Keprihatinan Insan Seni

21 Sep

Oleh WANDA IDRIS


Awie dan Amy

BULAN Ramadan tidak sahaja menuntut kita untuk meningkatkan amal ibadat malah dalam melahirkan budaya penyayang. Bulan mulia ini kita amat digalakkan menunjukkan sikap kasih sayang kepada yang memerlukan bantuan.

Justeru, kita lihat banyak majlis-majlis berbuka puasa serta penyampaian sumbangan dianjurkan oleh pelbagai pihak dalam usaha untuk meringankan beban golongan kurang bernasib baik.

Anak-anak yatim, warga emas dan ibu tunggal menjadi golongan yang diraikan dalam suasana majlis berbuka puasa yang meriah yang diadakan di hotel mahupun di restoran.

Selain syarikat korporat, para artis tempatan sebenarnya tidak terkecuali daripada melakukan kerja-kerja amal dan kebajikan. Malah seperti juga orang lain, mereka amat prihatin terhadap golongan yang memerlukan. Selain meraikan yang kurang bernasib baik, kebanyakan mereka mengambil peluang memberikan sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim mahupun warga emas yang dirai.

Ada juga yang menyumbang dana bagi menjayakan program majlis berbuka puasa golongan kurang bernasib baik yang dianjurkan oleh badan persendirian.

Bagi mereka menggembirakan mereka yang tidak bernasib baik seperti anak yatim memberikan satu kenikmatan yang tidak terhingga yang tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata.

Antara yayasan dan Rumah Bakawali
Erma Fatima merupakan antara insan seni yang prihatin terhadap nasib golongan yang kurang bernasib baik terutama anak-anak yang tidak beribu dan berbapa. Malah melalui persatuannya, Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia yang ditubuhkan pada 2002, Erma yang mempunyai rumah kebajikannya sendiri, Rumah Bakawali juga sejak empat tahun lalu menganjurkan majlis berbuka puasa untuk golongan tersebut.

Tahun ini bertemakan Malam Kasih Ramadan: Ziarah Lebaran, majlis tersebut telah berlangsung di sebuah hotel di ibu kota dan berjaya mengumpulkan 500 anak-anak yatim dan warga emas dari seluruh negara.

“Memang menubuhkan sebuah rumah anak-anak yatim menjadi impian saya sejak sekian lama. Apabila impian untuk berjaya direalisasikan dan menjadi satu tanggungjawab, saya berasa berbesar hati.

“Ikhlas membantu mereka, saya juga seronok melihat melihat tersenyum. Melihat mereka gembira, hati saya berbunga. Bukankah membahagiakan orang lain pun memberi pahala kepada kita apatah lagi anak-anak yatim,” kata Erma.

Biarpun tanpa dana yang besar, kata Erma, dia berbangga kerana majlis meraikan anak yatim dan warga emas anjuran yayasannya mendapat banyak penajaan.

Malah kata Erma, rocker popular, Amy Search merupakan antara insan seni yang memberi sumbangan menjayakan program anjurannya selain pengacara popular, Fara Fauzana.

Pihak RTM yang membeli program Ziarah Lebaran yang turut dirakam pada majlis berkenaan juga membolehkan Erma menggunakan dana tersebut untuk menanggung kos penganjuran majlis berbuka puasa tersebut.

Erma juga berbangga kerana rakan-rakan yang hadir turut memberi sumbangan peribadi seperti duit raya kepada anak- anak yatim dan warga tua antaranya Datuk Siti Nurhaliza.

Awie, kata Erma, merupakan antara artis yang aktif membantunya sejak tahun lepas walaupun dia sendiri mempunyai komitmen terhadap sebuah rumah anak yatim di ibu kota.

Menurut Erma, penyertaan tahun ini merupakan yang paling ramai malah dia lebih berbangga apabila usahanya untuk menemukan beberapa warga emas dengan keluarga yang hadir pada malam itu berjaya.

“Saya berharap dapat meneruskan usaha begini dan saya berbangga kerana mendapat sokongan suami dan keluarga. Malah sebenarnya dalam kerja-kerja amal begini, anak-anak itu merupakan kekuatan saya,” jelasnya.

“Kita menjual meja. Tetapi hanya enam meja sahaja yang dibeli dengan harga RM1,500 setiap satu. Pun begitu, saya bersyukur kerana dapat banyak penajaan,” jelasnya.

Menjelaskan mengenai rumah anak yatim miliknya yang telah enam tahun ditubuhkan itu, kata Erma, buat masa ini, Rumah Bakawali mempunyai 11 penghuni yang berusia antara 12 tahun hingga 17 tahun dan tinggal di sebuah rumah yang disewa di Taman Melawati, Hulu Kelang, Selangor.

Erma menanggung semua perbelanjaan anak-anak yatim naungannya dan menurut Erma, Datuk Seri Khalid Mohd. Jiwa merupakan antara individu yang aktif membantu daripada segi kewangan seperti membayar sewa rumah sejak penubuhannya.

Erma yang mengakui sukar mendapatkan dana, bagaimanapun memberitahu pada bulan Ramadan sumbangan banyak diterima.

Bagaimanapun, perbelanjaan untuk menanggung anak-anak yatim Rumah Bakawali agak tinggi dan memerlukan RM4,500 sebulan untuk belanja dapur, makan dan persekolahan.

“Orang melihat saya artis dan beranggapan rumah anak yatim saya tidak memerlukan bantuan. Kami masih memerlukan bantuan, sumbangan dan dana untuk menanggung perbelanjaan mereka,” ujarnya.

Pun begitu, Erma berharap dapat menambah lagi anak-anak yatim sehingga 20 orang pada tahun depan dan pihaknya sangat mengalu-alukan anak-anak yatim piatu yang tiada tempat tinggal untuk tinggal di Rumah Bakawali. Untuk keterangan lanjut hubungi Fadilah di talian 03- 4147 4367.

Yayasan Nurjiwa Siti Nurhaliza – Datuk K
DITUBUHKAN bersempena perkahwinan mereka sejak dua tahun lalu, Yayasan Nurjiwa merupakan sumbangan Datin Seri Siti Nurhaliza dan suaminya, Datuk seri Khalid Mohd. Jiwa kepada individu yang memerlukan. Sempena Ramadan, yayasan tersebut memberi sumbangan kepada golongan miskin tegar di seluruh negara berupa peralatan rumah seperti katil, almari, tilam dan dapur. Tidak ketinggalan sumbangan kepada anak-anak yatim dan rumah kebajikan yang lain.

Malah selepas Syawal ini, dengan kerjasama Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn. Bhd. (SNP) akan mengadakan persembahan jelajah di setiap negeri dalam usaha mengumpul dana bagi membantu artis-artis yang kurang bernasib baik.

Sebahagian dana yang dikumpul juga akan diserahkan kepada badan dan rumah kebajikan terpilih di setiap negeri yang dijelajahi.

“Kertas kerja sudahpun siap dan kita hanya menantikan lampu hijau daripada setiap negeri. Jika tiada aral melintang, persembahan jelajah ini akan dimulakan dari negeri di selatan tanah air ke utara,” kata Siti.

Pun begitu, yayasan sentiasa menghulurkan bantuan kepada pihak yang memerlukan mengikut kes dan bantuan tidak terhad kepada wang tunai tetapi juga merangkumi pakaian, makanan dan barangan lain bergantung kepada keperluan.

Ketika ini, selain memberi sumbangan kepada golongan yang tidak bernasib baik, yayasan juga sedang membina sebuah masjid di Kedah.

Awie dan Rumah Anak Yatim As’Shifa
Awie juga intim dengan kerja-kerja kebajikan malah sejak mula bergelar artis, dia merapatkan diri dengan kerja-kerja amal dan semakin aktif sejak mengasaskan Majlis Tetap Wangsa Maju. Malah melalui persatuan itu, langkahnya semakin jauh dalam usaha membantu mereka yang kurang bernasib baik. Bukan saja di sekitar ibu kota tetapi juga menjelajah ke seluruh pelosok negeri.

Ditubuhkan tujuh tahun lalu, sejak hampir empat tahun lepas, hubungan persatuannya dengan rumah anak yatim As’Shifa memang begitu akrab.

Malah anak-anak rumah berkenaan merupakan anak-anak angkatnya dan menjadi tanggungjawab Majlis Tetap Wangsa Maju untuk membantu menjaga keperluan mereka. Dihuni oleh 30 orang anak masing-masing 15 anak yatim dan 15 fakir miskin, tahun lalu, rumah berkenaan mempunyai 18 penghuni.

Tidak sahaja bertanggungjawab terhadap As’Shifa, Awie juga membantu sekolah agama di Kota Tinggi, Johor yang mengambilnya sebagai bapa angkat.

“Biasanya saya menghantar bantuan kepada mereka yang memerlukan tidak kira di mana tetapi rumah anak yatim dan sekolah agama menjadi keutamaan.

“Tahun lepas selain memberi sumbangan kepada anak-anak yatim, kita juga membantu mangsa banjir malah turut menyerahkan beberapa buah komputer kepada sebuah sekolah agama.

“Namun begitu pada kebiasaannya di bulan Ramadan ini, kami cuba mengumpul dana bagi membantu membeli keperluan hari raya bagi anak-anak yatim.

“Tahun lepas saya berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM10,000 untuk didermakan kepada rumah anak yatim As’Shifa dan berharap dapat mengumpul lebih banyak tahun ini dalam usaha menjayakan program riadah bersama anak-anak di rumah berkenaan,” kata Awie yang juga akan menyampaikan sumbangan ke rumah berkenaan pada 22 September (esok).

Kepada sesiapa yang mahu menyampaikan sumbangan kepada rumah anak yatim As’Shifa, Awie sangat mengalu-alukan. Sesiapa yang ingin membantu bolehlah menghubungi Faizal Ismail di talian 013-2791177 atau 03-41063630 atau faks 03-41073630 serta e-mel: tetap.wm@gmail.com / awie_ent@yahoo.com.my

Berharap dapat menjalinkan kerjasama dengan Erma Fatima untuk menubuhkan sebuah yayasan, kata Awie, bukan kemewahan yang diutamakan sebaliknya menjaga keperluan kebajikan dan pelajaran anak-anak yatim dalam usaha menjadikan mereka generasi yang berjaya.

Utusan Malaysia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: