Bau-Bau Bacang

15 Oct

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Mereka bukan bercinta tetapi sekadar teman baik, apatah lagi artis yang semakin membina reputasi ini rupa-rupanya ada ikatan keluarga

NABIL memang ada di mana-mana. Memang namanya tengah hangat dan begitu popular. Apabila sudah popular, rezeki pun melimpah ruah. Situasi sebegini bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana Datuk Siti Nurhaliza, Mawi dan Saiful Apek pernah mengalami perkara yang sama apabila tawaran seni tidak putus-putus diterima.

Bayangkan belum pun sampai setahun berada di persada seni, Nabil sudah berlakon dalam enam filem iaitu Sifu & Tongga, Jin Notti, Lu Pikirlah Sendiri De Movie, Eee… Hantu dan selebihnya iaitu Pisau Cukur dan Kecoh Betul akan memulakan penggambaran selepas raya nanti.

Untuk program ketika musim raya, Nabil terbabit dengan Ewah-Ewah Raya, Jiran Tetangga Raya, Gegar Gitu Raya, Sampaikan Salam, Melodi Raya dan Retro Raya. Justeru, juara Raja Lawak musim kedua itu memanglah sibuk. Dek kesibukan itu juga memaksa Nabil menolak undangan program Raja Lawak sempena hari raya.

Bagaimanapun, pada Ramadan lalu, Hip sempat mencuri masa Nabil untuk digandingkan dengan Tasha AF4. Kebetulan pula kedua-duanya pelakon filem Lu Pikirlah Sendiri de Movie arahan Aminah Rhapor.

Sesi fotografi yang diadakan di Duta Tropika, Jalan Duta menyaksikan Tasha kelihatan begitu bergaya dengan kurung ketat rona merah yang bagaikan menjerit di badan artis yang lahir daripada program Akademi Fantasia itu. Nabil pula kelihatan cukup bergaya dengan baju Melayu berwarna putih polos.


TASHA ingin memberi tumpuan kepada bidang seni dan melupakan seketika soal cinta.

Sekali pandang mereka bagaikan sepadan. Lalu, benarkah ada rasa cinta yang terjalin antara mereka seperti yang digembar-gemburkan baru-baru ini?

Bagi yang beranggapan sedemikian, lontarkan saja tanggapan itu ke tepi kerana baik Tasha mahupun Nabil mereka memang rapat dan hubungan itu tidak lebih daripada sekadar teman baik.

Kata Nabil, mereka ada kaitan bau-bau bacang, apatah lagi mereka berasal dari Negeri Sembilan. Ikuti kisah menarik mereka berdua.

Bimbang peminat bosan


NABIL sudah mampu memiliki aset seperti kereta dan syarikat sendiri.

TIADA istilah tamak dalam diari hidup jejaka kelahiran Mambau ini sebaliknya terbit kerisauan di benak fikiran memikirkan apakah penonton akan mula jelak dengan kemunculannya yang kerap sehingga mampu timbul cerita yang kurang enak yang mampu menjatuhkan dirinya.

“Alhamdulillah setakat ini saya mampu menguruskan jadual seni saya. Saya sendiri akan rasa kurang selesa kalau saya tidak dapat melunaskan kerja yang sudah disahkan. Semuanya masih dalam kawalan. Ada kalanya, ada pihak yang terpaksa menawarkan kerja kepada saya berdasarkan kelapangan waktu saya dan menunggu hingga jadual kerja saya kosong.

“Bukan mendabik dada tetapi di sini berlaku konsep permintaan dan penawaran. Permintaan kepada saya Alhamdulillah ada. Selagi saya mampu mempertimbangkan tawaran yang kunjung tiba dan memuaskan hati semua pihak, Insya-Allah saya akan cuba lakukannya sehabis baik.

“Tak dinafikan kerisauan memang ada datang melingkari hidup saya, bimbang eksklusif saya semakin terhakis dan orang mula bosan. Tapi saya menerima rezeki kurniaan Tuhan ini dengan rasa syukur dan lapang dada. Sekarang ini, mungkin saya diminati, siapa tahu lama-kelamaan akan timbul cerita tidak berasas yang mungkin boleh memberi kesan kepada saya,” ungkap Nabil yang berdoa supaya sentiasa berpijak di bumi nyata.

Usia pembabitannya dalam arena seni tidak pun sampai setahun, tapi sesuatu yang perlu dibanggakan Nabil sudah bijak mengumpul aset demi masa depan.

Kata Nabil, dia bukanlah seorang manusia yang terlalu gilakan barangan berjenama. Selagi mampu bergaya, barangan murah tapi cantik tetap dibeli.

“Saya sudah memiliki kereta sendiri dan sedang menanti kereta hadiah kemenangan saya sewaktu menjuarai Raja Lawak musim kedua. Bayangkan dulu nak minta buat pinjaman membeli kereta Satria pun saya tidak dapat. Sekarang saya dalam proses untuk membeli rumah pula. Selain itu, saya sudah memiliki syarikat sendiri iaitu Lu Pikirlah Sendiri Sdn Bhd.

“Sewaktu saya bekerja sebagai despatch pun saya gemar membeli barangan jenama Nike dan Adidas. Hingga kini, saya meminati jenama itu. Saya beli juga baju di Sungei Wang termasuklah baju jenama Hang Ten,” kata Nabil yang mengakui waktu tidurnya sudah berubah dan berkurangan sehingga mengigau pada waktu malam.

“Dulu saya tidak pernah nampak apakah masa depan dan hala tuju hidup saya, tetapi tidak lagi sekarang. Dulu saya makan untuk sehari, kini saya boleh belikan makanan untuk diri sendiri, keluarga dan kawan-kawan,” kata Nabil.

Menafikan gosip cinta yang kononnya terjalin antaranya dengan Amylea AF3 dan Tasha, Nabil memberitahu yang dia hanya berkawan dengan Amylea apatah lagi mereka pernah menggunakan khidmat pengurus yang sama iaitu James. Begitu juga dengan Tasha yang sudah lama dikenalinya.

Ditanya mengenai cinta, Nabil mengakui ada orang biasa yang cuba merapatinya tetapi jelas Nabil, biarlah soal cinta mahupun kahwin itu terbit daripada mulutnya sendiri.

“James pernah menguruskan saya sekejap dan tidak perlu timbul soal cinta, sedangkan saya hanya berkawan baik dengan Amylea. Jangan risau, kalau ada ura-ura saya sudah mempunyai kekasih atau nak kahwin, akan saya maklumkan dan tiada sebab untuk saya berahsia,” kata Nabil.

Tasha harap Nabil tak lupa diri

MENURUT Tasha, abang ipar Nabil juga berkawan baik dengan abang kandungnya. Sebelum berjumpa kembali di lokasi penggambaran filem Lu Pikirlah Sendiri de Movie, Tasha dan Nabil pernah berborak di Seremban ketika Nabil baru ingin menyertai pertandingan Raja Lawak musim kedua.

Kata Tasha, mereka memang ‘sekepala’ kerana masing-masing memang gemar bergurau. Melihat kepada lonjakan populariti Nabil yang semakin pantas memacu kerjaya seni, Tasha tumpang senang dan harap Nabil tidak cepat lupa diri.

“Tak dinafikan kadang-kadang mulut dia memang bercakap lepas dalam bergurau. Yang tidak mengenalinya, mungkin akan mula terasa hati. Tasha pun suka bergurau dengannya.

“Dia punya aura yang kuat dan Tasha tidak sangka dia mudah mendapat perhatian dan ‘boom’. Sudah namanya rezeki, saya gembira dengan kejayaannya. Saya nafikan sekeras-kerasnya kisah yang mengandaikan kami bercinta. Hakikatnya kami memang sudah lama kenal, apatah lagi kami berasal dari negeri yang sama,” kata Tasha yang beraya di Seremban.

Selepas raya nanti, Tasha akan memberi tumpuan kepada album sulungnya di bawah terbitan Wake The Baby. Dua lagu, Akhirnya Cinta dan duet dengan Ajai berjudul Pencinta Terbaik sedang dipertimbang untuk dijadikan single. Ketika ini, lakonan dan nyanyian menjadi tumpuannya berbanding soal cinta.

Tak sah jika tidak bertanya mengenai Aqasha apabila berjumpa Tasha. Mengakui mereka masih lagi berkawan, tetapi Tasha berkata, mereka sudah tidak serapat dulu kerana jarang berjumpa.

Awal Ramadan lalu, mereka ada berbuka puasa bersama, namun sejurus selepas itu Aqasha terpaksa bergegas kembali ke set penggambaran drama.

“Soal kembali menjalin cinta dengannya bersifat subjektif dan terlalu sukar untuk diperkatakan. Benda ini susah nak cakap. Kadang-kadang mulut berkata tidak untuk bercinta kembali, tiba-tiba hati pula berkata nak. Tasha bukan jenis wanita ego dan ini semua berbalik kepada soal jodoh.

“Apa yang paling Tasha fokus sekarang ini ialah soal komitmen kerja dalam bidang seni. Jauh lagi perjalanan Tasha,” kata Tasha yang tidak kisah untuk beraya di rumah keluarga Aqasha buat kesekian kalinya.

PROFIL: NabilNama: Ahmad Nabil AhmadAdik-beradik: Anak ketiga daripada tujuh beradikUmur: 25 tahunAsal: Mambau, Seremban, Negeri SembilanIdola: Jerry Seinfeld dan Afdlin ShaukiProgram kegemaran: Jerry Seinfeld Show, Raja Lawake-mel: nabiw_tx@ yahoo.com dan amatnabil@gmail.com

PROFIL: NatashaNAMA: Natasha NordinTARIKH LAHIR: 8 Jun 1982UMUR: 25 tahunASAL: Seremban, Negeri SembilanHOBI: Menyanyi, menari dan memasakKERJAYA: Penyanyi dan pelakonDRAMA: Astana Idaman, Simbiosis, Janji Kekasih, Gerak Khas, Hancur, Inikah CintaIKLAN: KFC dan Nokia.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: