaan Farihin Abdul Fatah dan Yasin Sulaiman akan dapat didengar di corong radio sedikit masa nanti.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: