Ubah Nasib Industri Muzik

23 Oct

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap

SEMUA stesen radio tempatan diminta menyokong cadangan kuota penyiaran yang dikemukakan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) bagi memastikan lagu penyanyi tempatan disiarkan secara tetap di corong radio, sekali gus membantu memulihkan industri muzik tanah air yang tenat ketika ini.

Presiden Karyawan, Freddie Fernandez berkata, pihaknya sudah mengemukakan cadangan berkenaan kepada Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor pada September lalu.

“Pihak kementerian juga memberikan reaksi positif kepada cadangan kuota penyiaran berkenaan. Buat masa ini, mereka masih meneliti dan mengkaji pelaksanaan kuota berkenaan secara terperinci. Apa yang penting, kementerian juga ingin melihat industri muzik kembali hidup dan ceria seperti dulu,” katanya.

Freddie berkata, pihaknya mengambil tiga lagi pendekatan untuk memulihkan industri muzik yang tenat iaitu menganjurkan simposium komposer, program latihan untuk artis dan menjalankan kajian pemasaran lagu menerusi digital.

“Pihak kami akan mengaturkan pertemuan dengan semua pengeluar lagu dan muzik menerusi bengkel dan simposium berkenaan.

Antara agenda simposium ialah perbincangan dengan komposer dan penyusun lagu tanah air untuk menentukan hala tuju bidang muzik termasuk menghasilkan lagu yang terkini dan menepati selera generasi muda.

“Menerusi usul yang dikemukakan dalam simposium berkenaan, kita akan dapat menentukan segala muzik yang dihasilkan nanti adalah berkualiti dan mendapat tempat di hati pendengar,” katanya.

Freddie berkata, pihaknya juga menganjurkan program latihan penyanyi yang juga ahli Karyawan akan dilatih dalam program latihan yang dianjurkan persatuan bagi memastikan mereka tampil dengan persembahan yang hebat dan mengagumkan seperti penghibur terkenal Sudirman Hj Arshad dan Anita Sarawak.

“Pendekatan seterusnya ialah dengan membuat kajian pemasaran lagu menerusi digital iaitu meluaskan lagi pasaran muzik muat turun lagu secara sah. Semua pendekatan yang diambil itu pasti akan nampak perubahannya kepada industri muzik tanah air dalam tempoh setahun akan datang,” katanya.

Presiden Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (Papita), Datuk M Daud Wahid berkata, penyanyi tempatan perlu menerima hakikat industri muzik tanah air berada dalam keadaan genting ketika ini.

“Kebebasan penyanyi yang ingin membuat persembahan juga terbatas. Jika dulu, penyanyi kita boleh mencari rezeki dengan menjayakan persembahan sempena jamuan anjuran kerajaan negeri tapi sekarang tidak mudah seperti dulu. Persatuan juga mencari ruang untuk membantu ahli Papita membuat persembahan contohnya menerusi perlawanan golf dianjurkan,” katanya.

M Daud berkata, pihaknya juga menggalakkan penyanyi tanah air untuk berjinak-jinak dalam bidang perniagaan untuk menambahkan pendapatan pada zaman kegawatan pasaran album ketika ini.

“Penyanyi perlu mengikis sifat malu untuk buat bisnes kecil-kecilan. Apa yang penting, mereka perlu merebut apa saja peluang yang datang untuk menyara keluarga.

“Pada masa sama, mereka diminta tidak menuntut bayaran tinggi pada zaman industri muzik tenat sekarang. Kalau dapat bayaran RM200 atau RM300 sekalipun jangan ditolak kerana ia juga rezeki.

“Penganjur juga perlu mempelbagaikan artis yang menjayakan persembahan seperti mengundang artis pelbagai genre dalam persembahan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas ruangan Jarum Emas, Adam Salleh, 12 Oktober lalu yang melaporkan bidang nyanyian kita dari sehari ke sehari kian senak.

Menurut laporan itu lagi, album diterbitkan sepanjang 2008 boleh dikira. Paling aktif pun cuma Maestro yang berjaya mengeluarkan 10 album, yang lain kebanyakannya album kompilasi. Untuk 2009, difahamkan Maestro sekadar berani mengeluarkan ‘single’ saja. Syarikat produksi dan rakaman lain ibarat ‘hidup segan, mati tidak mahu’.

Sementara itu, beberapa penyanyi popular tempatan turut berkongsi pandangan mengenai nasib dan masa depan penyanyi tempatan dalam keadaan industri muzik yang tenat ketika ini.

Penyanyi popular Era Fazira berkata, semua pihak yang terbabit seperti stesen radio dan TV perlu bersatu untuk membantu memulihkan industri muzik tanah air yang tenat ketika ini.

“Pihak stesen radio perlu memberi keutamaan untuk memutarkan lagu penyanyi tempatan. Begitu juga kemunculan penyanyi tempatan membuat persembahan di kaca televisyen.

“Pihak stesen perlu memberi peluang kepada karya tempatan dan memberi sokongan penuh pada penyanyi kita.

Erra berkata, penyanyi perlu meletakkan harga yang fleksibel dan berpatutan kepada penganjur yang mengundang mereka menjayakan persembahan.

“Dalam zaman gawat ini, syarikat juga terpaksa memotong bajet untuk program hiburan dalam aktiviti tahunan mereka. Lebih teruk, syarikat juga memotong separuh dari harga asal yang ditetapkan penyanyi untuk menjayakan persembahan mereka.

“Penyanyi pula terpaksa menerima harga itu kerana keadaan terdesak sekarang. Tapi bila keadaan ekonomi negara pulih, penganjur perlu membayar penyanyi mengikut harga asal penyanyi sebelum zaman gawat dulu.

“Apa yang saya perhatikan, ada penganjur yang mengambil kesempatan ketika penyanyi susah ketika ini. Mereka masih membayar harga yang sama sekalipun ekonomi sudah pulih. Jika penyanyi boleh bertolak ansur dengan syarikat mengenai harga yang ditetapkan, sepatutnya syarikat juga beri peluang sama pada artis yang mencari makan dalam bidang seni,” katanya.

Erra berkata, penyanyi perlu lebih kreatif dan tidak boleh bergantung dengan bidang nyanyian semata-mata.

“Saya sedar, penyanyi yang ada nama pun turut berasa keperitan industri muzik yang tenat ketika ini. Justeru, inilah masanya mereka cuba meneroka bidang lain pula termasuk menjalankan bisnes kecil-kecilan,” katanya.

Bagi penyanyi kumpulan Wings, Awie pula, semua pihak terbabit dalam kemelut politik negara ketika ini termasuklah industri muzik tanah air.

“Jika dulu kita berhadapan dengan kemasukan lagu Indonesia, sekarang kemelut politik pula. Sebagai penyanyi berpengalaman, saya juga merasai keperitan industri muzik yang tenat sekarang.

“Contohnya, undangan persembahan sempena Aidilfitri juga kurang berbanding tahun lalu. Pada 31 Ogos lalu, kami sepatutnya menjayakan tiga persembahan tapi terpaksa dibatalkan kerana tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa,” katanya.

Awie berkata, penyanyi juga perlu meletakkan harga berpatutan selaras dengan imejnya sebagai artis yang ada nama.

“Contohnya, penyanyi yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun, perlu dibayar dengan harga setimpal dengan pengalamannya itu. Pada masa sama, penyanyi tidak boleh terlalu meletakkan harga ketika industri tenat sekarang kerana mereka perlu menyara keluarga.

“Saya juga tidak ada masalah untuk berbincang dengan syarikat korporat untuk mendapatkan harga yang memuaskan hati kedua belah pihak. Maklumlah, tidak semua penyanyi yang berani menceburi dunia perniagaan kerana ada juga artis yang cari makan dalam bidang nyanyian semata-mata,” katanya.

Awie berkata, tidak salah jika artis menghasilkan album baru ketika industri muzik tenat ketika ini.

“Penyanyi boleh buat buat album baru jika mereka mempunyai bajet. Album baru juga perlu untuk memberitahu mereka masih wujud dalam industri muzik tanah air.

“Bila penganjur mengetahui penyanyi itu masih aktif, tidak mustahil mereka akan mengundang penyanyi berkenaan untuk majlis makan malam korporat dan sebagainya lagi,” katanya.

Penyanyi Dayang Nurfaizah berkata, semua artis sama ada baru atau sudah ada nama mengakui industri muzik bergerak perlahan ketika ini.

“Jika dulu album mereka boleh terjual ratusan ribu tapi sekarang kalau terjual lebih 10,000 unit pun sudah cukup bagus.

“Dalam zaman kegawatan sekarang penyanyi tidak boleh bergantung pada jualan album saja. Inilah masanya mereka perlu bekerja lebih keras untuk mencari ruang mempromosikan album mereka.

“Penyanyi juga kena tampil dengan album baru untuk memberitahu peminat aktiviti seni mereka sekali gus menarik penganjur untuk mengundang mereka menjayakan persembahan makan malam korporat. Maklumlah, syarikat rakaman kini sudah bertukar menjadi bisnes berbanding untuk mempromosikan album artis mereka,” katanya.

Apapun, kata Dayang, penyanyi perlu mempromosikan album mereka walaupun dalam kegawatan pasaran album ketika ini.

“Buatlah promosi album berkali-kali dan selepas itu kalau tidak berjaya sekurang-kurangnya anda sudah berusaha.

“Sebagai penyanyi kita memang menaikkan harga pada setiap tahun. Tapi sebagai artis, kita masih bertolak ansur dan melihat berapa bajet syarikat dan dapatkan harga terbaik untuk kedua belah pihak,” katanya.

Penyanyi Siti Sarah Raisuddin berkata, dia menyokong resolusi memorandum 90:10 yang dihantar Karyawan baru-baru ini kerana ia sangat bagus untuk memulihkan industri muzik yang tenat.

“Sebagai anak tempatan, saya juga cuba menolong industri dengan menggunakan khidmat komposer tempatan untuk album saya.

Setiap kali buat persembahan saya juga menyanyi lagu anak tempatan seperti dendangan Siti Nurhaliza, Ziana Zain dan Jaclyn Victor,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: