Depan Mata: Kebenaran Terungkai

3 Nov

Oleh Hartati Hassan Basri

Rap
BERTITIK tolak dari gosip, akhirnya kebenaran terungkai jua. Itulah senario yang sering berlaku dalam industri hiburan kita apabila membabitkan cerita gosip.

Sejarah sudah membuktikan hakikat ini sebagaimana gosip cinta Datuk Siti Nurhaliza dengan Datuk K, Erra Fazira dengan Hans Isaac serta Mawi dan Ekin.

Itu sekadar beberapa contoh membabitkan artis ternama, belum lagi disenaraikan artis kurang ternama. Tapi masyarakat selalu menuduh media sengaja mereka-reka cerita gosip untuk melariskan akhbar dan majalah.

Alasan mereka, kalau betul, mengapa tidak berani menyatakan dengan jelas siapa gerangan artis atau selebriti yang diperkatakan. Sebaliknya hanya diberi sedikit pembayang hingga menimbulkan tanda tanya di kalangan pembaca.

Sebagai orang media, saya selalu tekankan gosip yang dipaparkan itu pada asasnya memang benar cuma diolah dan digaul supaya menjadi sedap dengan ditambah perisa.

Media paparkan cerita gosip sebagai satu daya tarikan. Dalam banyak-banyak makanan yang dihidangkan di meja, gosip itu dianggap sebagai pembuka selera. Mungkin bagi orang kita, hidangan sambal belacan itu dianggap sebagai paparan gosip dalam akhbar dan majalah hiburan.

Mana ada orang hidangkan sambal belacan saja kerana ia bukanlah makanan utama tapi sekadar sampingan tapi ia dianggap pembuka selera. Ada orang yang tidak selera makan kalau tiada sambal belacan.

Dalam sisipan Harian Metro, Rap, hanya ada satu ruangan untuk gosip iaitu Soseh Soseh (SS) dan ia hanya setengah muka berbanding 20 muka yang diperuntukkan bagi cerita hiburan.

Tapi yang kecil itulah yang selalu diperkatakan orang hingga setiap akhbar dan majalah ada ruangan gosipnya. Malah ada pembaca mengatakan mereka akan cari dulu ruangan SS sebelum membaca cerita lain. Apabila berjumpa kawan-kawan, perkataan pertama yang selalu ditanya ialah apa gosip terbaru.

Apa yang menarik, cerita gosip itu akhirnya terbukti benar walaupun sebelumnya mati-mati artis diperkatakan itu menafikannya. Biasanya walaupun tidak dipaparkan siapa gerangan orangnya, tapi daripada bayang-bayang dipaparkan, dapat juga diketahui siapa orangnya.

Jadi untuk mendapatkan kesahihan cerita, tentulah dengan bertanya yang empunya diri. Kiranya susulan daripada gosip untuk menjadi satu berita.

Tetapi selalunya mereka tidak akan mengaku. Kalangan wartawan hiburan seperti sudah maklum apabila artis buat penafian, belum tentu lagi kebenarannya.

Antara gosip yang hangat diperkatakan akhir-akhir ini ialah mengenai rumahtangga pelakon Norman Hakim dengan Abby Abadi dikatakan bergolak. Mereka dikatakan tidak lagi tinggal sebumbung malah Norman juga tidak pedulikan keluarga.

Semuanya gara-gara kehadiran orang ketiga dan pelakon baru, Memey dikaitkan dalam cerita ini. Baik Norman mahupun Memey, menafikan perkara itu.

Lakonan paling menarik ialah ketika majlis cukur jambul anak ketiga mereka, Maria Danisha Hakim, berusia satu bulan, Ahad lalu. Ia disiarkan pada muka depan Harian Metro Selasa lalu. Kenyataan Norman dan Abby bercanggah sedangkan mereka berada dalam satu majlis pada waktu sama.

Tidak cukup dikatakan tidak pulang ke rumah sejak Ramadan lalu, Norman juga dikatakan sudah berkahwin di sempadan. Tapi Norman siap cabar supaya ditunjukkan buktinya.

Kenyataan Memey dalam Rap pada Rabu lalu lebih melucukan apabila mendakwa tidak lagi mempunyai sebarang hubungan dengan aktor popular itu sebaik penggambaran drama Pasrah selesai.

Tapi pada malam itu juga, jam 2 pagi, Memey dan Norman ditangkap khalwat kerana berdua-duaan dalam keadaan mencurigakan di pejabat Norman di Ukay Perdana, Hulu Klang, Selangor. Apakah makna semua ini?

Apa yang agak menyedihkan ialah ketika cerita mengenai hubungan mereka hangat diperkatakan, Norman dan Memey tidak mengambil iktibar dan peringatan. Sepatutnya sebagai orang yang bijak, mereka lebih berhati-hati dengan segala tindak tanduk mereka supaya tidak mencurigakan.

Tapi tidak tahulah mengapa mereka terus juga bertemu. Difahamkan, bukan pada malam itu saja Memey berada di pejabat Norman, tapi sudah lama dilihat orang sekeliling serta menjadi bualan.

Agaknya apabila keluar kenyataan Norman dan Memey dalam akhbar membuat penafian, ia seolah-olah mencabar kesabaran orang sekeliling hingga mereka nekad untuk bertindak. Cara terbaik, buat aduan kepada pejabat agama supaya mereka boleh bertindak kerana memang tugas mereka mencegah yang mungkar.

Tapi Norman mengatakan semua itu salah faham dan berharap masyarakat tidak salah anggap. Memey pula terus memberi kenyataan tidak cerdiknya sebagaimana disiarkan dalam Harian Metro Jumaat lalu.

“Dalam dunia hiburan, penafian seperti itu terpaksa dilakukan. Kadang-kadang dalam memberi kenyataan, ada perkara yang boleh dijelaskan dan ada yang perlu disorokkan bagi mengelak salah faham kemudian hari. Saya sendiri yakin pihak media sedia maklum dengan situasi seperti ini,” katanya.

Itulah lakonan hebat dua pelakon. Seorang sudah banyak pengalaman berlakon sama ada filem dan drama dan seorang lagi sedang mencipta nama sebagai pelakon baru.

Harian Metro

One Response to “Depan Mata: Kebenaran Terungkai”

  1. adviser November 11, 2008 at 10:02 pm #

    Biasanya org keliling hanya report pada JAIS kalau dah selalunya dilihat berduaan. Ini pengalaman member serumah i. Tapi masa kejadian tu berlaku i tak der rumah, i study kat rumah member yang lain.I tak tau dia rajin bawa lelaki masuk rumah selama nie sbb i nie jenis tido mati. Tapi org keliling perasan. Then one day kena cekup dan naik court. Tapi even diorang bercinta (lelaki tu suami org)bila kena jatuh hukuman just bayar denda. Tak kawin pun sampai skang. Asal byr denda lepas la…tapi statement norman yang pasrah terima memey as second wife buat i musykil la.Buat apa nak kawen kalau tak cinta. Mulia betul lah hati dia kalau semata2 nak selamatkan maruah memey tu.Mcm zaman2 nabi gitu.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: