Cari Lagu Bertemakan Aidilfitri

1 Oct

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

ANITA dan Mahathir mengimbas kembali zaman muda mereka ketika motosikal Vespa menjadi kegilaan.

Anita Sarawak akui tidak berpeluang rakam lagu raya

KETIKA menyaksikannya mendendangkan lagu Pulang Di Hari Raya, nyanyian asal adik tirinya, Noor Kumalasari, pada sesi rakaman program Retro Raya di Astro baru-baru ini, barulah tersedar rupa-rupanya Anita Sarawak tidak mempunyai lagu bertemakan Aidilfitri.

Anita yang lebih senang membahasakan dirinya Kak Nita bukanlah nama asing dalam industri muzik, tempatan mahupun antarabangsa. Lalu, terasa pelik juga apabila tiada satu pun lagu raya daripada penyanyi ini yang boleh peminat nikmati, dulu mahupun kini. Sedangkan, nama seperti Tan Sri P Ramlee, Saloma, D J Dave, Datuk Sharifah Aini, Sanisah Huri, Sudirman, M Nasir, Noor, Aishah, Ramlah Ram dan Datuk Siti Nurhaliza saban tahun kembali bersarang di fikiran peminat apabila lagu raya mereka dimainkan semula. Kesempatan berbual dengannya sebaik saja rakaman lagu terbabit selesai digunakan untuk bertanyakan hal berkenaan.

“Baru sebentar tadi ada peminat dari Johor yang turut bertanyakan soalan lebih kurang sama. Nampaknya, mereka juga mahukan Kak Nita menyanyikan lagu raya. Anda juga berfikir begitu?

“Memang jauh di sudut hati Kak Nita teringin sekali untuk memiliki atau menyanyikan lagu raya Kak Nita sendiri. Cuma, rasanya sehingga kini peluang saja yang belum datang. Justeru, mungkin Kak Nita akan mengusahakannya sendiri. Kak Nita mungkin boleh merakamkan satu atau dua lagu raya untuk tahun depan, atas usaha Kak Nita sendiri,” ujar Anita yang kelihatan anggun dalam gaun ciptaan Ashley dari Kapas Couture.

Ditanya mengapa dia tidak bekerjasama saja dengan pihak KRU yang sebelum ini pernah menghasilkan album Seksis dan Another Dimension untuk dirinya, Anita menjelaskan, dia tidak boleh bergantung kepada ketiga-tiga beradik berbakat itu saja.


PASANGAN bahagia ini memilih pakaian daripada Kapas untuk sesi fotografi raya dan rakaman program TV.

“Kak Nita sedar, mereka juga sentiasa sibuk dengan pelbagai kerja lain. Lagipun, bukan Kak Nita saja yang berada di bawah bumbung mereka. Jadi, biarlah mereka siapkan dulu kerja yang lain. Apatah lagi, Kak Nita juga baru saja menerbitkan single Ular bersama mereka,” katanya.

Sebelum lagu raya dapat dirakam, Anita mengaku, perkara pertama yang harus diberikan tumpuan adalah mencari komposer yang benar-benar mampu melahirkan sebuah irama yang akan dikenang bagi jangka waktu yang panjang.

“Kak Nita tidak ada komposer yang boleh Kak Nita kata paling digemari kerana di negara ini begitu ramai pencipta lagu yang berbakat. Masing-masing mempunyai kepakaran dan kelebihan mereka sendiri. Cuma kini, kami perlu mencari komposer yang serasi dan memahami kemahuan kami untuk tujuan terbabit,” katanya lagi.

Sambut lebaran di Las Vegas

MENYENTUH mengenai hari raya pula, Anita memberitahu, sayang sekali dia tidak dapat berada di negara ini untuk menyambut Aidilfitri. Sehari selepas rakaman Retro Raya, artis eksklusif Astro itu terbang bersama suami, Mahathir, ke Las Vegas. Mereka juga akan singgah di Chicago, sebelum menyambung perjalanan ke Tuscany, Itali.

“Kak Nita terpaksa terbang ke Vegas untuk melihat kediaman serta hartanah kami di sana. Lebih kurang sebulan juga Kak Nita berada di Amerika Syarikat (AS) dan Itali. Kemudian, Kak Nita akan terbang balik ke Kuala Lumpur, mungkin pada minggu kedua raya,” katanya sambil menggenggam erat tangan suami di sisi.

Katanya, sebelum terbang ke AS, dia sudah pun ‘beraya’ bersama keluarganya di ibu kota. Sememangnya, Anita tidak akan meninggalkan Kuala Lumpur tanpa terlebih dulu bertemu mata bersama ibu tirinya, Datin Umi Kalthum serta adik-beradik yang lain.

Masih berbual mengenai Aidilfitri, penyanyi yang ramah ini berkata, sudah tentulah orang yang paling dirinduinya pada hari mulia itu ialah kedua ibu bapanya, Allahyarhamah Siput Sarawak dan Allahyarham Datuk S Roomai Noor.

“Namun Kak Nita reda kerana Kak Nita tahu, mereka kini berada di tempat yang jauh lebih baik berbanding kita semua. Begitu juga sehingga kini, kenangan beraya bersama mereka tetap bersemadi dalam diri Kak Nita.

“Masih Kak Nita ingat bagaimana kami semua pernah beraya dalam banjir sewaktu di kampung. Apa lagi, semua biskut raya diangkut ke atas katil. Langsir yang baru ditukar juga tenggelam dalam air. Semua itu Kak Nita sudah rasai. Ia pengalaman yang tidak mungkin Kak Nita lupa sampai bila-bila.

“Lagi satu, apabila saja ibu menyediakan baju kurung, Kak Nita minta baju kurung yang berpoket besar-besar. Bukannya apa, supaya senang kami hendak minta duit raya banyak-banyak,” cerita Anita sambil ketawa kecil.

Beralih topik, Anita memberitahu, dia teringin sekali merakamkan lagu berbentuk kelakar seperti yang pernah dilakukannya suatu ketika dulu.

“Buat ketika ini, biarlah lagu Ular itu puas diputar dulu. Apabila semuanya sudah selesai nanti, barulah mungkin Kak Nita masuk studio semula untuk rakaman lagu baru. Jika diikutkan hati, Kak Nita mahu menyanyikan lagu kelakar seperti dulu. Kak Nita sudah merakamkan lagu pop, lagu jazz dan rock bersama KRU. Jadi, untuk projek seterusnya, mungkin Kak Nita hendak cuba lagu kelakar pula,” ujar Anita yang sudah 44 tahun membabitkan diri dalam seni.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: