Malam Kasih Ramadan Paling Ramai

19 Sep

Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Rap
MENYAKSIKAN tetamu istimewa menikmati hidangan lazat di hotel mewah serta tersenyum gembira apabila menerima sumbangan, sudah cukup membuatkan Pengasas Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia (YSKPM), Fatimah Rahmat atau Erma Fatima gembira.

Setiap tahun, Erma menganjurkan majlis amal mengumpulkan mereka yang kurang bernasib baik dalam satu program khas. Tahun ini lebih bermakna apabila majlis dinamakan Malam Kasih Ramadan menerima tetamu paling ramai, hampir 500 orang.

Mereka terdiri daripada anak yatim dan warga tua yang didatangkan khas dari seluruh tanah air. Tentunya bukan mudah mengumpulkan mereka semua untuk dibawa ke Kuala Lumpur tetapi semua itu dianggap cabaran kecil buat Erma.

Malah kerana gembira juga Erma langsung tidak menghiraukan juadah untuk berbuka puasa sebaliknya selepas meneguk segelas air, dia kelihatan sibuk memastikan segala rancangan berjalan lancar.

Erma berkata, dia bersyukur apabila apa yang dirancang sejak pertengahan Ogos lalu akhirnya dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

“Inilah rezeki insan istimewa di sisi Allah. Bayangkan sebelum ini setiap malam hujan. Saya bimbang juga kerana majlis ini dibuat di laman hotel. Tetapi lihatlah malam ini langit nampak cerah dengan cahaya bulan seperti merestui usaha kami lakukan.

“Saya berterima kasih kepada rakan-rakan yang banyak membantu. Walaupun masa suntuk tetapi ia berjaya juga dilaksanakan. Saya hargai pertolongan diberikan. Mereka inilah kekuatan saya untuk meneruskan usaha murni YSKPM setiap tahun,” katanya.

Katanya, walaupun majlis diadakan adalah kerja amal tetapi tidak semua orang sudi memberikan bantuan dan sumbangan.

“Namanya pun kerja sukarela sudah tentu apa yang kami laksanakan hari ini tidak memberikan pulangan dari sudut wang ringgit. Tidak saya nafikan untuk menjemput tetamu istimewa ini dari seluruh negara banyak modal terpaksa dikeluarkan sedangkan Yayasan tidak mempunyai dana walaupun sesen.

“Perbelanjaan bas saja menelan belanja hampir RM12,000. Mereka ini ada yang datang dari Yan, Kedah; Bentong, Pahang, Parit, Perak Setiu, Terengganu dan Segamat, Johor.

“Mereka yang terbabit menjayakan Malam Kasih Ramadan membantu dengan ikhlas, cuma sepanjang usaha dilakukan tidak dinafikan ia mencabar kesabaran dan keimanan kami, kerana tidak semua orang yang kami temui mahu menghulurkan bantuan sedangkan perbelanjaan untuk melaksanakan majlis ini agak tinggi.

“Perlu kita ingat tidak semua orang yang berduit ini pemurah. Bagaimanapun, saya amat hargai mereka yang sudi bersama-sama kami hari ini.

“Antaranya, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa yang setiap tahun tidak pernah sekali pun gagal membantu kami menjayakan usaha dilakukan. Dia juga menjadi penaung kepada Rumah Anak-Anak Yatim Bakawali yang saya usahakan,” katanya

Kata Erma lagi, dia bagaimanapun bersyukur apabila RTM1 bakal menayangkan rakaman majlis Malam Kasih Ramadan.

“Sebelum itu saya sempat menghasilkan rancangan Ziarah menampilkan beberapa artis popular datang menziarahi insan kurang bernasib baik, anak yatim dan warga tua dengan menghulurkan sumbangan. Ia akan ditayangkan pada Aidilfitri nanti.

“Malam Kasih Ramadan turut saya rakamkan dan akan disiarkan dalam rancangan Ziarah II. Wang hasil pembelian dua rancangan inilah yang saya gunakan untuk menampung segala perbelanjaan diperlukan tetamu saya hari ini.

“Selain itu sebelum majlis berbuka ini diadakan, anak yatim terbabit turut menjalani program motivasi di Kem Kemensah, Hulu Klang,” katanya.

Kata Erma, usaha yang dilakukan sejak 2002 ini membuktikan insan seni juga prihatin terhadap mereka yang kurang bernasib baik.

“Sebelum ini orang sering mengaitkan artis dengan perkara buruk. Masalahnya hanya ada seorang dua saja mereka yang bergelar artis melakukan perkara boleh memberi kesan buruk.

“Sedangkan sebelum ini orang tidak tahu ada antara kami yang sering melakukan kerja amal tetapi ia tidak pernah dilaporkan.

“Seperti hari ini, saya jemput rakan media bukan kerana mahu liputan tetapi apabila ia dilaporkan, saya bersyukur semoga usaha baik dilakukan ini dapat dipanjangkan.

“Bagaimanapun, ada perkara saya buat sebelum ini saya tidak pernah mahu ia diperbesar-besarkan di media, kerana ikhlas bagi membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Sepanjang majlis berlangsung jelas kelihatan wajah gembira, sedih dan sayu terpancar di wajah tetamu yang hadir di majlis Malam Kasih Ramadan di Hotel Palace Of Golden Horses, Seri Kembangan, baru-baru ini itu.

Ia dimeriahkan dengan kehadiran artis seperti Datuk Siti Nurhaliza, Mawi, Amy Search, Awie dan Waheeda apabila turut menghiburkan tetamu. Siti menyampaikan lagu barunya, Wanita manakala Awie meruntun hati penonton dengan lagu raya, Musafir Di Aidilfitri.

Tidak ketinggalan Mawi menyampaikan lagu Rindu Padanya, Amy (Manusia) manakala Waheeda dengan popularnya, Wassini.

Kehadiran pelakon terkenal, Norkhiriah tampil membacakan sajak yang ditulis Erma, Ibu, menyentuh hati ramai penonton sehinggakan ada yang menitiskan air mata. Majlis itu bertambah meriah dengan kehadiran Ekin dan Fahrin Ahmad sebagai pengacara.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: