Fragmen: Apabila Stesen TV Kitar Semula Program Raya

15 Oct

Oleh Zainuri Misfar
zainuri@bharian.com.my

Ulang siar cerita yang sama terlalu kerap buat penonton bosan

SUDAH dua minggu kita meraikan Hari Raya Aidilfitri dan dalam tempoh ini stesen TV masih menyiarkan atau membuat siaran ulangan beberapa program yang diterbitkan khusus untuk sambutan hari lebaran ini.

Malahan promo program khas Hari Raya masih disiarkan oleh semua stesen TV.

Seperti tahun sebelumnya, jumlah program yang diterbitkan khusus untuk hari raya oleh semua stesen TV memang jumlahnya ‘tidak terkira’. Selain untuk tujuan berhibur, program istimewa yang disediakan oleh stesen TV ini juga sebagai memeriahkan lagi suasana hari raya.

Bagaimanapun, program yang disediakan memang pelbagai corak dan jenis. Penonton sebenarnya tidak boleh merungut kerana dengan aneka program yang disediakan oleh stesen TV, kita boleh memilih program yang hendak ditonton. Daripada hiburan, dokumentari, drama, telefilem hinggalah kepada filem cereka.

Memang kalau sekali lihat, terasa seperti stesen TV kita menyediakan banyak program, terutama drama dan telefilem. Hakikatnya, ia nampak banyak tetapi tidak semuanya baru kerana ada stesen TV menyiarkan semula drama lama. Bagi mereka yang sentiasa mengikuti drama atau telefilem tempatan, tidak sukar untuk menuding drama mana yang sudah dan belum disiarkan.

Sepanjang musim raya juga, kita turut disajikan dengan wajah penyanyi atau personaliti yang sama dan mereka juga akan menyanyikan lagu hari raya yang serupa. Datuk Siti Nurhaliza, Erra Fazira, Mawi, Dayang Nurfaizah adalah antara yang wajah-wajah yang boleh dianggap paling banyak muncul dalam mana-mana stesen TV sepanjang raya ini.

Tiada apa yang hendak dipertikaikan kalau hanya itu saja barisan artis popular yang ada untuk menarik penonton. Cuma, kadang-kadang terasa bosan juga asyik melihat wajah yang sama saja dan program mereka ini pula di ulang siar.

Dalam keasyikan menghimpunkan artis baru, stesen TV seolah-olah terlupa hendak menerbitkan program yang khusus untuk penyanyi veteran.

Bayangkan kalau Datuk Ahmad Jais, Datuk Sharifah Aini, Datuk DJ Dave, Uji Rashid, Hail Amir, Halil Chik, Sheila Majid, Sanisah Huri, Aman Shah dapat dikumpulkan dalam satu program dan mereka menyanyikan semula lagu raya masing-masing yang malar segar hingga ke hari ini.

Bagi kita, ada beberapa program yang agak menarik seperti Retro@Raya yang disiarkan di Astro Prima apabila menampilkan penyanyi lama seperti Datuk DJ Dave, Azlina Aziz dan Khatijah Ibrahim menyanyikan lagu raya mereka.

Kita juga dapat melihat ada sedikit kelainan dalam rancangan muzikal khas Hari Raya terbitan bersama MediaCorp Singapura dan RTM iaitu Sinar Lebaran. Program ini menampilkan dua pengacara iaitu Fauzi Laily dari Singapura dan Nabila Huda (Malaysia).

RTM dilihat mempunyai kelebihan tersendiri kerana hampir sebahagian besar drama atau telefilem adalah baru-baru belaka. Begitu juga dengan program hiburan atau program bercorak muzikal. Namun begitu, beberapa program ini sudah mula ‘dikitar semula’ oleh RTM selepas masuk seminggu atau dua minggu kita beraya.

TV3 juga menyiarkan drama yang baik tetapi kebanyakannya adalah terbitan lama yang di ulang semula siarannya. Selebihnya masih kepada program hiburan.

Bagaimanapun, saluran Ria dan Prima di Astro dikatakan sebagai menyiarkan terlalu banyak program lama atau ulangan. Sudahlah program lama, ia di ulang siar dengan kerap. Kebanyakan drama atau telefilem yang disiarkan oleh kedua-dua saluran ini dibeli daripada stesen TV lain.

Sebenarnya tidaklah menjadi kesalahan untuk menyiarkan semula drama lama ini tetapi apa perlu dilakukan oleh Astro ialah memastikan tempoh masa siarannya tidak terlalu rapat atau kerap.

Astro sendiri seharusnya mengambil perhatian serius terhadap rungutan daripada pelanggannya kerana terlalu kerap menyiarkan program yang sama. Bagi Astro, masalah ini mungkin disebabkan masalah untuk mendapatkan bekalan kandungan program yang mencukupi.

Sebab itulah, saluran Prima misalnya, terpaksa mengisi beberapa slot yang kosong itu dengan drama daripada Indonesia sedangkan Astro sudah mempunyai saluran khusus untuk program dari negara seberang itu.

Sama ada drama atau telefilem yang disiarkan oleh RTM, TV3 atau Astro, belum ada produksi yang benar-benar meninggalkan kesan dan menjadi bualan kepada penonton. Drama yang diterbitkan khusus untuk hari raya pula, kebiasaannya lebih kepada cerita sedih atau sad ending.

Fauziah Nawi bolehlah dianggap sebagai dramatis air mata istimewa di Hari Raya kerana hampir setiap tahun beliau menjadi pilihan utama stesen TV dan penerbit untuk membintangi drama sedih seperti kehilangan anak, cucu, suami atau memegang watak sebagai wanita yang memendam perasaan kerana terkilan dengan gelagat darah dagingnya.

Ia bukanlah bermakna drama seperti ini kurang bagus. Kita tidak mempersoalkan mutu drama. Memang ada drama kita yang sangat bagus kualitinya. Tetapi, tidak dinafikan ada yang kurang bermutu dan bagi drama berangkai atau bersiri pula, semakin panjang sambungannya, kadang-kadang menjadi semakin meleret-leret pula.

Apapun, drama terbitan karyawan tempatan sebenarnya cukup berkualiti berbanding dengan drama import. Hanya yang menjadi persoalan adalah terhadap temanya.

Sememangnya cerita sedih atau syahdu adalah tema yang biasa kita lihat, bukan saja dalam drama tempatan tetapi dalam filem atau drama bagi perayaan lain, seperti Krismas. Ia masih membawakan nilai positif kerana lazimnya cerita seperti ini membawakan mesej kekeluargaan dan persaudaraan.

Bagaimanapun, apa yang penting dan perlu diubah suai oleh karyawan drama atau stesen TV kita adalah kesedihan dan kesyahduan itu tidaklah dipaparkan berlebih-lebihan.

Lagipun, air mata penonton sepatutnya tidak terus ditumpahkan dengan asyik menonton cerita sedih saja. Telefilem Beras Kunyit Di Pagi Syawal yang disiarkan oleh TV3 adalah contoh yang membuatkan penonton menitiskan air mata kerana terharu dan gembira kerana penghujung ceritanya mengisahkan penyatuan semula anak dan ibu yang sudah lama terputus hubungan. – zainuri@bharian.com.my

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: