Tiada Cinta Di Hati

23 Sep

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Nadia (kiri) dan Riz.

Hubungan bintang Akademi Fantasia ini memang rapat tetapi tidak lebih daripada abang dan adik

GOSIP cinta sesama artis yang sering dikaitkan dalam program pertandingan realiti bukanlah sesuatu perkara yang asing dan mencetuskan rencah hebat di persada seni terutama Akademi Fantasia yang sudah bersiaran enam musim.

Daripada kisah Nana digosipkan dengan Burn, Vince dan Liza, Farah dan Adam, Nurul dan Kaer, Akma dan Felix, Yazer dan Ekin, Mila dan Ebi, Shawal dan Noni hinggalah pada musim keenam membabitkan kisah Nadia dan Riz.

Ada antara usikan cinta itu terus kekal ikatannya hingga kini dan ada yang bagaikan dilupakan dan berlalu sepi. Hakikatnya, ada peminat dan sesetengah pihak yang ingin terus melihat bintang ciptaan mereka kekal bersama biarpun tiada rona cinta yang mekar.

Itu lumrah dan diakui sendiri Nadia yang melihat gosip mengaitkannya dengan Riz daripada sudut yang positif. Baginya ia tidak mendatangkan kemudaratan dan sedikit sebanyak membantu dalam kerjaya mereka.

“Bayangkan kerana peminat kami, ada yang sanggup menyatukan kami berdua dalam satu persembahan An Endless Night pada Ogos lalu. Itu satu perkembangan positif dan ia bermula dengan duet dan hubungan rapat kami semasa di AF6. Macam Nadia jelaskan sebelum ini, hubungan kami sekadar teman dan tidak lebih daripada sangkaan orang.

“Nadia senang berkawan dengan dia (Riz) dan Nadia tak akan tolak peluang berduet kalau ditawar berbuat sedemikian. Lagipun berdasarkan sambutan hangat kami berduet sewaktu di AF6, rasanya boleh meletup gandingan kami,” usik Nadia sambil diperhatikan ibunya, Jamaayah Sulong ketika sama-sama menghadiri rakaman Melodi Raya baru-baru ini.

Menidakkan lagi yang mereka sebenarnya bercinta dan sekali gus menghampakan permintaan peminat, Riz juga mengakui hubungan dengan Nadia memang rapat dan saling tak tumpah bagaikan abang dan adik.

“Memang tak dinafikan ada peminat yang suka menjodohkan kami dan seperti biasa kami akan menjelaskan perkara yang sama bahawa kami memang tidak bercinta. Walaupun dinafikan, peminat tetap terus mahu kami bercinta. Perasaan kami tak lebih daripada cinta dan tengoklah saya sendiri selesa memanggilnya sebagai adik,” kata Riz yang dipanggil abang oleh Nadia. Riz juga tidak menolak tuah berduet dengan Nadia.

Nostalgia tersendiri Aidilfitri

BERBICARA mengenai sambutan Aidilfitri, masing-masing Nadia dan Riz menyifatkan lebaran kali ini membangkitkan rasa dan nostalgia yang tersendiri.

“Berdebar dan takut bercampur teruja nak sambut raya buat pertama kalinya sebagai artis. Tahun ini nampaknya kenalah Nadia ringan tangan memberi duit raya dan ia satu pengalaman baru. Insya-Allah, Nadia juga merancang untuk mengadakan rumah terbuka dalam minggu raya tapi belum pasti lagi tarikhnya,” katanya.

Bagi Nadia sepanjang Ramadan ini, semua maklum bahawa dia membantu keluarganya menjual popia di bazar Ramadan sekitar Setiawangsa. Dia akan mula bebas daripada sepanjang aktiviti seni mulai malam raya hinggalah ke raya keempat. Nadia juga bercadang ingin menubuhkan sebuah kumpulan tarian sebagai pelengkap untuk dirinya bergelar penghibur.

“Itu sekadar cadangan, Insya-Allah Nadia akan cuba realisasikan menubuh sebuah kumpulan tarian. Apabila sudah jadi artis ini, Nadia sedar untuk tidak terlalu bergantung dengan Maestro. Nadia kena mencuba mencari rezeki dengan apa cara sekalipun,” demikian kata Nadia yang mendendangkan lagu baru berjudul Sketsa Menjelang Raya di dalam album kompilasi raya AF6.

Terkenang konvoi balik raya

KEMENANGAN Riz sebagai naib juara AF6 semakin menunjukkan impak yang positif jika mahu dibandingkan dengan pembabitannya semasa menganggotai Equal Star.

Ada jalan yang luas terbentang menantinya di hadapan dan hujung Ogos lalu, Riz ke Jakarta, Indonesia menjalani rakaman klip video lagu duet dengan Alya berjudul Ku Pinjam Satu Bintang.

“Lagu itu ciptaan Ajai dan liriknya oleh Roslen Fadzil, ia adalah single kedua saya selepas lagu Bermula Semula. Tawaran berduet itu datang daripada Ajai dan saya terima dengan hati terbuka. Single ketiga berjudul Harusku Yang Pergi akan menyusul. Soal album penuh itu semuanya masih dalam perancangan dan akan difikirkan selepas raya nanti,” kata Riz yang menyanyikan lagu berentak blues berjudul Syawal Kemaafan turut dimuatkan di dalam kompilasi raya AF6.

Mengimbas kenangan raya waktu dulu, Riz terkenang saat berkonvoi menaiki motosikal dengan kawan-kawan di Perak. Biarpun pernah menerjah persada seni dengan kumpulan Equal Star, baru kini Riz berasa debaran yang kian memuncak seiring dengan populariti yang dikecapinya kini.

“Tahun ini saya tak pasti lagi dapat berkonvoi sama-sama dengan kawan. Dulu saya dan kawan-kawan akan beraya dengan konvoi menaiki motosikal. Kalau tiada halangan, saya akan buat rumah terbuka raya kedua nanti. Peruntukan duit raya pun kenalah lebih tahun ini,” kata Riz yang turut hadir sama di rakaman Melodi Raya TV3.

INFO

Nadia AF6

Mempunyai adik yang tinggi daripadanya bernama Diana Shazwani

Mengikat kontrak bersama Maestro selama tiga tahun.

Teringin berduet dengan Hattan kerana melihat penyanyi itu sebagai ikon rock unggul.

Meminati genre muzik rock dan lagu rancak. Saat ini Nadia sedang menyesuaikan diri untuk melembutkan tona suara melalui pengamatan pengajiannya di AF6. Hasratnya untuk belajar vokal akan dipanjangkan dengan usaha Maestro menyediakan kelas vokal untuk bintang AF naungan mereka nanti.

Kerap memenangi pertandingan karaoke yang disertainya seperti Karaoke Alam Sentral, Kelab Orange, La Lacos Pub dan All Star Corner.

Mengenai album solo, Nadia sedar kedudukannya kini sebagai pemenang tempat kelima AF6. Lalu peluang membikin album pastinya akan diutamakan kepada yang berada di kedudukan atas daripadanya.

Laman web: http://www.nadiafc.com atau http://www.nadia.haswani.com/blog

INFO

Riz AF6

Nama Penuh: Mohammed Idris Mohd Zaizizi

Tarikh lahir: 19 Disember 1986

Asal: Gerik, Perak

Pencapaian: Naib juara Akademi Fantasia musim keenam. Pernah menganggotai kumpulan Equal Star dan pernah menyertai pertandingan Gang Starz musim pertama.

Laman web: rizfc.forumotion.com

Ingin berduet dengan: Datuk Siti Nurhaliza, Jaclyn Victor dan Anuar Zain.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: