Strategi Yasin

2 Nov

Oleh FIRDAUS SAHAT
firdaussahat@hmetro.com.my

Rap
NAMA Yasin Sulaiman bukan asing di kalangan peminat seni hiburan tanah air. Cuma kini, peminat tertanya-tanya ke manakah menghilangnya penyanyi yang popular dengan lagu Salsabila itu? Masih aktifkah dia atau sudah melupakan dunia seni yang sebati dengan jiwanya?

Barangkali juga, Yasin lebih menumpukan kerja di sebalik tabir. Sibuk dengan pembikinan album penyanyi lain mungkin menyebabkan jejaka ini tidak punya masa menyiapkan produk sendiri.

Rindu peminat terhadap penyanyi ini ternyata belum terlerai. Sekalipun sering menghiasi televisyen sebagai pengacara, suaranya tetap menjadi pujaan ramai.

Menurut Yasin, sebelum ini dia sibuk dengan kerja di belakang tabir dan juga urusan peribadi. Namun, kerjaya sebagai penyanyi tidak dilupakan.

“Selepas album Salsabila, saya sibuk dengan urusan peribadi termasuk berkahwin dan menguruskan rumah tangga. Selepas itu saya sibuk dengan penubuhan studio sendiri dan menerbitkan album untuk artis lain seperti kumpulan Too Phat, Datuk Siti Nurhaliza dan Datuk Sharifah Aini.

“Album Raja Azura yang terakhir siap awal Januari lalu. Selepas itu baru saya dapat menumpukan perhatian sepenuhnya menerbitkan album sendiri,” katanya.

Tambah Yasin, kali ini dia cuba lari daripada genre asalnya. Mengetengahkan lagu pelbagai jalur menjadi strateginya untuk memastikan produknya mendapat tempat di hati peminat muzik.

Selama ini irama padang pasir atau muzik sejagat (world music) menjadi landasannya. Begitupun, kali ini Yasin turut mencuba genre rock dalam album terbarunya.

“Dalam keadaan pasaran tidak menentu, penting untuk saya menampilkan lagu pelbagai rentak. Sekurang-kurangnya ia memenuhi selera pendengar pelbagai kategori dan peringkat umur.

“Bercerita soal genre rock pula, saya mula belajar menghasilkan lagu ini ketika menerbitkan album kumpulan Amuk. Daripada situ, saya mula terfikir mengapa saya sendiri tidak menyanyikannya. Tidak lama kemudian, lahirlah lagu berjudul Arus Qudus.

“Album terbaru ini juga akan mengambil nama lagu itu sebagai judulnya. Begitupun, saya akan mengetengahkan single Bismillah dan Kuala Lumpur yang dirasakan mampu menarik minat pendengar.

“Bercerita soal album juga, ia terbahagi kepada dua bahagian. Insya-Allah bahagian pertama yang mempunyai lapan lagu terbaru akan dipasarkan pada bulan depan, manakala bahagian kedua pula akan ada di pasaran pada 2009,” katanya.

Dalam kesibukan kerjayanya, Yasin turut bersyukur ke hadrat Ilahi apabila dikurniakan seorang lagi cahaya mata. Diberi nama Malaika, bayi berusia empat bulan itu selamat dilahirkan pada 7 Julai lalu.

“Kehadiran Malaika melengkapkan hidup saya dan isteri. Kini, abang Malaika iaitu Sameer berusia empat tahun tidak perlu lagi bermain seorang diri. Malaika juga menambah sinar hidup saya dan isteri.

“Bak kata orang, anak itu pengerat keluarga. Anak juga pemberi rezeki buat kita. Lagipun, ia juga antara janji Tuhan terhadap umat-Nya,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: