Mawi, Ikin Terus Berahsia

21 Sep

Oleh NORHADIANI BAHAROM
yanie@hmetro.com.my

Rap
EMPAT jam bersama Mawi dan Ikin, menjelaskan percintaan mereka sama saja seperti pasangan lain. Cuma mungkin kehidupan merpati dua sejoli ini sedikit berbeza daripada kebiasaan insan sedang berkasih yang sering punya waktu memadu asmara.

Apa yang jelas, dalam tawa tentu terselit kedukaan. Malah, sewaktu temubual penulis sempat menyaksikan Ikin merajuk apabila dilarang buah hatinya, Mawi bercerita banyak mengenai perkenalan mereka termasuklah hal-hal yang pada pendapat Mawi cerita ‘dalam kain’.

“You sajalah yang interview, I tak nak interview. Semuanya tidak boleh cakap, nanti kalau cakap salah pula,” rungut Ikin atau Nora’Asikin Rahmat, 29, dengan intonasi merajuk tapi masih kedengaran manja.

Mawi atau Asmawi Ani, 27, yang menyedari rajuk kekasihnya yang jelita itu bukan gurauan mula cuba memujuk, “Alah! alah! mai la sayang duduk sini meh.”

Situasi yang berlaku dicoretkan bukan untuk membuka pekung sesiapa sebaliknya perselisihan faham adalah lumrah orang bercinta. Kata orang, pertengkaran itu mengeratkan lagi hubungan.

Sebenarnya, apa yang diinginkan daripada fotografi yang diadakan di Al Nafourah, Hotel Le Meridien, lebih daripada menyaksikan drama mereka. Paling penting bilakah tarikh keramat bakal menyatukan dua hati ini.

Apakah 19 Disember seperti dilaporkan media? Namun, Mawi tetap Mawi. Tidak pernah berubah pendiriannya untuk terus merahsiakan hari bahagianya yang semakin menjelang.

“Sehingga sekarang belum ada persiapan kerana keluarga kedua-dua belah pihak masih dalam perbincangan berhubung persediaan bakal dilakukan. Tarikh perkahwinan juga belum ditetapkan memandangkan masih banyak kerja harus dilangsaikan.

“Kursus kahwin pun saya tidak sempat pergi. Tunggulah majlis pengumuman nanti, segala cerita akan dikongsi bersama pihak media dan peminat,” katanya.

Dalam pada Mawi masih berteka-teki, terdengar khabar angin kononnya pemuda kelahiran Felda Taib Andak ini akan melangsungkan perkahwinan di Hotel Palace Of Golden Horses.

Dia dan Ikin memilih lokasi berkenaan kerana mahu menaiki kuda dan bot pada hari bersejarah mereka. Bahkan menurut seorang sumber pasangan ini sudah pun menempah pakaian pengantin daripada pereka fesyen baru.

“Saya tidak pernah membuat perjanjian dengan mana-mana pihak hotel. Itu bukan daripada mulut saya.

“Perkahwinan besar-besaran jika saya lakukan pun bukan atas kehendak saya sebaliknya demi menjaga hati banyak pihak. Ikutkan cara saya mudah saja, buat majlis secara sederhana.

“Tapi itulah, kalau buat majlis kecil orang cakap kedekut dan kalau besar-besaran pun dikatakan takbur serta menunjuk-nunjuk. Jadi, saya ini serba tidak kena dibuatnya,” katanya.

Sebagaimana Ziana Zain, Erra Fazira dan Datuk Siti Nurhaliza, ramai menjangkakan perkahwinan Mawi bakal melakar sejarah sebagai ‘Wedding Of The Year”.

Ini terbukti apabila dua stesen televisyen terbesar iaitu TV3 dan Astro sedia menawarkan bayaran lumayan untuk menjadi penyiar rasmi perkahwinan merpati dua sejoli ini.

“Benar! saya ada menerima tawaran dari stesen berkenaan namun, belum memberikan sebarang persetujuan sama ada TV3 mahupun Astro.

“Walaupun kurang selesa majlis perkahwinan disiarkan menerusi televisyen, namun sekali lagi saya harus memikirkan soal peminat yang selama ini tidak pernah jemu menyokong karier seni saya.

“Melalui siaran itu, dapatlah mereka melihat saya naik pelamin khususnya peminat yang tidak dapat bersama-sama meraikan hari bahagia saya,” katanya.

Sekadar mengimbas perkenalan Mawi dan Ikin, segalanya bermula di Bora Ombak kira-kira setahun setengah yang lalu. Daripada seorang sahabat, perasaan sayang mula timbul sehingga mereka memutuskan untuk menjalinkan hubungan serius.

Jika Mawi tertawan sikap Ikin yang selamba, ceria, memahami dan mengambil berat, Ikin pula sukakan Mawi kerana pemuda itu seorang yang bertanggungjawab, lucu dan mampu memimpinnya.

“Dulu saya cepat melenting kalau orang bercakap benda tidak betul mengenai saya tapi sekarang tidak lagi kerana Mawi selalu nasihatkan saya agar banyak bersabar dan bersolat.

“Kata Mawi, dugaan yang menimpa saya tidaklah seteruk yang dialaminya. Malah dia sentiasa meyakinkan saya bahawa dia akan sentiasa di sisi walau apapun terjadi. Alhamdulillah sekarang ini saya dah tak ambil peduli apa orang hendak kata,” katanya.

Sepanjang temubual, Ikin tidak banyak bercerita soal persiapan perkahwinan mereka memandangkan Mawi belum memutuskan apa-apa.

“Dari apa yang dikatakan kepada saya sebelum ini, Mawi mahu membuat pengumuman selepas raya. Tetapi bilakah tarikh perkahwinan kami saya sendiri tidak pasti.

“Saya menyerahkan sebulat suara kepada Mawi membuat keputusan kerana saya faham kerjayanya sibuk dan setiap yang dirancang perlu mengikut kesesuaian waktunya,” katanya.

Ditanya apakah Ikin sudah bersedia memikul tanggungjawab sebagai isteri, wanita bermata galak ini berkata, dengan usianya yang bakal menginjak angka 30 tahun depan, dia sudah sedia memikul tanggungjawab lebih berat dari itu iaitu menjadi ibu.

“Dalam usia sebegini saya rasa tidak perlulah merancang. Kalau cepat rezeki Tuhan bagi saya terima dengan hati terbuka,” katanya.

Terlalu banyak fitnah yang dilemparkan terhadap Ikin kononnya dia membomohkan Mawi supaya jatuh cinta padanya selain dituduh memandang harta pemuda itu.

Namun, kerana sayang dan ketulusan cinta Ikin, dia sedia menerima apa juga kemungkinan yang berlaku pada karier seni Mawi.

“Kehidupan seorang artis ada pasang surutnya. Saya perhatikan kebanyakan artis tidak lagi popular selepas mereka berkahwin lebih-lebih lagi artis lelaki.

“Jadi untuk persediaan masa depan saya dan Mawi ada berbincang untuk membuka perniagaan dan tidak keberatan membantunya.

“Selain, saya sendiri mempunyai perancangan untuk membuka butik pakaian wanita muslimah sebagai membantu ekonomi keluarga kami kelak,” katanya.

>Profil

NAMA: Asmawi Ani

TARIKH LAHIR: 25 Ogos 1981

ASAL: Felda Taib Andak, Kulau Johor

ANTARA PENCAPAIAN: Juara Akademi Fantasia 3, Bintang Paling Popular 2005, Artis Pilihan SMS Digi Anugerah Era 2005 dan Anugerah Juara Lagu Kategori Irama Malaysia dan Persembahan Terbaik Anugerah Juara Lagu 2005.

ANTARA IKLAN: Poweroot, Silky Man, Mamee Slurpp.

ANTARA ALBUM: Doa, Berzanji dan Qasidah

NAMA: Nora’Asikin Rahmat

TARIKH LAHIR: 5 November 1979

ASAL: Johor Bahru

DRAMA: Kawan

KERJAYA: Pelakon, model dan pengusaha butik

Busana: Calvin Thoo (merah jambu – 03-21486862);

Syaiful Bahrim (merah – 03-62011331/62011113);

Kelrina House Of Fashion (baju Melayu merah hati – Plaza Alam Sentral, Shah Alam)

Dandanan: Valshuq (012-9132000)

Lokasi: Al Nafourah, Hotel Le Meridien, KL Sentral

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: