KRU Lamar Siti, Mawi Untuk Magika

20 Oct

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

NORMAN, Edry dan Yusry melayan Ismail Sabri memilih hidangan.

Filem muzikal berskala besar ambil inspirasi filem Hollywood, Alice In Wonderland

BELUMPUN sempat filem terbaru terbitan mereka, Cicak-Man 2 ditayangkan di pawagam, sudah terdengar desas-desus mengatakan trio adik beradik popular, KRU bakal menghasilkan sebuah filem berskala besar berkonsepkan muzikal.

Lebih menarik perhatian, filem arahan Edry ini akan menggunakan khidmat penyanyi tersohor negara iaitu Datuk Siti Nurhaliza dan Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007, Mawi.

Barangkali berita ini adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu peminat kedua-dua penyanyi ini kerana maklumlah bukan mudah untuk menyaksikan dua gergasi dalam industri hiburan ini disatukan dalam layar perak.

Dan andai ini menjadi realiti, tidak mustahil filem ini mampu meletup di pawagam kerana aura yang dimiliki kedua-dua penyanyi ini mampu menarik sebahagian besar peminat mereka berkunjung ke pawagam.

Namun, sejauh manakah kebenaran khabar yang bertiup kencang ini? Apakah ia sekadar satu fantasi atau bakal menjadi realiti?


POPULARITI Mawi (kiri) pikat KRU manakala Siti Nurhaliza belum beri jawapan.

Bertemu penerbit eksekutifnya, Norman Abdul Halim pada majlis rumah terbuka KRU di kediaman Edry di Country Heights Kajang malam Sabtu lalu memberi peluang kepada media mendengar sendiri perkhabaran terbaru daripada lelaki yang lebih dikenali sebagai Abang Long kepada adik beradiknya itu.

Sambil mengukir senyuman kerana perancangan yang sepatutnya menjadi rahsia itu begitu pantas dihidu media, Norman berkata, pihaknya sememangnya sedang merancang menghasilkan filem muzikal itu yang bakal menggunakan judul Magika.

“Ya, memang kami sedang merancang untuk menghasilkan sebuah filem bercorak muzikal berjudul Magika. Konsep filem ini lebih kurang sama dengan filem animasi Alice In Wonderland di mana dalam filem ini nanti ada dua adik beradik yang tersesat dalam sebuah dunia fantasi.

“Dunia baru yang mereka terokai itu nanti akan mempertemukan mereka dengan watak mitos dan legenda yang pernah diceritakan kepada kita sejak turun temurun seperti nenek kebayan, badang dan juga Pak Pandir.


YUSRY, Edry dan Norman bersama ibu, bapa dan adik perempuan mereka, Harlina.

“Memandangkan ia sebuah filem fantasi, kami akan menggambarkan dunia baru yang akan mereka terokai itu nanti bersifat berbeza dengan yang asal di mana keadaan di situ mungkin berwarna-warni. Senang cerita, ia menyamai konsep filem lakonan Johnny Depp iaitu Charlie and Chocolate Factory.

“Filem ini nanti mengutarakan tema kekeluargaan kerana di penghujungnya nanti kedua adik beradik tadi akan lebih memahami makna sebuah perhubungan itu,” ujar Norman panjang lebar.

Sambil menafikan filem ini adalah sebuah filem seram gara-gara menampilkan watak misteri seperti nenek kebayan dan alam bunian, Norman berkata, dia memilih genre muzikal kerana mendapati konsep seperti itu semakin diminati ramai.

“Sambutan memberangsangkan yang kami lihat diberikan penonton terhadap teater muzikal Puteri Gunung Ledang dan P Ramlee The Musical sebelum ini memberikan kami inspirasi untuk menghasilkan filem bercorak muzikal. Jika penonton sudah boleh menerima konsep muzikal dalam teater, bermakna mereka juga boleh menerima konsep muzikal dalam filem.

“Berbanding filem lain yang kebanyakannya menampilkan pelakon utama sebagai watak utama, namun dalam Magika kami akan menggunakan pelakon baru. Pun begitu untuk watak dalam dunia fantasi, kami akan menggunakan pelakon ternama dan mereka juga boleh menyanyi,” ujar Norman tanpa mendedahkan siapakah nama pelakon yang ditawarkan mereka untuk membintangi filem itu.

Ditebak apakah filem itu nanti bakal menyaksikan penampilan istimewa Siti Nurhaliza seperti pernah dinyatakan dalam akhbar mingguan B*Pop sebelum ini, Norman hanya tergelak besar sebagai reaksi terhadap jawapan itu.

“Memang kami ada menawarkan Siti untuk memegang salah satu watak iaitu sebagai Puteri Gunung Tahan. Kami sudah pun memberikan skrip padanya dan masih menunggu kata putus daripadanya, manakala yang lain ada yang masih mempertimbangkan tawaran berkenaan.

“Namun saya tidak melihat perkara itu sebagai satu masalah besar buat mereka kerana kebanyakan watak mereka dalam filem ini tidak memerlukan mereka berada terlalu lama di lokasi. Lagipun saya faham mereka ini juga mempunyai jadual cukup padat,” katanya sambil memaklumkan jika segala-galanya berjalan lancar, filem itu bakal menjalani penggambaran sekitar Januari tahun depan.

Tambahnya dengan kepakaran Edry yang berpengalaman dalam menghasilkan klip video serta ditunjangi lagu yang menarik, Norman yakin filem ini mampu memberi impak dalam dunia perfileman tempatan.

“Skrip sudah pun siap, begitu juga dengan lagu. Terdapat 12 lagu dalam filem ini yang kesemuanya adalah hasil ciptaan baru. Pemilihan Edry adalah kerana dia mempunyai pengalaman dalam menghasilkan klip video.

“Dan itu tidak banyak beza kerana filem ini juga bercorak muzikal. Untuk mencantikkan lagi filem ini, kami juga akan menggunakan teknik Imej Janaan Komputer (CGI) terutama apabila membabitkan babak kemunculan Naga Tasik Chini,” ujarnya.

Mercu tanda KRU

JIKA tiada aral melintang pertengahan tahun depan iaitu sekitar Jun, empayar KRU yang selama ini berlokasikan di Setiawangsa secara rasminya akan berpindah ke kawasan Cyberjaya.

Berkat hasil titik peluh mereka selama lebih dua dekad dalam bidang seni, KRU kini sudah mampu tersenyum bangga apabila pejabat baru mereka itu nanti bakal dilengkapi peralatan canggih yang akan digunakan khusus untuk kerja pembikinan filem serta album terbitan syarikat mereka.

Jelas Norman, perpindahan ke lokasi itu membuktikan betapa perjuangan KRU dalam industri ini semakin berkembang dan bukannya sekadar melepaskan batuk di tangga.

“Bermula dengan menyewa sebuah bilik Taman Melawati pada 1992, dan empat tahun selepas itu, syarikat kami berpindah ke kawasan Setiawangsa dan sehinggalah selepas lebih sedekad beroperasi di situ, barulah kami mengambil keputusan untuk berpindah ke Cyberjaya.

“Banyak faktor menjadi penyebab mengapa kami berpindah ke situ antaranya kerana kawasan itu sedang membangun dan ia mempunyai kaitan dengan usaha kami pada masa akan datang iaitu ingin aktif dalam pembikinan animasi.

“Memandangkan di situ juga terdapat banyak pusat pengajian tinggi swasta seperti LimKokWing, Multimedia Universiti, jadi secara tidak langsung kami memberi peluang kepada tenaga muda untuk mencurahkan apa yang mereka pelajari di syarikat kami,” cerita Norman sambil memberitahu mereka akan mengadakan sidang media khas untuk menceritakan mengenai perpindahan mereka itu.

Tambahnya, lokasi baru pejabatnya itu juga nanti akan memuatkan sebuah studio soundstage sendiri untuk kemudahan mereka membuat penggambaran.

“Kebanyakan studio soundstage yang ada hari ini mengenakan bayaran harian yang agak mahal dan ini tidak bersesuaian dengan syarikat produksi filem. Jadi bila kita sudah ada studio soundstage sendiri maka secara tidak langsung ia memudahkan kami. Dan kami juga bercadang untuk membuka studio ini untuk disewakan pada harga berpatutan,” jelasnya.

Antara tetamu yang hadir pada majlis rumah terbuka itu termasuk Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob dan anaknya, Dafi yang juga artis naungan KRU, aktres jelita Maya Karin, kumpulan nasyid Rabbani, pelakon dan koreografer, Corrie dan tunang, penerbit filem Ahmad Puad Onah, David Teo dan Profesor A Razak Mohaideen.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: