Raihan Gigih Bina Reputasi Di Indonesia

29 Sep

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

BERSAMA kumpulan Gigi ketika menjayakan Konsert Mega Marhaban Ya Ramadan.

Kumpulan nasyid popular terbang ke seberang setiap Ramadan penuhi undangan membuat persembahan

SEJAK tahun 2000, kumpulan Raihan sering saja ‘hilang’ seketika dari negara ini setiap kali tibanya bulan puasa. Bukan sehari dua, tetapi ada kalanya ia mengambil masa sehingga dua minggu lamanya.

Namun, kehilangan mereka bukanlah perkara yang membimbangkan buat keluarga dan kenalan anggota kumpulan nasyid popular berkenaan. Mereka sudah cukup mengerti, tiba saja Ramadan, Raihan pasti terbang ke Indonesia, mengembangkan pengaruh karier mereka di negara terbabit.

Tahun ini, sekali lagi Che Amran Idris, Abu Bakar Md Yatim, Amran Ibrahim dan Zulfadli Mustaza berangkat ke negara seberang untuk memenuhi pelbagai undangan termasuk mengadakan persembahan, mempromosikan album serta menjayakan temubual bersama wakil media di sana.

Pada ketika artis Indonesia dikatakan menguasai siaran lagu di radio negara ini atau membolot minat orang ramai terhadap karya mereka, Raihan nampaknya terus menongkah arus memahat nama mereka di kalangan peminat negara berkenaan.

Paling tidak, selain Datuk Siti Nurhaliza, Raihan satu lagi jenama seni dari Malaysia yang berdiri kukuh di kalangan pencinta muzik Indonesia. Sudah tentu pencapaian yang bukan mudah diperoleh tanpa usaha keras.


MERAKAM kenangan ketika menjayakan temubual bersama penyampai radio Trax FM.

Raihan pula, sentiasa komited dalam dakwah mereka yang disalurkan menerusi muzik nasyid, menjadikan kumpulan itu sebagai pilihan utama penganjur persembahan dan produser televisyen apabila tiba ke bab acara persembahan dalam genre keagamaan atau kemanusiaan.

Tahun ini, kata Che Am, mereka berkunjung ke negara itu selama 12 hari bagi menjayakan pelbagai program yang sudah disusun, sama ada temu ramah bersama media, rakaman program untuk pelbagai stesen televisyen dan beberapa lagi aktiviti.

Kali ini, stesen televisyen yang turut menampilkan Raihan dalam program mereka ialah Indosiar, Metro TV, ntv7, RCTI, SCTV, Lativi dan TVRI.

Antara acara yang disertai mereka termasuk Konsert Mega Marhaban Ya Ramadan bersama beberapa artis terkemuka Indonesia seperti Gigi, Ungu, Sulis, Gita Gutawa dan Bimbo Opick. Konsert terbabit berlangsung pada 9 September lalu di Istora Senayan, Jakarta.


DIKERUMUNI wartawan Indonesia pada sidang akhbar di Jakarta.

Konsert menampilkan muzik orkestra di bawah pimpinan Erwin Gutawa itu disiarkan secara langsung di kaca televisyen negara itu.

Sebelum itu, Raihan tidak menang tangan melayan pelbagai soalan berkaitan karier mereka yang sudah pun mencecah usia 12 tahun dalam sebuah sidang akhbar yang dihadiri ramai wartawan media utama negara berkenaan.

Kunjungan ke Indonesia pada tahun ini juga lebih bererti apabila Che Am dan tiga rakan lain turut melancarkan album terbaru mereka, Selawaterapi, di negara yang mempunyai lebih 220 juta penduduk itu.

Untuk pasaran negara itu, album selawat berkenaan dibungkus semula bagi disesuaikan dengan kehendak peminat di sana.

Menurut Che Am lagi, sepanjang hampir dua minggu di situ, Raihan juga mengadakan persembahan di majlis berbuka puasa di beberapa hotel dan pusat beli-belah sekitar kota Jakarta.

Pada 13 September pula Raihan bersama-sama Ungu menjayakan program Ramadan Show di saluran TV Indosiar.

Selain Jakarta di Pulau Jawa, jejak Raihan sebenarnya sudah berbekas di banyak lagi lokasi lain negara itu termasuk Sumatera, Kalimantan, Sulawesi, Batam, Riau dan Bali.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: