Album Baru…

25 Sep

Oleh Zul Husni Abdul Hamid

ALBUM: Lebaran Bersama Siti & Teman-Teman

ARTIS: Variasi

GENRE: Pop

CUBA juga mencari sesuatu yang baru atau istimewa dalam kompilasi yang dihadirkan SRC ini. Sayangnya pembikinan kompilasi ini hanya menghimpunkan semula lagu sedia ada dan diberi judul baru lalu dipasarkan.

Semudah itu dan untuk memancing peminat, nama Datuk Siti Nurhaliza diletakkan sebagai artis utama, apa sebenarnya?

Pengisian kompilasi ini tidak lebih sekadar menyatukan semua artis yang pernah, masih dan kini menaungi SRC dipilih merakamkan lagu raya dan akhirnya, peminat diberikan satu lagi pilihan dalam senarai panjang penerbitan album menanti 1 Syawal.

Antara syarikat rakaman yang pernah aktif menerbitkan album raya, SRC mempunyai katalog yang agak besar justeru dari segi seleksi lagu mungkin tidak mempunyai masalah buat rumah produksi ini.

Membezakan album kompilasi ini dengan produksi sedia ada, kebanyakan lagu dimuatkan dalam Lebaran Bersama Siti & Teman-Teman berusia di bawah sedekad.

Tetapi, apa yang membanggakan sebahagian daripada lagu kini menjadi ciptaan malar segar dan tersenarai dalam sajian wajib setiap kali membincangkan mengenai lagu raya.

Antara sentuhan berkesan yang kini tergolong dalam kelompok malar segar adalah Anugerah Aidilfitri, Sesuci Lebaran dan Air Mata Syawal.

Juga dimuatkan lagu raya rakaman terbaru Erra Fazira, Gema Lebaran serta lagu kerohanian yang dinyanyikan penyanyi popular Indonesia, Yuni Shara iaitu 5 Waktu.

Dengan 16 lagu yang dibariskan, kompilasi ini mungkin mampu menjadi pilihan buat mereka yang mengimpikan himpunan lagu raya ciptaan terbaru.

Kata Hip: TERTANYA juga apa relevan kompilasi ini diberikan judul Lebaran Bersama Siti & Teman-Teman jika sekadar memuatkan rakaman lama, Aidilfitri Di Aidilfitri yang tidak pun membabitkan semua artis yang bernaung di bawah SRC.

ALBUM: Aku Dan Tuhanku

ARTIS: Ungu

GENRE: Pop Rock/Rohani

BERBICARA mengenai penerbitan album berunsurkan rohani, kumpulan popular dari Indonesia ini antara band yang aktif apabila melahirkan album mini ketiga berkonsepkan serupa.

Ungu memanfaatkan populariti yang mereka cipta lewat irama komersial rock alternatif, lalu mengajak peminat menghayati sentuhan sarat mesej dan peringatan menerusi album berbentuk keagamaan.

Formula yang ternyata membuahkan hasil lumayan buat Ungu lalu identiti mereka dengan karektor muzik bernuansa rock turut melatari pembikinan Aku Dan Tuhanku.

Tanpa perlu mengorbankan kecenderungan muzik mereka, Ungu mengangkat lagu berbentuk kerohanian menjadi sebuah irama universal dan diterima tanpa sebarang bantahan.

Tidak dibatasi elemen tradisional dan konvensional yang perlu ada untuk lagu berunsur rohani, warna pop dan rock Ungu jelas terasa dalam penerbitan ini.

Dengan Nafasmu menyeru manusia supaya tidak melanggar suruhan Allah, malah keunggulan Pasha dalam melontarkan teknik vokalnya juga menyerlah untuk lagu bernafaskan Islam.

Mungkin ada yang melihat usaha ini sebagai pengisian terhadap penerbitan album bercorak kerohanian di pasaran namun Ungu berjaya menjadikan album ini tidak terbatas oleh jurang waktu.

Biarpun pembikinan album seperti ini lebih cerewet, malah menuntut ketelitian bagi menjauhi kontroversi, Ungu terutama Enda mendalami isu yang diketengahkan menerusi pembacaan serta berguru dengan ahli agama dalam penulisan mereka.

Disebabkan sudah ada pengalaman dalam pembikinan dua album terdahulu, Aku Dan Tuhanku tampil lebih bersedia serta membawakan kejutan kerana ia jauh lebih baik berbanding album biasa mereka.

Kata Hip: DENGAN sentuhan dan susunan muzik yang kontemporari, pengisian Aku Dan Tuhanku memperlihatkan keberanian Ungu meneroka sisi baru untuk lagu berunsurkan kerohanian.

ALBUM: Kumpulan Nasyid Wanita Terbaik

ARTIS: Al Mizan, Al Jawaher dan Hidayah

GENRE: Nasyid

ALIRAN penerbitan album nasyid di negara ini sudah bermula sejak era 70-an lagi. Syarikat rakaman WEA (kini Warner Music Malaysia) menjadi perintis kepada pembikinan album genre itu, malah percubaan berani mereka yang bereksperimen kerana cuba membawa irama nasyid keluar daripada kepompong konvensional diterima baik.

Keterbukaan pendengar muzik ketika itu menerima sesuatu yang segar, malah bersesuaian suasana serta pasaran memperkenalkan kumpulan nasyid seperti Al Mizan, Al Jawaher dan Hidayah.

Al Mizan melakar sejarah sebagai kumpulan nasyid wanita pertama yang berjaya meraih populariti di negara ini dan Singapura.

Lagu seperti Solatullah, Junjungan Mulia dan Tangan Ku Hulur Maaf Ku Pohon seperti menjadi tenaga penggerak kepada syarikat rakaman lain untuk berani melakukan percubaan yang sama.

Lalu EMI menghadirkan kumpulan Hidayah yang sinonim dengan lagu Habibi, Sabar Itu Iman dan Tiada Yang Kekal (Melainkan Allah).

Polygram pula memperkenalkan Al Jawaher yang cukup akrab dengan sentuhan sifu industri muzik, M Nasir lewat lagu Mohon Pada-Nya Sujud Pada-Nya, Perjalanan dan Kembara Di Tanah Gersang.

Biarpun sudah tidak lagi mendapat liputan meluas media, populariti tiga kumpulan nasyid wanita ini terus gah merentas masa dan hingga kini, nyanyian mereka tidak luput ditelan zaman.

Kata Hip: MENANTI bila akan muncul kumpulan kembali penyanyi nasyid wanita yang mempunyai kredibiliti seperti tiga kumpulan berkenaan.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: