Depan Mata: Pasang Surut Senario

22 Sep

Rap
HIDUP ibarat roda yang sentiasa berputar, kadang di atas kadang di bawah. Bagi golongan artis, naik turun putaran roda populariti mereka menjadi perhatian.

Kala di puncak, mereka dipuja dan disanjung tapi bila zaman kegemilangan merudum, mula dilupakan. Mereka yang pernah berada di puncak, perlu menerima hakikat tidak selamanya berada di atas, tiba masanya turun juga. Itu sememangnya lumrah hidup tapi ramai juga terus berjuang walau melalui pelbagai onak dan duri.

Bagi Datin Seri Siti Nurhaliza, walaupun ada pihak mengatakan popularitinya jatuh selepas mendirikan rumah tangga, namanya masih berada di atas. Masyarakat masih berminat ingin tahu perkembangan dirinya.

Ada masanya, agak lama cerita Siti tidak menjadi tumpuan di akhbar, ada kalanya berderet-deret cerita mengenai Siti sama ada perkembangan kerjayanya atau gosip mengenai dirinya.

Saya lihat kumpulan Senario juga masih terus berjuang dalam seni. Walaupun pada asalnya Senario dianggotai tujuh orang kemudian lima, empat dan kini tinggal bertiga, peminat terus menyokong mereka.

Sejarah Senario cukup menarik. Mereka digabungkan pada 1996 daripada tujuh peserta Sinaran Pasport Kegemilangan iaitu Farouk Hussein, Shamsul Ghau Ghau, Azlee Jaafar, Wahid Mohd, Mazlan Ahmad, Ilya dan Hamdan kemudian tinggal berlima apabila Farouk dan Shamsul bergerak sendirian.

Difahamkan, nama Senario diambil dari idea Farouk yang menggelarkan mereka sebagai kumpulan senang riuh dan akhirnya menjadi Senario. Mereka diberi kepercayaan menjayakan program sendiri, Senario pada Jun 1996 dengan empat episod pengenalan.

Ternyata sitkom itu mendapat sambutan dan mereka diambil sebagai kakitangan TV3 di bawah Unit Talent Resource Development. Populariti Senario di kaca televisyen menarik minat produser untuk membawa mereka ke layar perak melalui filem Senario The Movie pada 1998.

Keluar masuk anggota menjadi perkara biasa bagi Senario, ada keluar ada masuk seperti Saiful Apek dan Yassin. Kini selepas 12 tahun, Senario masih teguh berdiri walaupun hanya tinggal bertiga, Azlee, 41, Mazlan, 39, dan Wahid, 33.

Ramai meragui langkah produser David Teo untuk mengambil mereka berlakon dalam filem Senario The Movie Episod 1. Kata mereka, masih relevankah lagi lawak Senario pada masa ini? Alasan mereka, zaman dah berubah, dunia dah maju. Sekarang zaman Raja Lawak terutama kehadiran juara musim kedua, Ahmad Nabil Ahmad.

Projek ditawarkan David juga bukan setakat satu filem tapi ada sekuel untuk Episod 2 dan 3. Filem Episod 1 arahan Ahmad Idham dipertaruhkan kepada penonton untuk tayangan pada hari raya tahun ini, berentap dengan Kami The Movie yang juga diangkat dari program televisyen mengenai kisah remaja.

Lebih menarik, ini adalah filem pertama Senario bersama produksi lain selepas enam filem berlakon dalam produksi sama.

Dalam pertemuan dengan Senario baru-baru ini, Wahid ada istilahnya sendiri mengatakan Senario kini berada dalam tahap kritikal kalau manusia sudah masuk Unit Rawatan Rapi (ICU).

Kata Wahid, Senario pernah melalui zaman kegemilangannya dengan mempunyai program sendiri dan juga deretan enam filem. Kini sitkom Senario masih kekal hingga musim 31 manakala untuk filem, Senario bertukar selera bekerja dengan produksi lain.

“Memang Senario pernah mengecapi zaman kemuncaknya tapi hanya popular pada nama. Kalau artis baru sekarang mampu hidup mewah selepas menyertai program realiti, tapi tidak dengan Senario.

“Sebabnya kami makan gaji apabila menjadi kakitangan TV3. Pembabitan kami dalam program Senario dibayar gaji. Kalau makan gaji, bayangkan sajalah mana boleh kaya.

“Lebih malang lagi apabila ada produser yang tidak yakin Senario boleh beri pulangan dari segi pungutan tiket. Mujurlah TV3 masih terus percaya dengan Senario kerana sitkom kami masih ada hingga masuk musim 31 manakala musim baru akan dimulakan awal tahun depan.

“Tapi saya terkejut juga ada produser yang masih yakin dengan Senario hingga berani terbitkan Senario The Movie Episod 1,” katanya.

Wahid juga diberi kepercayaan sebagai pengacara program hiburan Melodi selama lima tahun tetapi kontraknya akan tamat awal tahun depan. Apabila hadir pengacara ketiga antara Wahid dan Fara Fauzana untuk beberapa episod Melodi sepanjang Ramadan ini, muka baru yang popular itu dikatakan bakal menggantikan tempatnya.

Dalam hal ini, Wahid menyerahkan semua itu kepada pihak pengurusan. Kalau mereka mahukan muka baru menggantikan tempatnya, itu bukan kuasanya untuk menghalang.

Kata Wahid, selagi peminat mahukan Senario dan selagi TV3 terus memberi kepercayaan, mereka bertiga akan meneruskan perjuangan itu. Mungkin ada rakan-rakan mereka seperti Farouk, Shamsul, Apek dan Yasin lebih suka berdikari, tapi mereka selesa menjadi kakitangan TV3.

Bak kata orang, rezeki ada di mana-mana. Selain bergantung dengan program Senario, mereka juga berpeluang meluaskan bakat dalam lakonan dan tidak terhad watak komedi. Wahid membuktikan dia mampu pegang watak serius dalam siri Tai’n 3T yang kini disiarkan sepanjang Ramadan.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: